09 Mac 2011

Tiada Syi’ah Tiada Sunnah

Tiada Syi’ah Tiada Sunnah

Lihat di sini: http://tehranifaisal.blogspot.com/2011/03/mesej-bahrain-untuk-anda.html

Apakah laungan ini semua terbit dari hati-hati yang ikhlas?

Atau ianya sekadar TAQIYYAH atau PROPAGANDA MURAHAN atau DAKYAH untuk menipu ASWJ?

Ingatlah kepada apa yang berlaku kepada taqrib bain as-Syi’ah wa as-Sunnah yang telah dilangsungkan di Mesir suatu ketika dahulu..

Sila baca sedikit fakta berkenaan Dar at-Taqrib:

Kebanyakan `ulama’ al-Azhar telah bersetuju dengan rancangan pendekatan yang ditaja oleh Dar at-Taqrib di Mesir. Namun begitu ada juga di antara `ulama’nya yang tidak menyetujui rancangan itu seperti Syeikh Muhibbuddin al-Khatib, dan ada juga di antara mereka yang menaruh kebimbangan terhadap rancangan itu seperti `Allamah Rasyid Ridha dan Doktor Mustapha as-Siba`i.

`Allamah Rasyid Ridha adalah di antara orang yang bersungguh-sungguh dan bekerja keras dalam usaha-usaha pendekatan antara Sunnah dengan Syi`ah. Beliau mempunyai hubungan yang baik dengan beberapa orang tokoh Syi`ah, di antaranya Ketua Pengarang Majalah Al-‘Irfan, Hibatuddin asy-Syahrastani an-Najafi dan `Abdul Husain Syarafuddin al-Musavi pengarang Dialog Sunnah-Syi`ah, dan juga Muhyuddin `Usairan.

Pada peringkat permulaannya `Allamah Rasyid Ridha menganggap sahabat-sahabat Syi'ahnya itu terdiri dari Syi`ah yang sederhana tetapi akhirnya beliau terkejut apabila melihat sebuah buku tulisan Mohsin al-Amin al-`Amili yang bernama “Kritik Terhadap Wahhabiyyah”. Kemudian terbit pula sebuah buku karangan pengarang yang sama bernama “Al-Hushunu Al-Mani`ah Fi Ar-Raddi `Ala Ma Auradahu Shahibu Al-Manar Fi Haqqi Asy-Syi`ah”. Ketika itu yakinlah `Allamah Rasyid Ridha bahawa kesederhanaan yang ditonjolkan oleh sahabat-sahabatnya dari kalangan Syi`ah itu tidak lebih daripada taqiyyah dan nifaq.

Yang lebih menyakinkan lagi beliau ialah ketika mana sahabatnya juga, iaitu Ketua Pengarang Majalah Al-'Irfan menyokong apa yang ditulis oleh Mohsin al-Amin al-`Amili. Rasyid Ridha berasa perlu menjawab kebatilan-kebatilan mereka dan menyatakan kebenaran yang cuba dihapuskan oleh mereka. Kerana itu beliau menulis risalahnya yang pertama berjudul As-Sunnah Wa As-Syi`ah.

Di dalamnya beliau menyatakan kepercayaan Syi`ah bahawa para sahabat telah membuangkan beberapa ayat dari al-Qur'an, dan as-Sunnah di sisi orang-orang Syi`ah ialah kata-kata, perbuatan atau taqrir imam-imam mereka yang ma`sum dan akhir sekali beliau mendedahkan sikap biadab golongan Syi`ah terhadap sahabat Rasulullah s.a.w. Begitu juga beliau mendedahkan bagaimana Syi`ah melaknat Sayyidina Abu Bakar dan `Umar serta yakin bahawa kebanyakan sahabat telah murtad.

`Allamah Rasyid Ridha juga telah memuatkan di dalam bukunya itu dua pucuk surat dari dua tokoh `ulama’ yang pernah berutusan surat di suatu ketika dahulu berhubung dengan Syi`ah. Dua tokoh yang dimaksudkan ialah `Allamah Negeri `Iraq iaitu Mahmud Syukri al-Alusi dan `Allamah Negeri Syam, Jamaluddin al-Qasimi. Dari surat-surat itu jelas kepada kita bahawa yang mendorong `Allamah al-Qasimi menulis surat kepada `Allamah al-Alusi itu ialah terbitnya dua buah buku karangan tokoh Syi`ah, Mohsin al-Amin al-`Amili yang tersebut tadi. Surat al-Qasimi itu dijawab oleh al-Alusi dengan penuh keyakinan bahawa Syi`ah Rafidhah mempercayai berlakunya tokok tambah di dalam al-Qur'an dan mereka mengingkari Sunnah.

`Allamah al-Alusi juga telah menyatakan kesyirikan golongan Rafidhah dalam `aqidah dan ibadah. Tidak hairanlah jika mereka telah mengkafirkan tokoh-tokoh kita dan menganggap sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. telah murtad. Kemudian al-Alusi mengemukakan satu syair yang berbunyi:-

إِنَّ الرَوَافِضَ قَوْمٌ لاَ خَلاَقَ لَهُمْ مِنْ أَجْهَلِ النّاَسِ فِيْ عِلْمٍ وَأَكْذَبِهِ

Bermaksud: “Sesungguhnya golongan Rafidhah adalah satu golongan yang malang. Mereka adalah manusia yang paling jahil dan paling pendusta.”

Risalah As-Sunnah Wa As-Syi`ah tulisan `Allamah Rasyid Ridha memuatkan penyaksian dua `ulama’, al-Qasimi dan al-Alusi, di samping memuatkan juga penyaksian-penyaksian pengarangnya sendiri. Dan mereka semua berpendapat tentang rosaknya `aqidah golongan Syi`ah serta kemustahilan akan wujudnya persefahaman dengan mereka. (Dr. `Abdullah Muhammad al-Gharib, Wa Jaa'a Dauru Al-Majus, halaman 146 - 148)

Syeikh Muhibbuddin al-Khatib di dalam bukunya “Al-Khututu Al-`Aridhah” meragui usaha-usaha pendekatan itu kerana beberapa sebab. Antara lain ialah usaha-usaha itu hendaklah benar-benar dibuktikan oleh kedua-dua belah pihak, kerana menurut beliau, hanya pihak Sunnah sahaja yang bersungguh-sungguh menjayakan apa yang diputuskan dalam muktamar-muktamar Dar at-Taqrib.

Perkara kedua yang menyebabkan beliau meragui usaha-usaha itu ialah usaha-usaha pendekatan itu dimulakan dengan perkara cabang bukan dimulakan dengan penyelesaian perkara pokok terlebih dahulu.

Ketiga, untuk usaha-usaha itu, sebuah negara Syi`ah telah membelanjakan sejumlah wang untuk mendirikan satu badan yang dinamakan Dar at-Taqrib di Mesir, sedangkan negara-negara yang penduduknya terdiri dari orang Syi`ah tidak bermurah hati untuk menghulurkan wang demi mendirikan satu badan yang sama di negara-negara mereka.

Keempat, jika golongan Syi`ah benar-benar berhasrat untuk menjayakan usaha-usaha yang diharapkan tercapainya melalui penubuhan Dar at-Taqrib itu, mengapakah di tahun-tahun kebelakangan ini mereka menerbitkan buku-buku yang menghancurkan hasrat dan impian untuk mencapai persefahaman dan pendekatan antara Ahli Sunnah dengan Syi`ah?

`Ulama’-`ulama’ Syi`ah di Najaf telah menerbitkan sebuah buku yang bernama Az-Zahra’ terdiri dari tiga juzuk. Buku ini memuatkan beberapa fakta yang tidak berasas dan melukakan hati setiap Ahli Sunnah. Umpamanya mereka mengatakan Amirul Mukminin `Umar al-Khattab diserang oleh suatu penyakit yang tidak dapat disembuhkan kecuali dengan air mani lelaki.

Doktor Mustapha as-Siba`i seperti telah disebutkan sebelum ini, meragui dan menaruh kebimbangan terhadap usaha-usaha itu walaupun beliau sendiri menuruti keputusan yang telah diambil oleh `ulama’ al-Azhar.

`Ulama’-`ulama’ al-Azhar boleh dikatakan telah bersetuju mengikuti apa yang diputuskan melalui Dar at-Taqrib itu, tetapi dalam masa yang sama kita melihat `ulama’-`ulama’ di benua kecil India tidak bersetuju dan menentang dengan sekeras-kerasnya usaha pendekatan antara Ahli Sunnah dengan Syi`ah itu, kerana bagi mereka usaha-usaha untuk mendekatkan Ahli Sunnah dengan Syi`ah adalah usaha yang sia-sia. Mereka sepakat menyatakan arus aliran Syi`ah berlainan dan bercanggah sama sekali dengan arus aliran Ahli Sunnah Wal Jama`ah. Perkara ini ditegaskan oleh tokoh-tokoh Syi`ah sendiri yang juga tidak bersetuju dengan usaha-usaha pendekatan itu.

Sebenarnya golongan Syi`ah ini tidak mahu langsung bertolak ansur dalam perkara-perkara `aqidah dan ajaran-ajaran Syi`ah. Tetapi mereka tidak sedar bahawa usaha pendekatan yang telah diusahakan oleh saudara-saudaranya tidak lebih daripada usaha-usaha untuk mendekatkan Ahli Sunnah kepada Syi`ah dan itu adalah di antara politik mereka semata-mata.

Hari ini sudah terlalu nyata bahawa `ulama’ al-Azhar telah kecundang dalam pertaruhannya dengan `ulama’ Syi`ah. Itu berlaku kerana `ulama’ al-Azhar terlalu jujur dan setia dalam perjanjian-perjanjian yang dibuat oleh mereka dengan `ulama’-`ulama’ Syi`ah, sebaliknya `ulama’ Syi`ah tidak membalas kesetiaan yang dihadiahkan oleh `ulama’ Ahli Sunnah dari al-Azhar dengan kesetiaan yang setimpal. Sesetengah `ulama’ al-Azhar telah mengeluarkan fatwa bahawa harus beribadat mengikut cara mazhab Syi`ah Imamiyyah Ithna `Asyariyyah dan bahawa golongan ini adalah satu golongan Islam. Tetapi lihatlah bagaimanakah budi baik `ulama’-`ulama’ al-Azhar itu dibalas oleh `ulama’-`ulama’ Syi`ah!

`Abdul Husain Syarafuddin al-Musavi telah menulis buku Al-Muraja`at (Dialog Sunnah-Syi`ah). Di dalamnya beliau memuatkan surat menyurat antara beliau dengan Syeikh al-Azhar, Salim al-Bisyri. Di dalam buku ini Syeikh Salim al-Bisyri kelihatan sebagai pelajar yang sentiasa menunggu dan mengharapkan huraian dari seorang gurunya dan jika begitulah sebenarnya kedudukan Syeikh al-Azhar, maka alangkah malangnya Ahli Sunnah kerana Syeikh al-Azharnya pun begitu jahil.
Sebenarnya buku Al-Muraja`at adalah sebuah buku yang direka oleh `Abdul Husain Syarafuddin untuk merendah-rendahkan `ulama’-`ulama’ dari al-Azhar dan serentak dengan itu ia mahu memikat para pembaca dengan metode penulisan buku tersebut. Syeikh Salim al-Bisyri mengemukakan soalan-soalan dan Syeikh al-Musavi menjawabnya. Begitulah soal jawab berlaku hingga ke akhir kitab. Satu persoalan yang timbul, kenapakah Syeikh al-Azhar tidak menjadi Syi`ah setelah dia berpuas hati di segi usul dan furu` Syi`ah itu? Selain dari itu pengarang kitab tersebut `Abdul Husain Syarafuddin mengakui bahawa beliau telah mengubah beberapa perkara dalam dialog asal yang berlaku antara mereka berdua dengan beberapa tambahan yang sesuai dengan keadaan dan keperluan. (Lihat muqaddimah kitab tersebut halaman 2, 4 dan 5 edisi `Arab dan halaman 1 dan 6 edisi Bahasa Indonesia) Tidak dapat di pastikan sebanyak manakah yang ditambah dan yang dianggap sebagai tambahan yang diperlukan itu!
Kitab ini juga ditulis 25 tahun selepas Syeikh Salim al-Bisyri meninggal dunia sebagaimana diakui oleh pengarangnya sendiri dalam kitab tersebut. Kenapakah kitab itu tidak diterbitkan semasa hayat Syeikh Salim al-Bisyri? Ada juga orang yang telah menyiasat tentang hakikat dialog yang termuat dalam kitab tersebut dengan bertanya kepada anak Syeikh Salim al-Bisyri. Beliau menjawab bahawa beliau tidak pernah mengenali Syeikh al-Musavi dan tidak pula ingat bahawa ayahnya pernah mengadakan hubungan dengan pengarang kitab tersebut atau berdialog dengannya. Itulah balasan Syi`ah terhadap budi baik `ulama’-`ulama’ Ahli Sunnah!


(petikan daripada Syi’ah Rafidhah Karangan Maulana Mohd. Asri Yusof)

Kalau kamu semua golongan Syi’ah benar-benar ikhlas dalam laungan tersebut maka laungan yang sepatutnya didahulukan ialah:

Tiada Sahabat, Tiada Ahl Al-Bait

Dengan maksud tiada sebarang perbalahan dan permusuhan antara kedua-dua golongan sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh Syi’ah. Ini terbukti bila Sayyidina Ali r.a. sendiri bersama-sama dengan khalifah yang tiga Abu Bakr, Umar, Uthman r.a. dalam menegakkan khilafah dan Negara Islam Madinah selepas kewafatan Rasulullah s.a.w.

Dan ahl al-bait ketika itu dan selepasnya turut sama berperang, berjihad di bawah payung pemerintah umat Islam. Umpamanya Ali r.a. turut sama berperang di bawah pemerintahan Abu Bakr, Umar, Uthman r.a.. Begitu juga anak2 beliau Hasan dan Husain r.a. turut sama berperang di bawah pemerintahan Uthman dan Mu’awiyah r.a. seperti dalam pembukaan Konstantinapel yang dikepalai oleh Yazid bin Mu’awiyah.

Dan selepas itu berlaku hubungan persemendaan yang telah terbukti dalam sejarah antara ahl al-bait dengan Bani Umayyah.

Sila hidupkan laungan ini dahulu
Tiada Sahabat Tiada Ahl Al-Bait

Dan akan muncul pula laungan-laungan yang lain selepas itu….

Dan selepas itu kita akan dapat sama-sama dapat melihat titik-titik persaudaraan dan tiada lagi 2 firqah sebaliknya hanya satu sahaja.

1 ulasan:

Krongthip Mahalakorn berkata...

Rasanya memang sesia untuk berunding dengan Syiah kerana Taqiyyah itu termasuk aqidah penting dalam ugama
mereka. Mereka juga tidak akan menerima kebenaran kerana (diatas sifat orang yang menyeleweng)mereka sendiri mengetahui mereka sengaja menyeleweng. Muhabalah boleh dilakukan sebagai memberi maklumat dan kesedaran kepada masyarakat awam tentang kepalsuan mereka. Namun ianya
mesti ditentang dan diatasi segala hujjah sesat dari segenap sudut.
Umpama nasab anak hasil mutaah, (persundalan)kepada siapa harus di nasabkan. Kalau tak tahu bapanya mereka kan lakukan undian tapi dalil bagi hal sedemikian tiada dalam qurqn atau hadith. Mereka akan kata ini adalah kata2 imam mereka. Sebenar puak ini boleh ditentang secara Ilmiah kerana kesesatan mereka dapat dibuktikan melalui kitab2 karangan mereka sendiri. Kalau berunding buang masa aje. Bagi saya mereka bukan Islam.