Gender: Ketentuan Atau Kebetulan
Dewasa
ini kita sering mendengar tentang beberapa golongan manusia yang mahu merubah
ketetapan yang telah ditetapkan Allah ta’ala kepadanya. Ada yang menukar
jantinanya dari lelaki kepada perempuan. Ada pula yang ingin menukar keinginan
yang berpunca dari jantinanya iaitu dari keinginan kepada lelaki kepada
keinginan kepada perempuan dan sebaliknya. Maka popularlah istilah-istilah
seperti transeksual, homoseks, lesbian dan seumpamanya. Pelbagai gelaran
diberikan kepada golongan-golongan sebegini seperti pengkid, tomboy, lesbian
dan gay.
Namun begitu apakah mereka
menyedari bahawa ianya merupakan ketentuan Allah ta’ala dan pembentukan jantina
tersebut berlaku sebelum mereka mencapai usia dua bulan lagi di dalam perut
ibu-ibu mereka. Terdapat beberapa ayat al-Quran dan hadith Nabi s.a.w. yang
menjelaskan perkara tersebut. Artikel ringkas ini akan menyentuh beberapa
perkara berkenaan ketentuan ini.
Pertama: Pembentukan kejadian manusia adalah mengikut
kehendak dan ketentuan Allah ta’ala. Manusia tidak boleh merubah segala yang
ditentukan-Nya. Firman-Nya:
هُوَ الَّذِي يُصَوِّرُكُمْ فِي الأَرْحَامِ كَيْفَ يَشَاءُ
لا إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ
Dialah yang membentuk rupa kamu dalam rahim (ibu
kamu) sebagaimana yang dikehendakiNya. Tiada Tuhan (yang berhak disembah)
melainkan Dia, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Ali ‘Imran 6)
Selepas al-Quran menyebutkan sifat Allah yang
membentuk kejadian di dalam rahim, menyusul pula penjelasan dari-Nya bahawa
hanya Dia sahaja tuhan yang menetapkan perkara tersebut dengan penuh kekuasaan
dan kebijaksaan-Nya. Penjelasan ini sebagai peringatan bahawa ketentuan
tersebut bukan dengan secara rambang tetapi penuh kekuasaan dan kebijaksanaan
ilahi.
Firman-Nya di tempat yang lain:
لِلَّهِ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ يَخْلُقُ مَا
يَشَاءُ يَهَبُ لِمَنْ يَشَاءُ إِنَاثًا وَيَهَبُ لِمَنْ يَشَاءُ الذُّكُورَ أَوْ
يُزَوِّجُهُمْ ذُكْرَانًا وَإِنَاثًا وَيَجْعَلُ مَنْ
يَشَاءُ عَقِيمًا إِنَّهُ عَلِيمٌ قَدِيرٌ
Bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di
langit dan di bumi; Dia menciptakan apa yang dikehendakiNya; Dia mengurniakan
anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan mengurniakan
anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Atau Dia mengurniakan mereka kedua-duanya
anak-anak lelaki dan perempuan dan Dia juga menjadikan sesiapa yang
dikehendakiNya: Mandul. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.
(as-Syura 49.50)
Allah mendahulukan ayat ini dengan memberikan
peringatan tentang kekuasaan-Nya. Dia menciptakan segala zat dan segala perkara
berkaitan dengannya. Antara
kehendak-Nya yang dijelaskan di sini ialah menetapkan jantina anak yang
merupakan kurniaan dari-Nya. Bukan hanya alat jantina tetapi segala yang
berkait dengannya seperti perasaan, keinginan dan bentuk tubuh juga mengikut
kehendak Allah ta’ala. Ianya seolah-olah sebagai peringatan bahawa manusia juga
adalah milik Allah dan penetapan jantina kepada anak-anak mereka juga milik-Nya
dan barangsiapa yang ingin berada di bawah langit dan di atas bumi milik-Nya
mestilah mengikut segala ketetapan-Nya.
Begitu juga di dalam hadith-hadith Nabi s.a.w.
juga menyebutkan berkenaan ketetapan tersebut:
عَنْ
حُذَيْفَة بْن أَسِيدٍ
الْغِفَارِيّ قَالَ إِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ يَقُولُ إِذَا مَرَّ بِالنُّطْفَةِ ثِنْتَانِ وَأَرْبَعُونَ لَيْلَةً
بَعَثَ اللَّهُ إِلَيْهَا مَلَكًا فَصَوَّرَهَا وَخَلَقَ سَمْعَهَا وَبَصَرَهَا
وَجِلْدَهَا وَلَحْمَهَا وَعِظَامَهَا ثُمَّ قَالَ يَا رَبِّ أَذَكَرٌ أَمْ
أُنْثَى فَيَقْضِي رَبُّكَ مَا شَاءَ وَيَكْتُبُ الْمَلَكُ ثُمَّ يَقُولُ يَا
رَبِّ أَجَلُهُ فَيَقُولُ رَبُّكَ مَا شَاءَ وَيَكْتُبُ الْمَلَكُ ثُمَّ يَقُولُ
يَا رَبِّ رِزْقُهُ فَيَقْضِي رَبُّكَ مَا شَاءَ وَيَكْتُبُ الْمَلَكُ ثُمَّ
يَخْرُجُ الْمَلَكُ بِالصَّحِيفَةِ فِي يَدِهِ فَلَا يَزِيدُ عَلَى مَا أُمِرَ
وَلَا يَنْقُصُ
Daripada
Huzaifah bin Usaid al-Ghifari r.a. katanya: saya mendengar Rasulullah s.a.w.
bersabda: “Bila berlalu empat puluh dua hari pada nuthfah Allah mengutuskan
seorang malaikat lalu ia membentuk rupanya dan mencipta pendengarannya,
penglihatannya, kulitnya, dagingnya dan tulangnya. Kemudian dia berkata:
“Lelakikah atau perempuan? Maka tuhanmu menentukan mengikut yang ia kehendaki
dan malaikatpun menulis. Kemudian dia (malaikat) itu bertanya: “Wahai tuhan! Ajalnya”.
Maka tuhanmu menetapkan mengikut apa yang ia kehendaki dan malaikatpun menulis.
Kemudian dia (malaikat) bertanya lagi: “Wahai tuhan! Rezekinya? Maka tuhanmu
menetapkan apa yang dikehendakinya. Malaikatpun menulis. Kemudian malaikat
keluar membawa sahifah itu di tangannya dengan tidak menambah lebih dari apa
yang diperintahkan dan tidak mengurangkannya”. (Sahih Muslim)
عَنْ حُذَيْفَةَ بْنِ أَسِيدٍ
يَبْلُغُ بِهِ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَدْخُلُ الْمَلَكُ عَلَى النُّطْفَةِ بَعْدَ مَا
تَسْتَقِرُّ فِي الرَّحِمِ بِأَرْبَعِينَ أَوْ خَمْسَةٍ وَأَرْبَعِينَ لَيْلَةً
فَيَقُولُ يَا رَبِّ أَشَقِيٌّ أَوْ سَعِيدٌ فَيُكْتَبَانِ فَيَقُولُ أَيْ رَبِّ
أَذَكَرٌ أَوْ أُنْثَى فَيُكْتَبَانِ وَيُكْتَبُ عَمَلُهُ وَأَثَرُهُ وَأَجَلُهُ
وَرِزْقُهُ ثُمَّ تُطْوَى الصُّحُفُ فَلَا يُزَادُ فِيهَا وَلَا يُنْقَصُ
Daripada
Huzaifah bin Asid, dia memarfu’kan kepada Nabi s.a.w.. Baginda bersabda: “Malaikat
masuk kepada nuthfah selepas ia berada di dalam rahim selama empat puluh atau
empat puluh lima hari lalu berkata: “Wahai tuhan! Celakakah atau mulia dia?
Maka ditulis kedua-duanya”. Kemudian dia berkata: “Wahai tuhanku! Adakah lelaki
atau perempuan? Maka ditulis kedua-duanya”. Dan ditulis juga amalnya, kesannya,
ajalnya dan rezekinya. Kemudian dilipat mushaf maka tidak ditambah dan
dikurangkan di dalamnya”. (Sahih Muslim)
Kedua:
Ketetapan tersebut dengan maksud yang sangat besar iaitu untuk berkembang biak
keturunan manusia dan seterusnya membawa kemajuan kepada dunia mengikut garis panduan
yang ditetapkan Islam. Kerana itu Allah ta’ala mencipta lelaki mempunyai
keinginan kepada perempuan dan begitu juga sebaliknya. Keinginan tersebut
ditetapkan oleh syara’ hanya pada tempat yang mendatangkan hasil dan bukan
semata-mata untuk memenuhi kehendak syahwat sahaja. Untuk perkembangan tersebut
Allah ta’ala bukan hanya mencipta manusia sahaja mempunyai jantina yang berbeza
tetapi hidupan yang lain seperti binatang juga diciptakan dengan cara yang
sama. Bahkan lebih dari itu Allah jugalah yang memberikan ilham kepada mereka
supaya pandai memilih pasangan di dalam melepaskan kehendak syahwat dan
seterusnya dapat meneruskan keturunan mereka. Firman-Nya:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ
اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا
زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً وَاتَّقُوا اللَّهَ
الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ
رَقِيبًا
Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan
kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam) dan yang
menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya Hawa) dan juga yang
membiakkan dari keduanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai dan
bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut
namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana
sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu. (An-Nisa’ 1)
Dan firman-Nya:
خَلَقَكُمْ مِنْ
نَفْسٍ وَاحِدَةٍ ثُمَّ جَعَلَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَأَنْزَلَ لَكُمْ مِنَ
الْأَنْعَامِ ثَمَانِيَةَ أَزْوَاجٍ
Dia menciptakan kamu dari diri yang satu (Adam),
kemudian Dia menjadikan daripadanya, isterinya (Hawa) dan Dia mengadakan untuk
kamu binatang-binatang ternak delapan ekor: (Empat) pasangan (jantan dan
betina). (Az-Zumar 6)
Firman-Nya
lagi:
وَمِنْ كُلِّ شَيْءٍ
خَلَقْنَا زَوْجَيْنِ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ
Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasangan,
supaya kamu dapat mengambil pengajaran. (Adz-Dzariyat 49)
Firman Allah ta’ala di tempat yang lain:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ
إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ
لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ
عَلِيمٌ خَبِيرٌ
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah
menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu
berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah
mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi
Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih
keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha
Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). (Al-Hujurat 13)
Ketiga:
Larangan keras dari mendatangi isteri pada jalan yang tidak mencapai matlamat
di atas.
Atas
dasar tersebut Nabi s.a.w. melarang keras seseorang lelaki yang mendatangi
isterinya pada jalan yang lain:
عَنْ خُزَيْمَةَ بْنِ
ثَابِتٍ صَاحِبِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ
اللَّهَ لَا يَسْتَحِي مِنْ الْحَقِّ لَا تَأْتُوا النِّسَاءَ فِي أَدْبَارِهِنَّ
Daripada
Khuzaimah bin Thabit r.a. sahabat Rasulullah s.a.w. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Sesungguhnya Allah tidak malu terhadap kebenaran. Janganlah kamu mendatangi
isteri-isteri kamu pada dubur-dubur mereka”. (Musnad Ahmad, Sunan an-Nasaie,
Sahih Ibnu Hibban dan lain-lain dengan pelbagai status dari beberapa orang
sahabat seperti Sayyidina ‘Ali r.a.)
Bahkan
baginda melaknat orang yang melakukan sedemikian:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ
قَالَ
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ مَلْعُونٌ مَنْ أَتَى امْرَأَتَهُ فِي دُبُرِهَا
Daripada
Abu Hurairah r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Dilaknat orang yang
mendatangi isterinya pada duburnya”. (Sunan Abu Daud, Sunan at-Tirmizi, Musnad
Ahmad)
Keempat:
Wanita merupakan ladang iaitu tempat untuk menanam benih mengikut cara yang
dikehendai oleh Allah ta’ala. Sementara itu lelaki pula merupakan petaninya.
Allah
ta’ala berfirman:
نِسَآؤُكُمْ حَرْثٌ لَّكُمْ
فَأْتُواْ حَرْثَكُمْ أَنَّى شِئْتُمْ وَقَدِّمُواْ لأَنفُسِكُمْ وَاتَّقُواْ
اللَّهَ وَاعْلَمُواْ أَنَّكُم مُّلاَقُوهُ وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِينَ
Istri-istrimu adalah (seperti) tanah tempat kamu
bercocok-tanam, maka datangilah tanah tempat bercocok-tanammu itu bagaimana
saja kamu kehendaki. Dan kerjakanlah (amal yang baik) untuk dirimu, dan
bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah bahwa kamu kelak akan menemui-Nya. Dan
berilah kabar gembira orang-orang yang beriman. (Al-Baqarah 223)
Wanita
adalah ladang kepada lelaki. Ia seolah-olah gambaran bahawa lelaki adalah
petani yang akan menghasilkan tanaman pada ladang yang dimiliki olehnya. Memenuhi
kehendak bukan pada tempat yang menghasilkan tanaman adalah dilarang oleh Allah
kerana bercanggah dengan kehendak-Nya. Lebih-lebih lagi jika memenuhi nafsu
pada tempat yang tidak sepatutnya seperti lelaki memenuhi nafsu pada lelaki
atau perempuan memenuhi nafsu pada pasangan sejenisnya adalah merupakan perkara
yang diharamkan oleh agama. Ini kerana ia bercanggah dengan kehendak Allah ta’ala
yang menjadikan lelaki sebagai petani dan perempuan tempat untuk bercucuk
tanaman dan maksud yang lain seperti di atas.
Kesimpulan:
1)
Kejadian manusia mengikut ketetapan dan kehendak Allah ta’ala dengan
penuh kebijaksanaan dan kekuasaan-Nya. Antara kehendak tersebut ialah
penciptaan alat jantina dan yang berkaitan dengannya.
2)
Ketetapan tersebut mempunyai matlamat yang sangat besar yang merupakan
salah satu maksud Allah menjadikan manusia. Kerana itu penciptaan manusia
berbeza dengan kejadian malaikat.
3)
Kerana matlamat tersebut Allah ta’ala menjadikan pada diri manusia
keinginan syahwat dan keinginan tersebut mesti mengikut ketetapan-Nya iaitu
kepada pasangan berlainan jenis dan pada tempat yang ditetapkan.
4)
Allah ta’ala mengharamkan perbuatan memenuhi keinginan syahwat bukan
pada tempatnya kerana ia bercanggah dengan kehendak-Nya dalam menciptakan
manusia.
5)
Al-Quran menjelaskan bahawa lelaki adalah petani dan wanita adalah
ladang. Tidak boleh diubah ketentuan tersebut dengan menjadikan sebaliknya.
(Ini
hanya kesimpulan dari satu sudut dengan tidak membincangkan ancaman Allah ta’ala
terhadap orang yang melakukan hubungan sejenis dan laknat terhadap kaum Luth)