13 Mei 2010

Mut’ah: Kelebihan Yang Disenangi?

Mut’ah: Kelebihan Yang Disenangi?

Al-Quran menganjurkan supaya manusia berlumba-lumba ke arah kebaikan dan untuk memperolehi ganjaran yang besar dalam agama. Allah ta’ala berfirman:

وَسَارِعُواْ إِلَى مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ

Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.(Surah Ali ‘Imran 133)

فَاسْتَبِقُواْ الْخَيْرَاتِ

Maka berlumba-lumbalah kamu di dalam mengerjakan kebaikan.(Surah al-Baqarah 148)
Begitu juga Nabi s.a.w. sentiasa menggalakkan umatnya supaya berlumba-lumba dalam memperolehi ganjaran daripada Allah ta’ala. Golongan pertama yang sentiasa diambil berat oleh baginda supaya tidak terlepas dari kebaikan yang besar ialah keluarga baginda sendiri. Kerana itu di dalam hadith-hadith terdapat riwayat baginda mengejutkan isteri-isteri, anak dan menantu baginda supaya bangun mengerjakan amalan pada waktu malam yang mendatangkan ganjaran yang begitu besar dari Allah ta’ala.

Merujuk kepada tajuk di atas, mut’ah merupakan amalan yang besar kedudukan dan ganjarannya di sisi Syi’ah. Kitab-kitab utama Syi’ah menukilkan begitu banyak riwayat daripada imam-imam maksum mereka tentang kelebihan tersebut. Antaranya:

قال الصادق عليه السلام: (ليس منا من لم يؤمن بكرتنا، ويستحل متعتنا)

Imam Ja’far as-Sadiq a.s. berkata: “Bukan dari kalangan kita orang yang tidak beriman dengan raj’ah (kebangkitan sebelum kiamat) kita dan tidak menganggap halal mut’ah kita”.(Man La Yahdhuru al-Faqih jil. 3 hal. 459)

وروى صالح بن عقبة، عن أبيه عن أبي جعفر عليه السلام قال: قلت له: (للمتمتع ثواب؟ قال: إن كان يريد بذلك وجه الله تعالى وخلافا على من أنكرها لم يكلمها كلمة إلا كتب الله تعالى له بها حسنة، ولم يمد يده إليها إلا كتب الله له حسنة، فإذا دنا منها غفر الله تعالى له بذلك ذنبا، فإذا اغتسل غفر الله له بقدر ما مر من الماء على شعره، قلت: بعدد الشعر؟ قال: نعم بعدد الشعر)).

Soleh bin ‘Uqbah daripada ayahnya daripada Abi Ja’far (Muhammad al-Baqir) a.s. katanya: “Saya (‘Uqbah) berkata kepadanya: “Adakah orang yang melakukan mut’ah mendapat pahala? Dia (Abi Ja’far) menjawab: “Kalau dia maksudkan dengan melakukannya untuk memperolehi keredhaan Allah ta’ala berbeza dengan orang yang mengengkarinya (keredhaan Allah). Tidak dia (orang yang melakukan mut’ah) bercakap dengannya (perempuan mut’ah) satu kalimah melainkan Allah memberikan kepadanya satu kebaikan. Tidaklah dia menghulurkan tangannya kepadanya (perempuan itu) melainkan Allah menuliskan kepadanya satu kebaikan. Bila dia menghampiri perempuan itu Allah ta’ala mengampunkannya dengan perbuatan tersebut. Bila ia mandi Allah mengampunkannya sebanyak mana air yang mengalir di atas bulunya”. Saya (perawi) berkata: “Sebanyak bilangan bulu? Dia menjawab: “Ya! Sebanyak bilangan bulu”.(Man La Yahdhuru al-Faqih jil. 3 hal. 463)

Dua riwayat di atas sudah cukup untuk menyatakan betapa tingginya kedudukan dan besarnya kelebihan mut’ah di sisi Syi’ah. Namun begitu kalau diteliti kepada kitab-kitab Syi’ah, akan ditemui riwayat yang menunjukkan imam-imam mereka tidak menyukai kaum keluarga mereka memperolehi kelebihan yang besar ini. Antaranya:

عن زرارة قال: جاء عبدالله بن عمير الليثي إلى أبي جعفر (ع) فقال له: ماتقول في متعة النساء؟ فقال: أحلها الله في كتابه وعلى لسان نبيه صلى الله عليه وآله فهي حلال إلى يوم القيامة فقال: يا أبا جعفر مثلك يقول هذاو قد حرمها عمر ونهى عنها؟ ! فقال وإن كان فعل، قال: إني اعيذك بالله من ذلك أن تحل شيئا حرمه عمر، قال: فقال له: فأنت على قول صاحبك وأنا على قول رسول الله صلى الله عليه وآله فهلم الاعنك أن القول ما قال رسول الله صلى الله عليه وآله وأن الباطل ما قال صاحبك، قال: فأقبل عبدالله ابن عمير فقال: يسرك أن نساء‌ك وبناتك وأخواتك وبنات عمك يفعلن، قال: فأعرض عنه أبوجعفر (ع) حين ذكر نساء ه وبنات عمه.

Daripada Zurarah katanya: Abdullah bin ‘Umair al-Laithi datang kepada Abi Jaa'far a.s. (Muhammad al-Baqir imam kelima di sisi Syi’ah) lalu dia bertanya: “Apa katamu tentang mut'ah perempuan? Beliau menjawab: “Allah telah menghalalkannya di dalam kitab-Nya dan di atas lidah Nabi-Nya s.a.w. Maka dia halal sehingga ke hari kiamat”. Abdullah bin ‘Umair bertanya lagi: “Wahai Aba Jaa'far! Orang sepertimu berkata demikian sedangkan ‘Umar telah mengharamkannya dan menegah darinya? Beliau menjawab: “Walaupun ‘Umar melakukan demikian”. Abdullah bin ‘Umair berkata: “Aku berlindung dengan Allah daripada engkau menghalalkan sesuatu yang diharamkan ‘Umar”. Abu ‘Abdillah a.s. berkata: “Engkau berada di atas pendapat sahabatmu dan aku berada di atas sabda Rasulullah s.a.w.”. Sesungguhnya kebenaran adalah sabda Rasulullah s.a.w. dan kebatilan adalah kata-kata sahabatmu”. Abdullah bin ‘Umair pun menghadapkan wajahnya kearah Abu Ja’far a.s. seraya berkata: “Apakah engkau gembira perempuan-perempuanmu, anak-anak perempuanmu, saudara-saudara perempuanmu dan sepupu-sepupu perempuanmu melakukannya? Zurarah (perawi) berkata: “Maka berpalinglah Abu Jaafar a.s. ketika mana disebutkan perempuan-perempuan dan sepupu-sepupu perempuannya”.(Al-Kafi jil. 5 hal. 450)

Di dalam riwayat ini jelas menunjukkan bahawa imam kelima Syi’ah Muhammad al-Baqir tidak suka perempuan-perempuan dari kalangan keluarganya dilakukan mut’ah terhadap mereka. Apakah beliau tidak suka keluarganya memperolehi kelebihan yang sangat besar ini di sisi Syi’ah ataupun apakah kelebihan ini hanya diperolehi bila amalan ini dilakukan terhadap kaum keluarga orang lain tetapi tidak kepada keluarga sendiri?
Bagaimana pula dengan penganut-penganut Syi’ah yang mendakwa sebagai pengikut kepada imam-imam maksum mereka? Apakah mereka hanya tahu berseronok dengan perempuan dengan kaum keluarga orang lain dengan alasan untuk memperolehi ganjaran yang besar atas nama agama? Dan akan mengelakkan perempuan-perempuan mereka dijadikan bahan mainan untuk kepuasan nafsu orang lain? Kalau mereka merelakan juga perempuan mereka dijadikan perempuan sewaan atas nama mut’ah maka mereka tidak sama dari segi amalannya dengan imam Muhammad al-Baqir kerana beliau tidak ingin maruah perempuan dari kalangan keluarganya dipermainkan. Tetapi kalaulah mereka tidak merelakan perempuan dari kalangan keluarga mereka dimut’ahkan bermakna mereka telah menghalang kaum keluarga mereka dari memperolehi ganjaran dan pengampunan dari Allah ta’ala. Pilihan terbuka antara mengikut imam atau memperolehi ganjaran dan pengampunan Allah ta’ala.

0 ulasan: