28 Januari 2010

Menyanggah Syi'ah: Tugas Nabi-Nabi Di Sisi Syi’ah

Tugas Nabi-Nabi Di Sisi Syi’ah.

Di antara tugas penting para nabi di sisi Syi’ah ialah menyampaikan tentang kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. dan perlantikan Ali bin Abi Talib serta anak cucunya sebagai washi dan imam-imam sesudahnya. Kitab-kitab utama mereka tidak sunyi daripada menyebutkan tugasan para nabi ini.

عن أبي عبدالله عليه السلام قال: ولايتنا ولاية الله التي لم يبعث نبيا قط إلا بها.

Daripada Abi Abdillah a.s. katanya: “Walayah kita adalah walayah Allah yang tidak diutuskan seorangpun nabi kecuali membawanya”. (Usul al-Kafi jil. 1, hal. 438)


عن محمد بن الفضيل، عن أبي الحسن عليه السلام قال: ولاية علي عليه السلام مكتوبة في جميع صحف الانبياء ولن يبعث الله رسولا إلا بنبوة محمد صلى الله عليه وآله ووصية علي عليه السلام.

Daripada Muhammad bin al-Fudhail daripada Abi al-Hasan a.s. katanya: “Walayah Ali a.s. ditulis dalam semua suhuf nabi-nabi. Allah tidak mengutuskan seorangpun rasul kecuali dengan membawa kenabian Muhammad s.a.w. dan wasiat tentang Ali a.s. (sebagai washi sesudahnya)”. (Usul al-Kafi jil. 1, hal. 438)


عن ابي جعفر عليه السلام في قول الله: ولقد عهدنا إلى آدم من قبل فنسي ولم نجد له عزما قال عهد اليه في محمد صلى الله عليه وآله والائمة من بعده فترك ولم يكن له عزم فيهم انهم هكذا وانما سموا اولو العزم انه عهد اليهم في محمد والاوصياء من بعده والقائم عليه السلام وسيرته فأجمع عزمهم ان ذلك كذلك والاقرار به.


Daripada Abi Ja’far a.s. berkenaan firman Allah

وَلَقَدْ عَهِدْنَا إِلَى آَدَمَ مِنْ قَبْلُ فَنَسِيَ وَلَمْ نَجِدْ لَهُ عَزْمًا

Yang bermaksud: Dan demi sesungguhnya, Kami telah berpesan kepada Adam pada masa yang lalu, tetapi dia lupa dan kami tidak mendapatinya mempunyai keazaman yang teguh.
Katanya (Abu Ja’far): “Allah telah berpesan kepadanya tentang Muhammad dan imam-imam selepasnya lalu dia meninggalkan dan ia (Adam) tidak mempunyai keazaman (kepercayaan) yang teguh tentang mereka sedemikian (kepercayaan tentang Muhammad dan imam-imam selepasnya). Sebab mereka (nabi-nabi) dinamakan ulul ‘azm ialah Allah telah berpesan kepada mereka tentang Muhammad dan para washi sesudahnya dan al-Qaim (imam Mahdi di sisi Syi’ah iaitu Muhammad bin Hasan al-Askari) dan sejarahnya lalu mereka meneguhkan kepercayaan tersebut sedemikian dan mengakuinya”.
Terdapat banyak lagi riwayat-riwayat sedemikian di dalam kitab-kitab Syi’ah seperti Tafsir as-Shafi, Mustadrak al-Wasail, Bihar al-Anwar, Tafsir Furat al-Kafi. Namun tiga riwayat di atas yang terdapat di dalam kitab yang paling sahih di sisi mereka sudahpun memadai untuk membenarkan tentang akidah mereka berkenaan nabi-nabi.(Tafsir al-Qummi jil. 2 hal. 67, Usul al-Kafi jil. 1 hal. 417)

Sanggahan terhadap pegangan tersebut.

Pertama: Al-Quran menyatakan dengan jelas bahawa para nabi diutuskan membawa ajaran tauhid dan tidak terdapat satupun ayat al-Quran yang mengatakan bahawa mereka diutuskan untuk menyampaikan tentang walayah Ali r.a. dan anak cucunya.

وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ مِنْ رَسُولٍ إِلَّا نُوحِي إِلَيْهِ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدُونِ

Dan Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) seseorang Rasul pun melainkan Kami wahyukan kepadanya: Bahawa sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Aku, oleh itu beribadatlah kamu kepadaKu. (Surah al-Anbiya’ ayat 25)

وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولًا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut. (Surah an-Nahl ayat 36)

Begitu juga penjelasan yang diberikan oleh para nabi kepada kaumnya sebagaimana yang dinukilkan oleh al-Quran:

لَقَدْ أَرْسَلْنَا نُوحًا إِلَى قَوْمِهِ فَقَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّهَ مَا لَكُمْ مِنْ إِلَهٍ غَيْرُهُ

Sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya, lalu berkatalah ia: Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. (Surah al-A’raf ayat 59)

Begitu juga dengan nabi-nabi yang lain seperti Hud, Salih, Syu’aib a.s. (Lihat ayat 65, 73, 85)

Hadith-hadith Nabi s.a.w. juga menjelaskan bahawa tugas rasul ialah menyampaikan ajaran tauhid dan tidak terdapat satupun hadith yang menyebutkan sebagaimana yang diimani oleh golongan Syi’ah.

Kedua: Al-Quran juga menyebutkan tentang perjanjian nabi-nabi dengan Allah ta’ala supaya beriman dan membela mana-mana nabi yang dibangkitkan sesudahnya andaikata mereka sempat dengan zaman nabi tersebut.

وَإِذْ أَخَذَ اللَّهُ مِيثَاقَ النَّبِيِّينَ لَمَا آَتَيْتُكُمْ مِنْ كِتَابٍ وَحِكْمَةٍ ثُمَّ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مُصَدِّقٌ لِمَا مَعَكُمْ لَتُؤْمِنُنَّ بِهِ وَلَتَنْصُرُنَّهُ قَالَ أَأَقْرَرْتُمْ وَأَخَذْتُمْ عَلَى ذَلِكُمْ إِصْرِي قَالُوا أَقْرَرْنَا قَالَ فَاشْهَدُوا وَأَنَا مَعَكُمْ مِنَ الشَّاهِدِينَ

Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia dari Nabi-nabi (dengan firmanNya): Sesungguhnya apa jua Kitab dan Hikmat yang Aku berikan kepada kamu, kemudian datang pula kepada kamu seorang Rasul yang mengesahkan apa yang ada pada kamu, hendaklah kamu beriman sungguh-sungguh kepadanya dan hendaklah kamu bersungguh-sungguh menolongnya. Allah berfirman lagi (bertanya kepada mereka): Sudahkah kamu mengakui dan sudahkah kamu menerima akan ikatan janjiku secara yang demikian itu? Mereka menjawab: Kami berikrar (mengakui dan menerimanya). Allah berfirman lagi: Jika demikian, maka saksikanlah kamu dan Aku juga menjadi saksi bersama-sama kamu. (Surah Ali Imran ayat 81)

Tiada pula satu pun ayat yang menyebutkan bahawa Allah mengambil perjanjian dengan nabi-nabi supaya beriman kepada walayah Ali r.a. dan membelanya.

Ketiga: Tidak terdapat seorangpun dari kalangan Ahlul Kitab yang memeluk Islam dan seterusnya mengakui bahawa terdapat di dalam kitab asal yang menjadi pegangan mereka seperti Injil dan Taurat yang menyebutkan bahawa terdapat di dalamnya wasiat atau perintah supaya berpegang dan menyampaikan tentang walayah Ali r.a. dan anak cucunya sedangkan kitab-kitab yang sama menyebutkan tentang kerasulan Muhammad s.a.w..


Dari sumber manakah Syi’ah menguatkan dakwaan tersebut?

1 ulasan:

Abu Hannan berkata...

http://futurephenomenon.wordpress.com/koleksi-hadis2/

salam tuan, boleh tak tuan semakkan hadis2 dlm link di atas.. sy terlalu musyhkil mengenai statusnya..

saya mnta sgt untuk tuan bagi jawbn secepat mungkin ke emel saya, sufi_kias88@yahoo.com