Sembahyang Tarawih: Apakah Bid’ah Di Sisi Syi’ah
Di antara perkara yang sering didengar ialah golongan Syi’ah mengatakan sembahyang tarawih adalah merupakan bid’ah yang diada-adakan oleh Sayyidina Umar al-Khattab r.a. Mungkin kerana itulah kita tidak akan mendapati sembahyang tersebut ditunaikan di tempat yang majoritinya penganut Syi’ah seperti di Iran dan lain-lain. Namun begitu kalau diperhatikan riwayat-riwayat yang terdapat di dalam kitab-kitab utama Syi’ah termasuk empat kitab sahih di sisi mereka iaitu al-Kafi karangan Thiqah al-Islam Abu Ja’far al-Kulaini, Man La Yuhdhuru al-Faqih karangan Syeikh as-Soduq Ibnu Babuwaih al-Qummi, Tahzib al-Ahkam karangan Syeikh at-Thoifah Abu Ja’far at-Thusi dan al-Istibsar juga karangan at-Thusi maka akan didapati sebaliknya. Di antara riwayat-riwayat tersebut adalah:
Pertama:
محمد بن يعقوب عن علي بن ابراهيم عن محمد بن عيسى بن عبيد عن يونس عن ابى العباس البقباق وعبيد بن زرارة عن ابي عبدالله عليه السلام قال: كان رسول الله صلى الله عليه وآله يزيد في صلاته في شهر رمضان إذا صلى العتمة صلى بعدها يقوم الناس خلفه فيدخل ويدعهم، ثم يخرج أيضا فيجيئون ويقومون خلفه فيدخل ويدعهم مرارا، قال وقال: لا تصل بعد العتمة في غير شهر رمضان.
Daripada Abi al-Abbas al-Buqbaq dan ‘Ubaid bin Zurarah daripada Abi Abdillah a.s. katanya: “Rasulullah s.a.w. menambahkan sembahyangnya di bulan Ramadhan bila dia selesai sembahyang ‘atamah (Isya’). Baginda sembahyang selepasnya lalu orang ramai berdiri di belakangnya maka Baginda pun masuk dan meninggalkan mereka, kemudian Baginda keluar juga (pada malam yang lain) lalu orang ramai datang dan berdiri di belakangnya maka Baginda masuk dan meninggalkan mereka beberapa kali”. Perawi berkata, “Abu Abdillah a.s. berkata: “Janganlah sembahyang selepas ‘atamah selain di bulan Ramadhan”.( Tahzib al-Ahkam jil 3 hal. 62)
Komentar: Tiada sembahyang yang lain di bulan Ramadhan selepas ‘Isya’ selain tarawih. Riwayat di atas menunjukkan Abu Abdillah iaitu Jaa’far as-Sadiq mengatakan ada sunnah sembahyang tarawih di bulan Ramadhan.
Kedua:
عن محمد بن خالد عن سيف بن عميرة عن أسحاق بن عمار
عن جابر بن عبدالله قال: إن ابا عبدالله عليه السلام قال له: إن أصحابنا هؤلاء أبوا أن يزيدوا في صلاتهم في رمضان وقد زاد رسول الله صلى الله عليه وآله في صلاته في شهر رمضان.
Daripada Jabir bin Abdullah katanya: “Sesungguhnya Aba Abdillah a.s. berkata kepadanya, “Sesungguhnya pengikut-pengikut kita enggan menambahkan sembahyang mereka di bulan Ramadhan sedangkan Rasulullah s.a.w. menambahkan sembahyangnya di bulan Ramadhan”.( Tahzib al-Ahkam jil 3 hal. 62)
Komentar: Imam maksum di sisi Syi’ah sendiri mengatakan pengikut-pengikutnya iaitu golongan Syi’ah enggan mengikut amalan yang dilakukan oleh Nabi s.a.w. dan beliau sendiri mengakui bahawa ianya bukan satu bid’ah yang direka-reka Umar r.a. tetapi sunnah Nabi s.a.w. sendiri. Sekarang tanyalah golongan Syi’ah ajaran siapakah yang diikuti mereka?
Ketiga:
عن محمد بن سنان قال قال الرضا عليه السلام: كان ابي يزيد في العشر الاواخر من شهر رمضان في كل ليلة عشرين ركعة.
Daripada Muhammad bin Sinan katanya, “Imam al-Ridha a.s. berkata: “Ayahku menambahkan pada sepuluh akhir daripada bulan Ramadhan pada setiap malam sebanyak dua puluh rakaat”.( Tahzib al-Ahkam jil 3 hal. 68)
Keempat:
احمد بن محمد بن مطهر قال: كتبت إلى ابي محمد عليه السلام إن رجلا روى عن آبائك عليهم السلام: أن رسول الله صلى الله عليه وآله ما كان يزيد من الصلاة في شهر رمضان على ما كان يصليه في سائر الايام فقال عليه السلام.
كذب فض الله فاه صل في كل ليلة من شهر رمضان عشرين ركعة إلى عشرين من الشهر، وصل ليلة إحدى وعشرين مائة ركعة، وصل ليلة ثلاث وعشرين مائة ركعة، وصل في كل ليلة من العشر الاواخر ثلاثين ركعة.
Ahmad bin Muhammad bin Muthahhir berkata, “Aku menulis kepada Abi Muhammad a.s. bahawa ada seorang meriwayatkan daripada datuk-nenekmu bahawa Rasulullah s.a.w. tidak menambah sembahyang di dalam bulan Ramadhan lebih daripada yang biasa dia lakukan pada hari-hari yang lain”. Lalu beliau (Abu Muhammad) .a.s. berkata: “Dia dusta (semoga Allah memotong mulutnya), sembahyanglah pada setiap malam bulan Ramadhan sebanyak dua puluh rakaat sehingga malam ke dua puluh, sembahyanglah pada malam ke dua puluh satu sebanyak seratus rakaat, sembahyanglah pada malam ke dua puluh tiga seratus rakaat dan sembahyanglah pada setiap malam daripada sepuluh akhir sebanyak tiga puluh rakaat”.( Tahzib al-Ahkam jil 3 hal. 68)
Kelima:
وسأل عبدالله بن سنان أبا عبدالله عليه السلام " عن الصلاة في شهر رمضان فقال: ثلاث عشرة ركعة منها الوتر، وركعتان قبل صلاة الفجر
Abdullah bin Sinan bertanya Aba ‘Abdillah a.s. tentang sembahyang di bulan Ramadhan lalu beliau menjawab: “Tiga belas rakaat, di antaranya witir dan dua rakaat sebelum sembahyang fajar”.( Man La Yahdhuruhu Al-Faqih Jil.1 Hal. 567)
Dan banyak lagi riwayat-riwayat yang lain berkenaan sunnahnya sembahyang tarawih di sisi imam-imam Syi’ah di dalam kitab-kitab utama mereka seperti al-Furu’ Min al-Kafi jil. 4, Wasaail as-Syi’ah dan lain-lain. Bahkan ulama kemudian mereka juga menyebutkan perkara yang sama di dalam kitab masing-masing. Antaranya Najm ad-Din at-Thobasi sebelum menukilkan pendapat ulama Syi’ah berkenaan amalan ini di dalam kitabnya “Solat At-Tarawih Baina As-Sunnah Wal-Bid’ah” mengatakan:
أمّا عند الإمامية، فالمشهور هو ألف ركعة، في كل ليلة عشرون ركعة الى عشرين ليلة، وثلاثون في العشر الأواخر، مع تفاصيل أخرى تعرف من خلال مراجعة الموسوعات الفقهية، ونكتفي في المقام بنقل كلام السيد المرتضى والطوسي والحلبي والحلّي والنراقي والعاملي والطباطبائي
Bermaksud: Adapun di sisi Imamiyyah maka pendapat yang masyhur ialah seribu rakaat, setiap malam dua puluh rakaat selama dua puluh malam dan tiga puluh (rakaat) pada sepuluh malam akhir di samping terdapat perincian yang lain yang diketahui di celah-celah rujukan ensiklopedia feqah. Dan kita berpada di sini dengan menukilkan kata-kata Sayyid al-Murtadha, at-Thusi, al-Halabi, al-Hulli, an-Naraqi, al-‘Amili dan at-Thoba’thobaie.( Solat At-Tarawih Baina As-Sunnah Wal-Bid’ah, Najm ad-Din at-Thobasi hal. 34 cetakan Qum Iran.)
Selepas mengemukakan kata-kata ulama-ulama Syi’ah tersebut beliau mengemukakan kata-kata at-Thoba’thobaie yang mengatakan pendapat Syeikh Saduq di dalam kitabnya Man La Yahdhuruhu Al-Faqih bahawa tiada sembahyang sunat di bulan Ramadhan lebih daripada bulan yang lain adalah pendapat yang ganjil.( Solat At-Tarawih Baina As-Sunnah Wal-Bid’ah, Najm ad-Din at-Thobasi hal. 34 cetakan Qum Iran.)
Walaupun begitu beliau mengatakan bahawa mengadakan sembahyang tersebut secara berjemaah adalah merupakan amalan bid’ah yang diada-adakan oleh Umar r.a.( Solat At-Tarawih Baina As-Sunnah Wal-Bid’ah, Najm ad-Din at-Thobasi hal. 34 cetakan Qum Iran.) walaupun riwayat pertama daripada kitab Tahzib al-Ahkam yang dikemukakan di atas menunjukkan bahawa Nabi s.a.w. melakukannya secara berjemaah sebagaimana yang terdapat di dalam sahih al-Bukhari dan lain-lain di sisi Ahlus Sunnah.
Berdasarkan kepada fakta-fakta di atas jelaslah bahawa sembahyang tarawih di bulan Ramadhan bukanlah suatu amalan bid’ah di sisi imam-imam Ahlul Bait berdasarkan kitab-kitab Syi’ah sendiri. Semoga Allah memelihara kita semua daripada terpedaya dengan golongan yang cuba untuk menghapuskan keaslian agama yang ditinggalkan oleh Nabi s.a.w. kepada umatnya.
Jerusalem, why now?
6 tahun yang lalu
0 ulasan:
Catat Ulasan