25 Februari 2009

Al-Quran: Antara Ahlus Sunnah Wal Jamaah Dan Syi’ah

Al-Quran: Antara Ahlus Sunnah Wal Jamaah Dan Syi’ah

Perbezaan pegangan antara Ahlus Sunnah dan Syi’ah adalah begitu jauh sekali bagaikan langit dan bumi bahkan lebih lagi itu. Di antara pegangan yang sangat jauh perbezaan antara kedua firqah ini ialah kepercayaan terhadap al-Quran yang diturunkan oleh Allah taala kepada Nabi s.a.w. dan diimani oleh umat Islam sejak sekian lama.
Untuk membuktikan perbezaan tersebut maka perlulah diteliti dan dikaji riwayat-riwayat dan pendapat-pendapat pendokong kedua-dua golongan ini di dalam kitab-kitab sandaran utama masing-masing.


Pandangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah terhadap al-Quran.


Ahlus Sunnah beri’tiqad bahawa al-Quran yang diturunkan kepada Nabi s.a.w. dan terdapat di tangan umat Islam dari dahulu hingga sekarang terpelihara daripada sebarang penyelewengan, tambahan, pengurangan dan sebagainya. Kepercayaan sedemikian menjadi satu pegangan yang begitu masyhur dan mutawatir serta dapat diketahui dengan mudah oleh semua kalangan umat Islam sehingga tidak perlu dikemukakan sebarang dalil untuk menguatkan pegangan ini. Al-Quran terpelihara daripada semua bentuk penyelewengan tersebut dengan pemeliharaan daripada Allah taala sendiri sebagaimana janjinya di dalam al-Quran yang berbunyi:


إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ

Bermaksud: Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran dan sesungguhnya Kamilah yang memeliharanya.(Al-Quran Surah al-Hijr ayat 9)

Kerana itu tidak terdapat di dalam mana-mana kitab yang menjadi sandaran Ahlus Sunnah walaupun satu riwayat sahih yang menyalahi pegangan tersebut bahkan ulama-ulama besar Ahlus Sunnah dengan jelas mengatakan sesiapa yang mengatakan bahawa terdapat sebarang penyelewengan atau tokok tambah di dalam al-Quran maka ia terkeluar dari Islam.

Di antara ulama Ahlus Sunnah yang jelas mengatakan demikian adalah:

Qadhi ‘Iyadh:

وقد أجمع المسلمون أن القرآن المتلو في جميع أقطار الأرض المكتوب في المصحف بأيدى المسلمين مما جمعه الدفتان من أول (الحمد لله رب العالمين - إلى آخر - قل أعوذ برب الناس) أنه كلام الله ووحيه المنزل على نبيه محمد صلى الله عليه وسلم وأن جميع ما فيه حق وأن من نقص منه حرفا قاصدا لذلك أو بدله بحرف آخر مكانه أو زاد فيه حرفا مما لم يشتمل عليه المصحف الذى وقع الإجماع عليه وأجمع على أنه ليس من القرآن عامدا لكل هذا أنه كافر ولهذا رأى مالك قتل من سب عائشة رضى الله عنها بالفرية لأنه خالف القرآن ومن خالف القرآن قتل أي لأنه كذب بما فيه، وقال ابن القاسم من قال إن الله تعالى لم يكلم موسى تكليما يقتل


Orang-orang Islam sepakat bahawa al-Quran yang dibaca di seluruh pelusuk bumi, ditulis di dalam mushaf yang berada di tangan umat Islam yang dihimpunkan oleh dua helaian bermula daripada الحمد لله رب العالمين sehingga قل أعوذ برب الناس adalah kalam Allah dan wahyunya yang diturunkan kepada nabinya Muhammad s.a.w. dan segala yang terkandung di dalamnya adalah benar. Sesiapa yang mengurangkan daripadanya walaupun satu huruf atau menukarkan satu huruf dengan menggantikan satu huruf yang lain ditempatnya atau menambahkan satu huruf yang tidak terdapat di dalam mushaf yang telah disepakati bahawa ia bukan daripada al-Quran dan ia melakukan perkara-perkara tersebut dengan sengaja maka ia dihukumkan sebagai seorang yang kafir. Kerana itulah Imam Malik berpendapat bahawa orang yang mencaci ‘Aaisyah r.a. melakukan kecurangan hendaklah dibunuh kerana ia telah menyalahi al-Quran dan sesiapa yang menyalahi al-Quran bermakna ia telah mendustakan apa yang terkandung di dalamnya. Ibnu al-Qasim berkata: “Sesiapa yang mengatakan Allah taala tidak bercakap dengan Nabi Musa(Allah taala telah menjelaskan di dalam surah an-Nisa’ ayat 164 bahawa Dia benar-benar bercakap dengan Nabi Musa a.s.) hendaklah dibunuh”.( Asy-Syifa Bi Ta’rifi Huquq Al-Mustafa jil. 2 hal. 304.)

Ibnu Qudamah al-Maqdisi:

ولا خلاف بين المسلمين في أن من جحد من القرآن سورة أو آية أو كلمة أو حرفا متفقا عليه أنه كافر

Tiada khilaf di kalangan orang-orang Islam pendapat tentang kufurnya orang yang mengingkari al-Quran sama ada satu surah atau satu ayat atau satu kalimah yang disepakati bahawa ia adalah al-Quran.(Lam’ah al-I’tiqad Bab Al-Quran Adalah Kalam Allah jil. 1 hal. 1)

Ibnu Hazam:

القول بأن بين اللوحين تبديلا كفر صحيح وتكذيب لرسول الله صلى الله عليه و سلم

Pendapat yang mengatakan berlaku perubahan di antara dua kulit (di dalam al-Quran) adalah kekufuran yang nyata dan pendustaan terhadap Rasulullah s.a.w.( Al-Fasl Fi Al-Milal Wa An-Nihal jil. 4 hal. 139.)

Qadhi Abu Ya’la:

والقرآن ما غير ولا بدل ولا نقص منه ولا زيد فيه خلافاً للرافضة القائلين أن القرآن قد غير وبدل وخولف بين نظمه وترتيبه. إن القرآن جمع بمحضر من الصحابة رضي الله عنهم وأجمعوا عليه ولم ينكر منكر ولا رد أحد من الصحابة ذلك ولا طعن فيه ولو كان مغيراً مبدلاً لوجب أن ينقل عن أحد من الصحابة أنه طعن فيه ، لأن مثل هذا لايجوز أن ينكتم في مستقر العادة . ولانه لو كان مغيراً ومبدلاً لوجب على علي رضي الله عنه أن يبينه ويصلحه ويبين للناس بياناً عاماً أنه أصلح ما كان مغيراً فلما لم يفعل ذلك بل كان يقرأه ويستعمله دل على أنه غير مبدل ولا مغير

Al-Quran tidak diubah, tidak ditukar ganti, tidak berlaku pengurangan daripadanya dan tidak berlaku penambahan di dalamnya berlainan dengan golongan Rafidhah (Syi’ah) yang mengatakan bahawa al-Quran telah diubah, ditukar ganti dan disusun berlainan dengan susunan dan tertibnya yang asal. Sesungguhnya al-Quran telah dihimpunkan di hadapan sahabat-sahabat r.a. dan mereka sepakat di atas pengumpulan tersebut serta tiada seorangpun dari kalangan sahabat yang mengingkari dan menolak persepakatan tersebut. Kalaulah berlaku sebarang pengubahan dan tokok tambah (di dalam pengumpulan al-Quran) pasti akan terdapat nukilan daripada mana-mana sahabat bahawa ia menolak pengumpulan tersebut kerana perbuatan sedemikian tidak harus didiamkan. Dan berlaku sebarang pengubahan dan tokok tambah maka wajiblah ke atas Ali r.a. untuk menjelaskan dan memperbaikinya serta menerangkan secara umum kepada orang ramai bahawa ia telah memperbaiki mana-mana yang telah diubah. Bilamana dia tidak melakukan demikian bahkan ia membaca serta mengamalkannya maka ia menunjukkan bahawa tiada sebarang pengubahan dan tokok tambah (pada al-Quran).( Al-Mu’tamad Fi Usul Ad-Din hal. 258)

Empat contoh yang dikemukakan ini sudahpun memadai untuk dijadikan bukti pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Jika dikemukakan kesemuanya nescaya tulisan ini tidak lagi menjadi satu artikel yang ringkas. Namun begitu untuk meneliti pandangan-pandangan yang sama daripada ulama-ulama Ahlus Sunnah bolehlah menambah pengetahuan dengan membaca kitab-kitab seperti al-Farq Baina al-Firaq, al-Mu’tamad fi Usul ad-Din, as-Saarim al-Maslul, Maqalaat al-Islamiyyin dan kitab-kitab lain sama ada kitab tafsir, usuluddin, ‘ulum al-Quran, syarah–syarah hadith dan kitab-kitab usul yang lain.


Pandangan Syi’ah Imamiyyah Ithna ‘Asyaa’irah terhadap al-Quran.

Golongan Syi’ah terutamanya ulama-ulama yang menjadi paksi kepada agama mereka beri’tiqad bahawa al-Quran yang dihimpunkan oleh sahabat-sahabat r.a. dan berada di tangan umat Islam sekarang telah berlaku penyelewengan dan tokok tambah padanya. Di bawah ini akan dikemukakan sebahagian daripada mereka.

Ali bin Ibrahim al-Qummi pengarang kitab tafsir tertua di sisi Syi'ah menyebutkan di dalam mukaddimahnya:

فالقرآن منه ناسخ، ومنه منسوخ، ومنه محكم، ومنه متشابه، ومنه عام، ومنه خاص، ومنه تقديم، ومنه تأخير، ومنه منقطع، ومنه معطوف، ومنه حرف مكان حرف، ومنه على خلاف ما انزل الله

Bermaksud: Al-Quran di antara ayatnya ada yang memansukhkan, ada yang dimansukhkan, ada yang muhkam dan ada yang mutasyabih, ada yang umum dan ada yang khusus, ada yang terdahulu dan ada yang terkemudian, ada yang terputus dan ada yang bersambung, ada yang diletakkan satu huruf di tempat satu huruf yang lain dan di antaranya ada yang berlainan dari apa yang diturunkan oleh Allah Taala.(Tafsir Al-Qummi, Mukaddimah juz 1 hal. 6)

Pentahqiq kepada kitab tafsir tersebut menjelaskan maksud kata-kata beliau "Ada yang berlainan dari apa yang diturunkan oleh Allah Taala" dengan katanya:

مراده رحمه الله منه الآيات التي حذفت منها الفاظ على الظاهر كالآيات التي نزلت في امير المؤمنين عليه السلام مثل قوله تعالى ياايها الرسول بلغ ما انزل اليك من ربك (في علي عليه السلام)

Maksud Imam al-Qummi adalah antaranya ayat-ayat yang dibuang daripadanya lafaz-lafaz secara zahir (penyelewengan pada lafaz al-Quran itu sendiri bukan maknanya) seperti ayat-ayat yang turun berkenaan Amirul Mukminin Ali a.s. seperti firman Allah Taala " ياايها الرسول بلغ ما انزل اليك من ربك (في علي عليه السلام)".

‘Allamah Husain bin Muhammad Taqiy an-Nuuri at-Thabarsi menukilkan kata-kata Sayyid Ni'matullah al-Jazaairi di dalam kitabnya Al-Anwar An-Nu'maniyyah yang berbunyi:

أن الأصحاب قد أطبقوا على صحة الأخبار المستفيضة بل المتواترة الدالة بصريحها على وقوع التحريف في القرآن

Bermaksud: "Sesungguhnya tokoh-tokoh Syi’ah telah sepakat tentang sahihnya hadits-hadits yang sampai ke peringkat mutawaatir yang menunjukkan dengan jelas tentang berlakunya penyelewengan terhadap al-Quran”.( Fashlul Khitab Fi Ithbati Tahrifi Kitabi Rabbil Arbab hal. 31)

Dan ramai lagi ulamak Syi'ah yang menerima bahawa telah berlakunya tahrif di dalam al-Quran seperti Syeikh Mufid di dalam Awailul Maqaalat hal 13, Al-Kasyani di dalam mukaddimah Tafsir As-Shafi, Abul Hasan Al-Amili di dalam mukaddimah Tafsir Mir'atul Anwar dan lain-lain lagi.

Pegangan ulama-ulama Syi’ah tersebut adalah berdasarkan kepada lebih daripada dua ribu riwayat-riwayat sahih daripada imam-imam maksum di sisi mereka (Riwayat-riwayat tersebut dihimpunkan oleh Allamah Husain bin Muhammad Taqiy an-Nuuri at-Thabarsi di dalam kitabnya Fashlul Khitab Fi Ithbati Tahrifi Kitabi Rabbil Arbab) yang dengan jelas menunjukkan berlakunya tahrif di dalam al-Quran. Di antara riwayat-riwayat tersebut adalah:

Pertama: Al-Kulaini di dalam al-Kafi (Kitab al-Kafi merupakan kitab yang paling utama dan termasuk di dalam empat kitab sahih di sisi Syi’ah karangan Muhammad bin Yaa’kob bin Ishak Al-Kulaini ar-Razi yang diberikan gelaran thiqatul Islam (orang yang sangat dipercayai dalam Islam) dan meninggal pada tahun 328h. Pujian melangit diberikan oleh ulama-ulama Syi’ah terhadap beliau dan kitabnya al-Kafi boleh dilihat di dalam Mukaddimah al-Kafi hal. 25, Syarah al-Kafi seperti al-Wafi jil. 1 hal. 6, kitab-kitab rijal di sisi syi’ah seperti al-Kuna wal-Alqab karangan Syeikh Abbas al-Qummi jil. 3 hal. 98, Raudhah al-Jannah jil. 6 hal 116 dan kitab-kitab lain seperti Mustadrak al-Rasaail jil. 3 hal. 532, az-Zari’ah ila Tasanif as-Syi’ah jil. 17 hal. 245 dan lain-lain):

عن جابر قال: سمعت أبا جعفر عليه السلام يقول: ما ادعى أحد من الناس أنه جمع القرآن كله كما أنزل إلا كذاب، وما جمعه وحفظه كما نزله الله تعالى إلا علي بن أبي طالب عليه السلام والائمة من بعده عليهم السلام

Bermaksud: Daripada Jabir katanya, aku mendengar Abu Ja'far a.s. berkata: "Tidaklah seseorang itu mendakwa bahawa ia telah mengumpulkan al-Quran kesemuanya sebagaimana diturunkan melainkan ia adalah seorang pendusta, al-Quran tidak dihimpunkan dan dihafal sebagaimana diturunkan oleh Allah Taala kecuali Ali bin Abi Talib a.s. dan imam-imam selepasnya a.s.".( Usul Al-Kafi Bab Tidaklah Mengumpulkan Al-Quran Kesemuanya Kecuali Imam-Imam A.S. Dan Mereka Mengetahui Kesemua Ilmu Jil. 1 Hal. 228)

Kedua: Pengumpulan al-Quran yang sebenar di lakukan oleh Sayyidina Ali r.a. di sisi Syi’ah:


عن سالم بن سلمة قال: قرأ رجل على أبي عبدالله عليه السلام وأنا أستمع حروفا من القرآن ليس على ما يقرؤها الناس، فقال أبوعبدالله عليه السلام: كف عن هذه القراء‌ة اقرأ كما يقرأ الناس حتى يقوم القائم فإذا قام القائم عليه السلام قرأ كتاب الله عزو جل على حده وأخرج المصحف الذي كتبه علي عليه السلام وقال: أخرجه علي عليه السلام إلى الناس حين فرغ منه وكتبه فقال لهم: هذا كتاب الله عزوجل كما أنزله [الله] على محمد صلى الله عليه وآله وقد جمعته من اللوحين فقالوا: هو ذا عندنا مصحف جامع فيه القرآن لا حاجة لنا فيه، فقال أما والله ما ترونه بعد يومكم هذا أبدا، إنما كان علي أن اخبركم حين جمعته لتقرؤوه.


Bermaksud: Daripada Salim bin Salamah katanya: "Ada seorang membaca al-Quran kepada Abi Abdillah a.s. dan aku mendengar dengan teliti beberapa ayat al-Quran bukan sebagaimana yang dibaca oleh orang ramai, lalu Abu Abdillah a.s. berkata, "Berhentilah daripada bacaan sebegini, bacalah sebagaimana yang dibaca oleh orang ramai sehingga bangkit Al-Qaim (imam mahdi), bilamana Al-Qaim a.s. bangkit dia akan membaca kitab Allah 'Azzawajalla yang sebenar dan dia akan mengeluarkan mushaf yang ditulis oleh Ali a.s. Abu Abdillah a.s. berkata lagi, "Ali a.s. telah mengeluarkan al-Quran tersebut kepada orang ramai (sahabat-sahabat) setelah dia selesai daripada menghimpunkan dan menulisnya lalu dia berkata kepada mereka, "Ini adalah kitab Allah 'Azzawajalla sebagaimana yang Ia turunkan kepada Muhammad s.a.w. dan aku telah himpunkannya daripada dua lauh." Maka mereka (sahabat-sahabat) berkata, "Ini di sisi kami telahpun ada mushaf yang terhimpun di dalamnya al-Quran, kami tidak lagi berhajat kepadanya." Lalu dia (Ali a.s.) berkata, "Ketahuilah demi Allah! Kamu tidak akan dapat melihatnya selama-lamanya selepas hari ini, kewajipan atasku hanyalah menceritakan kepada kamu setelah aku menghimpunkannya supaya kamu membacanya".( Usul Al-Kafi jilid 2 hal. 633)


Ketiga: Di dalam "Bashaair ad-Darajat" pengarangnya yang merupakan salah seorang murid imam yang kesebelas di sisi Syi'ah iaitu Hasan Al-Askari a.s. telah mengemukakan satu riwayat yang berbunyi:

عن جابر قال: قال أبو جعفر (ع): دعا رسول الله أصحابه بمنى، فقال: يا أيها الناس! إني تارك فيكم حرمات الله: وعترتي، والكعبة البيت الحرام ثم قال أبو جعفر: أما كتاب الله فحرفوا، وأما الكعبة فهدموا، وأما العترة فقتلوا.

Bermaksud: Daripada Jabir katanya, Abu Jaa'far a.s. berkata: Rasulullah s.a.w. telah menyeru sahabat-sahabatnya di Mina lalu berkata, "Wahai manusia! Sesungguhnya aku telah meninggalkan di kalangan kamu beberapa perkara yang diharamkan oleh Allah, Ithrahku (Ahlul Bait) dan Ka'bah Baitullahil Haram. Kemudian Abu Jaa'far a.s. berkata, "Adapun kitab Allah maka mereka telah menyelewengkannya, adapun Ka'bah mereka telah merobohkannya dan adapun Ahlul Bait mereka telah membunuhnya".( Muhammad bin Hasan, Bashaair ad-Darajat juz 8 bab yang ke tujuh belas)

Keempat: petikan penghujahan Imam Ali r.a. yang dikemukakan oleh at-Thabarsi di dalam kitabnya:

ان الكناية عن اسماء أصحاب الجرائر العظيمة من المنافقين في القرآن ليست من فعله تعالى، وانها من فعل المغيرين والمبدلين، الذين جعلوا القرآن عضين واعتاضوا الدنيا من الدين، وقد بين الله تعالى قصص المغيرين بقوله: " الذين يكتبون الكتاب بايديهم ثم يقولون هذا من عند الله ليشتروا به ثمنا قليلا " وبقوله " وان منهم لفريقا يلوون السنتهم بالكتاب " وبقوله: " اذ يبيتون ما لا يرضى من القول " بعد فقد الرسول مما يقيمون به باطلهم حسب ما فعلته اليهود والنصارى بعد فقد موسى وعيسى من: تغيير التوراة والانجيل، وتحريف الكلم عن مواضعه، وبقوله: " يريدون ليطفؤا نور الله بأفواههم ويأبى الله الا ان يتم نوره ولو كره المشركون " يعني: انهم اثبتوا في الكتاب ما لم يقله الله ليلبسوا على الخليقة فأعمى الله قلوبهم حتى تركوا فيه ما دل على ماأحدثوه فيه

Sesungguhnya sebutan nama-nama golongan munafik yang melakukan kesalahan besar secara kinayah (tidak secara jelas) di dalam al-Quran bukanlah daripada perbuatan Allah taala tetapi perbuatan orang-orang yang mengubah dan menokok tambah (al-Quran) yang menjadikan Al-Quran terbahagi kepada beberapa bahagian (lalu mereka percaya kepada sebahagian dan menolak sebahagian yang lain- Petikan daripada ayat 91 surah al-Hijr.) yang menggantikan dunia daripada agama. Sesungguhnya Allah taala telah menerangkan kisah orang-orang yang telah melakukan pengubahan (terhadap kitab suci) dengan firman-Nya yang bermaksud: “orang-orang yang menulis Al Kitab dengan tangan mereka sendiri, lalu mereka mengatakan: "Ini dari Allah", (dengan maksud) untuk memperoleh keuntungan yang sedikit dengan perbuatan itu”.(Al-Quran Surah al-Baqarah ayat 79) Dan firman-Nya yang bermaksud: Dan sesungguhnya, di antara mereka (Ahli Kitab itu) ada (ketua-ketua agamanya) yang memutar-mutar lidahnya semasa membaca Kitab Taurat (dengan mengubah maknanya), supaya kamu menyangkanya sebahagian dari Kitab Taurat padahal ia bukanlah dari Kitab itu”(Al-Quran Surah Aali ‘Imran ayat 78) dan firman-Nya yang bermaksud: “ketika mereka merancangkan pada malam hari, kata-kata yang tidak diredhai oleh Allah”(Al-Quran Surah an-Nisa’ 108) selepas daripada kewafatan Rasul yang merupakan kebatilan mereka yang mereka cuba tegakkan mengikut sebagaimana yang telah dilakukan oleh Yahudi dan Nasara selepas kewafatan Nabi Musa dan ‘Isa seperti mengubah Taurat dan Injil serta menyelewengkan kalam (di dalam kitab suci) daripada tempatnya (yang asal). Dan dengan firman-Nya lagi yang bermaksud: “Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian)”(Al-Quran Surah as-Saff ayat 8) iaitu mereka mengadakan di dalam kitab apa yang tidak dikatakan oleh Allah untuk mengelirukan manusia lalu Allah membutakan hati-hati mereka sehingga mereka meninggalkan di dalamnya sesuatu yang menunjukkan kepada perbuatan mereka itu.(Al-Ihtijaj jilid 1 hal. 371-372)

Kitab-kitab utama Syi'ah yang mengemukakan riwayat-riwayat yang lain dari imam-imam maksum di sisi mereka berkenaan penyelewengan al-Quran adalah seperti Tafsir al-'Aiyyasyi, Tafsir al-Qummi, Al-Anwar An-Nu'maniyyah dan lain-lain lagi.
Namun begitu golongan Syi’ah dengan menggunakan senjata taqiyyah cuba untuk menolak riwayat-riwayat tersebut dengan alasan kononnya tidak semua hadith yang terdapat di dalam al-Kafi adalah sahih. Mereka mengatakan di dalam al-Kafi terdapat lebih dari sembilan ribu riwayat yang dho’if. Persoalannya mereka tidak pula menyatakan sudut kedho’ifan riwayat-riwayat tersebut. Kalau begitu bagaimana pula dengan riwayat-riwayat yang terdapat di dalam al-Kafi berkenaan imamah, mut’ah, raj’ah dan sebagainya. Kalaulah riwayat-riwayat berkenaan tahrif yang terdapat di dalam al-Kafi adalah dho’if tanpa sebarang alasan maka tidak salah kalau dikatakan riwayat-riwayat berkenaan akidah-akidah Syi’ah yang lain juga adalah dho’if maka natijahnya akan runtuhlah ajaran Syi’ah. Di samping itu tiada satupun riwayat dari imam-imam maksum di sisi mereka yang menyebutkan bahawa tidak berlaku tahrif di dalam al-Quran berbeza dengan riwayat tahrif.

Dari segi logik pula Syi’ah sememangnya tidak boleh menerima bahawa al-Quran yang ada sekarang ini adalah yang asli kerana beberapa faktor. Antaranya:

Pertama: al-Quran dihimpunkan oleh sahabat-sahabat Nabi s.a.w. sedangkan Syi’ah mengkafirkan mereka bahkan menganggap mereka adalah sejahat-jahat manusia. Apakah boleh diyakini golongan yang sebegini jahat tidak akan menyelewengkan al-Quran.

Kedua: Di dalam al-Quran penuh dengan pujian terhadap sahabat-sahabat Nabi s.a.w. sedangkan ianya bercanggah dengan kepercayaan Syi’ah.

Ketiga: Di dalam al-Quran tiada menyebutkan berkenaan imam dua belas sama ada secara jelas ataupun isyarat sedangkan akidah tersebut iaitu akidah imamah dan walayah adalah merupakan akidah paling penting di sisi Syi’ah.

Keempat: Di dalam al-Quran Allah taala menyebutkan bahawa mengetahui perkara ghaib hanyalah merupakan hak khusus Allah taala sedangkan Syi’ah memberikan sifat tersebut kepada imam-imam mereka.

Kelima: Di dalam al-Quran Allah taala memberi penekanan terhadap tauhid sedangkan Syi’ah menyebarluaskan syirik di dalam pegangan mereka bila mereka memberikan sifat-sifat ketuhanan kepada imam-imam mereka.

Dan banyak lagi perkara-perkara yang bertentangan dengan akidah Syi’ah yang terdapat di dalam al-Quran.

Kerana itulah Muhammad Baqir Al-Majlisi telah mengemukakan dalil dari sudut logik yang menunjukkan berlakunya tahrif dalam al-Quran dengan berkata:

والعقل يحكم بأنه إذا كان القرآن متفرقا منتشرا عند الناس وتصدى غير المعصوم لجمعه يمتنع عادة أن يكون جمعة كاملا موافقا للواقع، لكن لا ريب في أن الناس مكلفون بالعمل بما في المصاحف وتلاوته حتى يظهر القائم وهذا معلوم متواتر من طريق أهل البيت..عليهم السلام وأكثر أخبار هذا الباب مما يدل على النقص والتغيير

Bermaksud: Akal menghukum bahawa bilamana al-Quran itu berselerak dan bertebaran di tangan orang ramai dan orang yang tidak maksum tampil untuk menghimpunkannya maka dari segi adatnya terhalang untuk menjadi satu himpunan yang sempurna serta menepati kenyataan, akan tetapi tidak diragui lagi bahawa manusia ditaklifkan supaya beramal dengan apa yang terdapat di dalam mushaf-mushaf dan membacanya sehingga Al-Qaim (Imam Mahdi Syi'ah) muncul. Ini merupakan suatu yang sudah dimaklumi serta mutawatir melalui jalan Ahlul Bait a.s. dan kebanyakan hadis-hadis berkenaan bab ini menunjukkan kepada berlakunya pengurangan dan perubahan (dalam al-Quran).(Mir'atul 'Uqul Fi Syarhi Ahadisir Rasul jilid 1 hal. 171)

0 ulasan: