24 November 2009

Nikah Mut’ah: Antara Syi’ah Dan Ahlus Sunnah

Nikah Mut’ah: Antara Syi’ah Dan Ahlus Sunnah .

Keharusan perkahwinan mut’ah merupakan salah satu punca pertikaian antara Ahlus Sunnah dan Syi’ah. Sejak sekian lama ia menjadi bahan polemik dan perdebatan antara dua golongan ini.

Sebelum membincangkan pendapat kedua pihak berkenaan dengannya elok sekali diketahui bagaimanakan bentuk perkahwinan ini.

Kahwin mut’ah berdasarkan kitab-kitab Syi’ah.

Terdapat begitu banyak riwayat-riwayat berkenaan bentuk perkahwinan ini di dalam kitab-kitab Syi’ah. Sebahagian daripadanya sebagaimana di bawah.

Mut’ah tidak terbatas dengan empat orang sahaja:

الحسين بن محمد، عن أحمد بن إسحاق، عن سعدان بن مسلم، عن عبيدبن زرارة، عن أبيه، عن أبي عبدالله (ع قال: ذكرت له المتعة أهي من الاربع؟ فقال: تزوج منهن ألفا فإنهن مستأجرات.

Al-Kulaini meriwayatkan daripada Abi Abdillah (Jaafar as-Sadiq) a.s. bahawa disebutkan kepadanya tentang mut'ah adakah ia termasuk daripada empat (isteri)? Beliau menjawab: “Kahwinilah mereka walaupun seribu kerana mereka termasuk perempuan-perempuan yang disewakan”.(Al-Furu’ min al-Kafi jil 5 hal. 452, Al Istibshar jil. 3 hal. 461, Tahzib al-Ahkam jil. 7 hal. 259, Wasaail as-Syi’ah jil. 14 hal. 446)

محمد بن يحيى، عن أحمد بن محمد بن عيسى، عن الحسين سعيد، ومحمد بن خالد البرقي، عن القاسم بن عروة، عن عبدالحميد، عن محمد بن مسلم، عن أبي جعفر (ع في المتعة قال: ليست من الاربع انها لاتطلق ولاترث وإنما هي مستأجرة.

Al-Kulaini meriwayatkan daripada Abi Jaafar a.s. (Muhammad al-Baqir) berkenaan mut'ah katanya: “Ianya bukan termasuk daripada empat (isteri) kerana mereka tidak diceraikan dan tidak mewarisi, mereka hanyalah perempuan sewaan sahaja”.(Al-Furu’ min al-Kafi jil 5 hal. 452 hadith no 9954)

Bagaimana mut’ah boleh berlaku:

عن زرارة، عن أبي عبدالله (ع قال: لا تكون متعة إلا بأمرين أجل مسمى وأجر مسمى.

Al-Kulaini meriwayatkan daripada Zurarah daripada Abi Abdillah (Jaafar as-Sadiq) a.s. katanya, “Tidak berlaku mut'ah kecuali dengan dua perkara iaitu tempoh yang telah ditetapkan dan upah (bayaran) yang tertentu”.( Al-Furu’ min al-Kafi jil 5 hal. 457 hadith no 9967)

Bayaran mahar perkahwinan mut’ah:

عدة من أصحابنا، عن سهل بن زياد، عن أحمد بن محمد بن أبي نصر، وعبدالرحمن ابن أبي نجران، عن عاصم بن حميد، عن محمد بن مسلم قال: سألت أبا عبدالله (ع كم المهر - يعني في المتعة -؟ قال: ما تراضيا عليه إلى ماشاء من الاجل.

Al-Kulaini meriwayatkan daripada Muhammad bin Muslim katanya: “Aku bertanya Aba Abdillah a.s.: “Berapakah mahar (dia maksudkan pada mut'ah)?” Beliau menjawab: “Sekadar yang dipersetujui oleh kedua pihak sehingga tempoh yang dikehendaki”.( Al-Furu’ min al-Kafi jil 5 hal. 459 hadith no 9977)

محمد بن يحيى، عن أحمد بن محمد، عن الحسين بن سعيد، ومحمد بن خالد البرقي، عن القاسم بن محمد الجوهري، عن أبي سعيد، عن الاحول قال: قلت لابي عبدالله (ع: أدنى مايتزوج به المتعة؟ قال: كف من بر.

Al-Kulaini meriwayatkan daripada Ahwal katanya: “Aku bertanya Aba Abdillah a.s.: “Berapakah mahar yang paling rendah untuk perkahwinan mut'ah? Beliau a.s. menjawab: “Segenggam gandum”.( Al-Furu’ min al-Kafi jil 5 hal. 457 hadith no 9978, Tahzib Al-Ahkam jil. 7 hal. 260)

Tempoh perkahwinan mut’ah:

محمد، عن أحمد بن محمد، عن محمد بن خالد، عن خلف بن حماد قال: أرسلت إلى أبي الحسن (ع: كم أدنى أجل المتعة هل يجوز أن يتمتع الرجل بشرط مرة واحدة؟ قال: نعم.

Al-Kulaini meriwayatkan daripada Khalaf bin Hammad katanya: “Aku menghantar orang kepada Abi al-Hasan a.s. untuk bertanya tentang tempoh paling singkat melakukan mut'ah, adakah harus seseorang melakukan mut'ah dengan syarat sekali (persetubuhan) sahaja?” Beliau menjawab: “Ya”.( Al-Furu’ min al-Kafi jil 5 hal. 460)

Had umur perempuan yang boleh dimut’ahkan:

عن محمد بن مسلم قال: (سألته عن الجارية يتمتع منها الرجل؟ قال: نعم إلا أن تكون صبية تخدع، قلت: أصلحك الله وكم الحد الذي إذا بلغته لم تخدع؟ قال: ابنة عشر سنين

Daripada Muhammad bin Muslim katanya, saya bertanya (Ali ar-Ridha a.s.) tentang budak perempuan yang boleh dilakukan mut’ah dengannya oleh seseorang? Dia menjawab: “Ya! Kecuali seorang budak perempuan yang boleh diperdayakan”. Saya berkata: “Mudah-mudahan Allah akan memberi kebaikan kepadamu, berapakah had umur seorang perempuan yang tidak akan tertipu? Dia menjawab: “Sepuluh tahun”.(Man La Yahdhuru al-Faqih jil. 3 hal. 462, al-Istibsar jil. 3 Hal.145, Tahzib al-Ahkam jil. 7 Hal. 225, al-Furu’Min al-Kafi jil. 5 Hal. 463)

Beberapa masalah lain berkenaan mut’ah:

علي بن إبراهيم، عن أبيه، عن ابن أبي عمير، عن عمربن اذينة، عن إسماعيل ابن الفضل الهاشمي قال: سألت أبا عبدالله (ع عن المتعة فقال: الق عبدالملك بن جريج فسله عنها فإن عنده منها علما فلقيته فأملى علي منها شيئا كثيرا في استحلالها فكان فيما روى لي ابن جريج قال: ليس فيها وقت ولا عددإنما هي بمنزلة الاماء يتزوج منهن كم شاء وصاحب الاربع نسوة يتزوج منهن ماشاء بغير ولي ولاشهود فإذا انقضى الاجل بانت منه بغير طلاق ويعطيها الشئ اليسير وعدتها حيضتان وإن كانت لاتحيض فخمسة وأربعون يوما فأتيت بالكتاب أبا عبدالله (ع فعرضت عليه فقال: صدق وأقربه. قال: ابن اذينة و كان زرارة بن أعين يقول هذا ويحلف أنه الحق إلا أنه كان يقول: إن كانت تحيض فحيضة وإن كانت لاتحيض فشهر ونصف

Al-Kulaini meriwayatkan daripada Ismail bin al-Fadhl al-Hasyimi, katanya: “Aku bertanya Abu Abdillah a.s. tentang mut’ah lalu dia berkata: “Bertemulah dengan Abdul Malik bin Juraij maka tanyakan kepadanya tentang mut’ah kerana dia mempunyai ilmu tentangnya”. Maka aku pun bertemu dengannya lalu dia membacakan kepadaku banyak perkara tentang halalnya mut’ah, di antara apa yang diriwayatkan kepadaku oleh Ibnu Juraij ialah katanya: “Tidak ada penentuan waktu dan bilangan yang tertentu dalam mut’ah, mereka hanyalah seperti hamba sahaja. Seseorang boleh berkahwin dengan mereka (perempuan secara mut’ah) sebanyak mana yang ia kehendaki. Begitu juga dengan orang yang telah mempunyai empat isteri dia boleh berkahwin dengan mereka mengikut yang ia kehendaki tanpa sebarang wali dan saksi. Bila telah habis tempoh maka berpisahlah mereka tanpa sebarang thalaq dan dia hendaklah memberikan kepada perempuan itu sesuatu walaupun sedikit dan iddahnya adalah dua haidh dan kalau dia tidak haid maka empat puluh lima hari”.
Lalu aku bawakan kitab itu kepada Abu Abdillah a.s. lalu aku kemukakan kepadanya maka Ia berkata, “Benar ia (Ibnu Juraij) dan dia mengakuinya”. Ibnu Uzainah berkata, “Zurarah bin ‘Aa’yun berpendapat demikian dan dia bersumpah bahawa ia adalah benar cuma dia berkata, “jikalau perempuan itu datang haidh maka (‘iddahnya) adalah satu haidh dan jika dia tidak datang haidh maka sebulan setengah”.(Al-Furu’ min al-Kafi jil 5 hal. 453 hadith no 9955)

Pandangan Ahlus Sunnah berkenaan perkahwinan mut’ah.

Ulama Ahlus Sunnah sepakat bahawa perkahwinan mut’ah telahpun diharamkan oleh Nabi s.a.w.. Hukum berkenaan perkahwinan mut’ah adalah sebagaimana hukum berkenaan arak. Kedua-dua hukum tersebut diharamkan secara beransur-ansur dan tidak pernah disyariatkan atau dihalalkan oleh Islam tetapi keduanya adalah penerusan daripada adat jahiliyyah yang buruk. Nabi s.a.w. hanya menjelaskan pengharaman secara mutlak berdasarkan wahyu dari Allah taala pada tahun pembukaan Mekah (dalilnya akan dikemukakan selepas ini). Ia adalah berdasarkan firman Allah taala:

وَمَا يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَى (3) إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَى

Dan dia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu (samada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.(Surah an-Najm ayat 3 dan 4)

Kemudian di zaman pemerintahan Umar r.a., beliau telah mengisytiharkan dengan lebih meluas pengharaman yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. supaya tidak terdapat lagi di kalangan umat Islam yang jahil tentangnya. Perbuatan Sayyidina Umar r.a. tersebut merupakan kesepakatan di kalangan sahabat-sahabat r.a. termasuklah Sayyidina ‘Ali r.a. dan ahlul bait yang lain. Sehingga Umar r.a. mencabar sesiapa yang tidak bersetuju dengan pengisytiharan yang dilakukan olehnya supaya mengemukakan saksi dan bukti bahawa perbuatannya itu tidak benar. Begitu juga kalangan ulama Ahlus Sunnah selepas itu tiada perbezaan pendapat di kalangan mereka di dalam menerima apa yang telah dilakukan oleh Umar r.a.. Sa’id bin Musayyab berkata:

رَحِمَ اللَّهُ عُمَرَ ، لَوْلاَ إِنَّهُ نَهَى , عَنِ الْمُتْعَةِ صَارَ الزِّنَا جِهَارًا.

“Semoga Allah merahmati Umar. Kalaulah tidak kerana ia telah menegah daripada mut’ah pasti zina akan berlaku secara terang-terangan (atas nama Islam)”.(Musannaf Ibnu Abi Syaibah Bab Berkenaan Nikah Mut’ah)
Kerana itu kita akan dapati kitab-kitab Ahlus Sunnah begitu banyak menukilkan pengharaman tersebut. Antaranya:

واتفق العلماء على أن هذه المتعة كانت نكاحا إلى أجل لا ميراث فيها وفراقها يحصل بانقضاء الأجل من غير طلاق ووقع الاجماع بعد ذلك على تحريمها من جميع العلماء الا الروافض
Ulama sepakat bahawa mut’ah adalah pernikahan sehingga satu tempoh serta tiada pesaka padanya. Perpisahan berlaku dengan habis tempoh tanpa perceraian. Berlaku kesepakatan daripada ulama bahawa ianya diharamkan kecuali Rafidhah (Syi’ah).(Qadhi ‘Iyadh Ikmal al-Mu’lim bi Fawaid Muslim jil. 4 hal. 537)

أجمع العلماء على تحريم هذا النكاح وبطلانه.
Ulama sepakat bahawa nikah ini (mut’ah) telah diharamkan dan telah terbatal.(Taisir al-‘allam Syarh Umdah al-Ahkam jil. 4 muka surat 57)

وقد دللنا على ثبوت الحظر بعد الإباحة من ظاهر الكتاب والسنة وإجماع السلف قال أبو بكر قد ذكرنا في المتعة وحكمها في التحريم ما فيه بلاغ لمن نصح نفسه ولا خلاف فيها بين الصدر الأول على ما بينا وقد اتفق فقهاء الأمصار مع ذلك على تحريمها ولا يختلفون فيه
Sesungguhnya kami telah mengemukakan bukti terdapat larangan selepas diharuskan berdasarkan zohir al-Quran dan as-Sunnah serta kesepakatan salaf. Abu Bakr berkata: “Kami telah menyebutkan tentang mut’ah dan hukum pengharamannya yang sudah memadai bagi orang yang inginkan kebaikan untuk dirinya dan tidak terdapat khilaf tentangnya di kalangan generasi awal sebagaimana yang telah kita terangkannya. Begitu juga fuqaha’ semasa sepakat tentang pengharamannya dan mereka tidak berselisih padanya”.(Ahkam al-Quran li al-Jasshah jil. 3 hal. 103)

قال القرطبي الروايات كلها متفقة على أن زمن إباحة المتعة لم يطل وأنه حرم ثم أجمع السلف والخلف على تحريمها الا من لا يلتفت إليه من الروافض
Qurthubi berkata: “Semua riwayat sama-sama menunjukkan bahawa zaman harus mut’ah tidak berpanjangan dan ianya telah diharamkan (selepas itu). Kemudian salaf dan khalaf sepakat tentang pengharamannya kecuali golongan Rafidhah yang tidak perlu dipedulikan”.(Fath al-Bari jil. 9 hal. 173, Faidh al-Qadir jil. 6 hal. 416)

Pandangan Syi’ah berkenaan perkahwinan mut’ah.

Berbeza dengan golongan Syi’ah di mana mereka bermati-matian mempertahankan amalan seks bebas yang diwarisi dari ajaran Majusi ini. Di antara bukti yang jelas betapa kuatnya persepakatan mereka dengan golongan Majusi ialah bilamana mereka mempertahankan bahkan menganggap wira pembunuh Sayyidina Umar r.a. iaitu Abu Lu’luah al-Majusi. Kerana itu riwayat-riwayat daripada imam-imam maksum berkenaan halalnya serta besarnya ganjaran kepada orang yang melakukan mut’ah bertebaran dengan begitu banyak sekali di dalam mana-mana kitab utama mereka. Berdasarkan kepada riwayat-riwayat tersebut maka ulama-ulama mereka sepakat tentang halalnya perkahwinan itu di sisi mereka. Di antara ulama mutaakhirin Syi’ah yang menyebut tentang ijmak tersebut ialah al-Fukaiki dengan katanya:

لقد أجمع العلماء بالإتفاق على اختلاف طبقاتهم ومذاهبهم وتفاوت عصورهم من الصدر الأول حتى عصرنا الحاضر من أن الله تبارك وتعالى شأنه قد أنزل في كتابه العظيم آية في تحليل نكاح المتعة في سورة النساء وهي قوله : ( فما استمتعتم به منهن فآتوهن أجورهن )

Sesungguhnya kesepakatan telah berlaku di kalangan ulama walaupun berlainan kedudukan dan aliran mereka serta berbeza zaman mereka bermula dari generasi permulaan sehingga generasi kita sekarang bahawa Allah tabaraka wa ta’ala telah menurunkan di dalam kitab-Nya yang maha agung ayat tentang halalnya nikah mut’ah di dalam surah an-Nisa’ iaitu firman-Nya: Kemudian mana-mana perempuan yang kamu nikmati percampuran dengannya (setelah dia menjadi isteri kamu), maka berikanlah kepada mereka mas kahwinnya (dengan sempurna), sebagai suatu ketetapan (yang diwajibkan oleh Allah).(Taufik al-Fukaiki, al-Mut’ah wa Atharuha fi al-Islah al-Ijtima’ie hal. 36)

Di antara nukilan daripada imam maksum Syi’ah tentang halalnya mut’ah ialah:

وفي الكافي عن الصادق عليه السلام إنه سئل عن المتعة فقال حلال فلا تتزوج إلا عفيفة إن الله عزوجل يقول والذين هم لفروجهم حافظون
وعنه عليه السلام تحل الفروج بثلاثة وجوه نكاح بميراث ونكاح بلا ميراث ونكاح بملك يمين .
وعن أبيه عن النبي صلوات الله عليهما إن الله أحل لكم الفروج على ثلاثة معان فرج مورث وهو الثبات وفرج غير مورث وهو المتعة وملك أيمانكم فإنهم غير ملومين

Di dalam al-Kafi terdapat riwayat daripada imam Ja’far as-Sadiq bahawa ia ditanya tentang mut’ah lalu ia menjawab: “Halal. Tidak boleh dikahwini kecuali perempuan yang baik (tidak melakukan perbuatan keji). Sesungguhnya Allah ‘azzawajalla berfirman: Dan mereka (orang-orang beriman) yang menjaga kehormatannya.
Daripadanya (Ja’far as-Sadiq) bahawa ia berkata: “Faraj halal dengan tiga sebab, perkahwinan dengan ada pesaka (perkahwinan kekal), perkahwinan tanpa pesaka (mut’ah) dan dengan hamba.

Daripada ayahnya (Muhammad al-Baqir) daripada Nabi s.a.w. sabdanya: “Sesungguhnya Allah menghalalkan faraj dengan tiga perkara: faraj yang membawa seseorang itu mempunyai pewaris iaitu perkahwinan kekal, faraj yang tidak membawa seseorang itu mempunyai pewaris iaitu kahwin mut’ah dan hamba kerana sesungguhnya mereka tidak tercela”.(Tafsir as-Shafi jil. 1 hal. 394)

Menganggap halal mut’ah atau tidak adalah merupakan salah satu ciri keimanan atau seorang Syi’ah.

قال الصادق عليه السلام: (ليس منا من لم يؤمن بكرتنا، ويستحل متعتنا).

Ja’far as-Sadiq a.s. berkata: “Bukan dari kalangan kami orang yang tidak mempercayai raj’ah (kebangkitan semula para Imam sebelum qiamat untuk menghukum orang-orang yang menentang dan memusuhi Ahlul Bait) dan tidak menganggap halal mut’ah kita”.(Man Laa Yahdhruhul Faqih jil. 3 hal. 458 hadith no. 4583, Syeikh Abbas Al Qummi-Muntaha Al Amal jil. 2 hal. 34)

Dalil-dalil Ahlus Sunnah.

Ahlus Sunnah menjadikan al-Quran dan hadith sebagai dalil di dalam pegangan mereka tentang haramnya perkahwinan mut’ah. Dalil al-Quran telah dikemukakan oleh penulis di dalam artikel sebelum ini iaitu Mut’ah: al-Quran mengharamkan Syi’ah menghalalkan seperti surah al-Mukminun ayat 5 hingga 7, surah al-Nur ayat 33, surah al-Nisa’ ayat 3, al-Baqarah ayat 223, ar-Rum ayat 21, al-A’raf ayat 189 dan lain-lain. Begitu juga dengan ayat-ayat al-Quran berkenaan pesaka, perceraian, penyusuan, nafkah dan sebagainya yang bersesuaian dengan perkahwinan yang berkekalan adalah sebagai bukti bahawa perkahwinan mut’ah tiada di dalam Islam.

Di antara hadith yang menunjukkan bahawa mut’ah telah diharamkan ialah pertama:

عَنْ سَبْرَةَ الْجُهَنِيِّ أَنَّهُ كَانَ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنِّي قَدْ كُنْتُ أَذِنْتُ لَكُمْ فِي الِاسْتِمْتَاعِ مِنْ النِّسَاءِ وَإِنَّ اللَّهَ قَدْ حَرَّمَ ذَلِكَ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ فَمَنْ كَانَ عِنْدَهُ مِنْهُنَّ شَيْءٌ فَلْيُخَلِّ سَبِيلَهُ وَلَا تَأْخُذُوا مِمَّا آتَيْتُمُوهُنَّ شَيْئًا

Daripada Sabrah al-Juhani bahawa dia bersama Rasulullah s.a.w. lalu baginda bersabda: “Wahai manusia! Sesungguhnya aku telah izinkan kepada kamu untuk bermut’ah dengan perempuan dan sesungguhnya Allah telah mengharamkan perkara tersebut sehingga hari kiamat. Sesiapa yang ada bersamanya dari kalangan wanita yang dimut'ahkan maka lepaskanlah ia dan jangan ambil sesuatu yang telah kamu berikan kepada mereka.

Kedua:

عَنْ سَبْرَةَ الْجُهَنِيِّ قَالَ أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالْمُتْعَةِ عَامَ الْفَتْحِ حِينَ دَخَلْنَا مَكَّةَ ثُمَّ لَمْ نَخْرُجْ مِنْهَا حَتَّى نَهَانَا عَنْهَا

Daripada Sabrah al-Juhani katanya: “Rasulullah s.a.w. memerintahkan kami supaya melakukan mut’ah pada pembukaan Mekah ketika kami memasuki Mekah kemudian kami tidak keluar darinya sehinggalah baginda melarang kami dari melakukannya”.

Ketiga:
عَنْ سَبْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى يَوْمَ الْفَتْحِ عَنْ مُتْعَةِ النِّسَاءِ

Daripada Sabrah bahawa Rasulullah s.a.w. melarang pada hari pembukaan Mekah daripada mut’ah perempuan”.(Sahih Muslim Bab Nikah Mut’ah)

Keempat:

عَنْ ابْنِ عُمَرَ قَالَ لَمَّا وَلِيَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ خَطَبَ النَّاسَ فَقَالَ إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَذِنَ لَنَا فِي الْمُتْعَةِ ثَلَاثًا ثُمَّ حَرَّمَهَا وَاللَّهِ لَا أَعْلَمُ أَحَدًا يَتَمَتَّعُ وَهُوَ مُحْصَنٌ إِلَّا رَجَمْتُهُ بِالْحِجَارَةِ إِلَّا أَنْ يَأْتِيَنِي بِأَرْبَعَةٍ يَشْهَدُونَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ أَحَلَّهَا بَعْدَ إِذْ حَرَّمَهَا

Daripada Ibnu Umar r.a. katanya, bilamana Umar r.a. menjadi khalifah beliau berucap di hadapan orang ramai dengan berkata: “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah memberi keizinan kepada kita untuk bermut’ah selama tiga hari kemudian baginda mengharamkannya. Demi Allah! tidaklah aku mengetahui seseorang melakukan mutah dan dia seorang muhshon kecuali aku pasti akan merejamnya dengan batu kecuali dia membawakan kepadaku empat orang saksi bahawa Rasulullah s.a.w. telah menghalalkannya selepas ia mengharamkannya”.(Sunan Ibnu Majah Bab Larangan Daripada Nikah Mut’ah. Imam Muslim juga meriwayatkan hadith yang semakna dengannya di dalam Bab al-Mut’ah bi al-Hajj wa al-‘Umrah)

Kelima:

أنَّ عَلِيًّا رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ لِابْنِ عَبَّاسٍ إِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ الْمُتْعَةِ وَعَنْ لُحُومِ الْحُمُرِ الْأَهْلِيَّةِ زَمَنَ خَيْبَرَ

Sesungguhnya Ali r.a. telah berkata kepada Ibnu ‘Abbas r.a. bahawa Nabi s.a.w. telah melarang daripada nikah mut’ah dan daging himar kampong pada peperangan Khaibar.(Sahih al-Bukhari Bab Nabi S.A.W. Telah Melarang Daripada Nikah Mut’ah, Muwattha’ Malik Dengan Riwayat Muhammad Bin Hasan Bab Nikah Mut’ah)

Keenam:

عَنْ إِيَاسِ بْنِ سَلَمَةَ عَنْ أَبِيهِ قَالَ رَخَّصَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَامَ أَوْطَاسٍ فِي الْمُتْعَةِ ثَلَاثًا ثُمَّ نَهَى عَنْهَا

Daripada Iyas bin Salamah daripada ayahnya katanya: “Rasulullah s.a.w. telah memberikan kelonggaran untuk melakukan mut’ah pada tahun Awthas selama tiga hari kemudian melarang daripadanya”.( Sahih Muslim Bab Nikah Mut’ah, Sahih Ibnu Hibban Bab Nikah Mut’ah, Musannaf Ibnu Abi Syaibah Bab Berkenaan Nikah Mut’ah)

Ketujuh:

عَنِ ابْنِ شِهَابٍ قَالَ أَخْبَرَنِى سَالِمُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ : أَنَّ رَجُلاً سَأَلَ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ رَضِىَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنِ الْمُتْعَةِ فَقَالَ : حَرَامٌ قَالَ فَإِنَّ فُلاَنًا يَقُولُ فِيهَا فَقَالَ : وَاللَّهِ لَقَدْ عَلِمَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- حَرَّمَهَا يَوْمَ خَيْبَرَ وَمَا كُنَّا مَسَافِحِينَ.

Daripada Ibn Syihab katanya, Salim bin Abdillah telah menceritakan kepada saya bahawa ada seorang bertanya Ibn ‘Umar r.a. tentang mut’ah lalu dia menjawab: “Haram”. Orang itu berkata lagi: “Sesungguhnya si fulan telah memperkatakan (mengatakan halal) tentangnya”. Ibn ‘Umar menjawab: “Demi Allah! Sesungguhnya dia memang mengetahui bahawa Rasulullah s.a.w. telah mengharamkannya pada hari Khaibar dan kami bukannya penzina”.(Sunan al-Baihaqi Bab Nikah Mut’ah)

Kelapan:

عن سالم بن عبد الله قال أتى عبد الله بن عمر فقيل له إن بن عباس يأمر بنكاح المتعة فقال بن عمر سبحان الله ما أظن بن عباس يفعل هذا قالوا بلى إنه يأمر به فقال وهل كان بن عباس إلا غلاما صغيرا إذ كان رسول الله صلى الله عليه و سلم ثم قال بن عمر نهانا عنها رسول الله صلى الله عليه و سلم وما كنا مسافحين

Daripada Salim bin Abdillah katanya: “Sesungguhnya Abdullah ibnu Umar r.a. telah datang lalu ia diberitahu bahawa Ibnu ‘Abbas r.a. telah menyuruh supaya melakukan mut’ah”. Maka Ibnu Umar berkata: “Subhanallah! Saya tidak percaya dia melakukan demikian”. Mereka menjawab: “Memang ia menyuruhnya”. Ibn Umar berkata: “Ibnu Abbas masih kecil ketika zaman Rasulullah s.a.w.”.. Kemudian Ibn Umar berkata: “Rasulullah s.a.w. telah melarang kami daripadanya dan kami bukannya penzina”.(Al-Mu’jam al-Awsath, Muwattha’ Malik)

Dalil-dalil Syi’ah.

Terdapat begitu banyak riwayat daripada imam-imam maksum di sisi Syiah yang menyebutkan tentang halalnya mut’ah di dalam kitab mereka dan ia dijadikan asas oleh mereka untuk menghalalkan perkahwinan tersebut. Namun begitu mereka akan mempergunakan al-Quran dan hadith-hadith Nabi s.a.w. terutamanya yang terdapat di dalam kitab-kitab Ahlus Sunnah sebagai sokongan kepada pendapat mereka ini. Dengan menggunakan kedua sumber ini sebagai hujah mereka, mereka dapat mengelirukan pengikut mereka dan pengikut Ahlus Sunnah yang cetek ilmu agamanya kerana hujah tersebut dari segi zohirnya begitu mantap dan kuat sehingga tidak mungkin dapat dijawab oleh Ahlus Sunnah. Akan tetapi kalau diteliti kepada jawapan yang diberikan ulama Ahlus Sunnah maka akan jelaslah betapa lemahnya hujah tersebut selemah sarang labah-labah sahaja.

Di antara ayat al-Quran yang sering dijadikan dalil mereka di dalam menghalalkan mut’ah ialah:

فَمَا اسْتَمْتَعْتُمْ بِهِ مِنْهُنَّ فَآَتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ فَرِيضَةً وَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ فِيمَا تَرَاضَيْتُمْ بِهِ مِنْ بَعْدِ الْفَرِيضَةِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا

Bermaksud: Kemudian mana-mana perempuan yang kamu nikmati percampuran dengannya (setelah dia menjadi isteri kamu), maka berikanlah kepada mereka mas kahwinnya (dengan sempurna), sebagai suatu ketetapan (yang diwajibkan oleh Allah) dan tiadalah kamu berdosa mengenai sesuatu persetujuan yang telah dicapai bersama oleh kamu (suami isteri), sesudah ditetapkan mas kahwin itu (tentang cara dan kadar pembayarannya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.(Al-Quran Surah an-Nisaa’ ayat 24)

Golongan Syi’ah berhujah dengan mengatakan bahawa di dalam ayat ini Allah ta’ala menggunakan perkataan istimta’ (mengambil manfaat atau nikmat) bukan lafaz zawaj (perkahwinan) dan lafaz ujur (bayaran) bukan muhur (mas kahwin) yang menunjukkan kepada mut’ah bukannya perkahwinan serta lafaz ujur disebutkan selepas istimta’ sedangkan di dalam perkahwinan bayaran mas kahwin didahulukan sebelum pasangan melakukan sebarang hubungan. Mereka menguatkan lagi hujah dengan menjadikan qiraat Ibn Mas’ud r.a. sebagai dalil tambahan iaitu:

فَمَا اِسْتَمْتَعْتُمْ بِهِ مِنْهُنَّ إِلَى أَجَل مُسَمًّى فَآتُوهُنَّ أُجُورهنَّ

Kemudian mana-mana perempuan yang kamu nikmati percampuran dengannya sehingga satu tempoh yang ditetapkan, maka berikanlah kepada mereka bayarannya.

Jawapan bagi hujah tersebut:

Di antara hukum di dalam Islam yang dijelaskan dengan panjang lebar di dalam al-Quran ialah hukum berkenaan perkahwinan. Sehingga seolah-olah tiada ruang untuk hadith menjelaskan hukum berkenaannya. Berbeza dengan sesetengah hukum lain seperti sembahyang, zakat dan haji kerana al-Quran hanya mengemukakan perintah melakukannya, menggalakkan supaya menegakkannya dan menyebutkannya secara umum sahaja tetapi kaifiat dan perinciannya banyak terdapat di dalam hadith Nabi s.a.w.
Di antara surah yang membicarakan tentang hukum perempuan, perkahwinan dan kekeluargaan, surah an-Nisa’ adalah yang paling banyak. Surah at-Thalaq pula walaupun pendek sebahagian besar daripadanya membicarakan soal yang sama. Bukan hanya dua surah ini sahaja bahkan lebih dari sepuluh surah yang membincangkan tentang perkara ini seperti surah al-Baqarah ayat 219 sehingga 242, surah an-Nur dari ayat 2 sehingga ayat 34 dan 58 sehingga 61 dan sebagainya.

Begitu banyak ayat dan surah yang membincangkan tentang hukum perempuan dan yang berkaitan dengannya namun tiada walaupun satu ayat membincangkan tentang hukum perkahwinan mut’ah sebaliknya semuanya membincangkan tentang hukum perkahwinan yang berkekalan. Di antara hukum-hukum berkenaan dengannya di dalam al-Quran ialah hukum penyusuan, perkahwinan dengan musyrik lelaki atau perempuan, perceraian dan rujuk, edah, qazaf, zihar dan kaffarahnya, adab-adab di dalam rumah tangga dan rumah tangga Nabi s.a.w. dijadikan contoh seperti di dalam surah al-Ahzab dan sebagainya. Kesemua hukum tersebut langsung tidak ada kaitannya dengan perkahwinan mut’ah.
Bila al-Quran tidak menjelaskan dengan terperinci bahkan tiada langsung menyebutkan berkenaan perkahwinan mut’ah maka sepatutnya ia diperincikan pula oleh Nabi s.a.w. di dalam hadith-hadith baginda. Namun begitu kalau diperhatikan kepada hadith-hadith baginda maka langsung tidak dapat ditemui tafsiran dan penjelasan dari baginda bahawa ayat 24 surah an-Nisa’ ini turun berkenaan mut’ah. Begitu juga tidak terdapat satupun hadith walaupun yang dho’if atau maudhu’ yang memberikan penjelasan berkenaan nikah mut’ah dalam apa juga masalahnya ataupun hadith sebagai tafsiran mana-mana ayat yang menunjukkan kepada mut’ah.

Beberapa fakta penting sebagai huraian secara khusus kepada ayat 24 surah an-Nisa’ adalah:

Pertama: Jika diperhatikan secara keseluruhan ayat yang membicarakan tentang perkahwinan di dalam surah an-Nisa’ bermula dari permulaan surah dan ayat-ayat selepas ayat 24 maka kita akan mendapati kesemuanya membicarakan tentang hukum perkahwinan yang berkekalan seperti membicarakan tentang pembiakan anak-anak sama ada lelaki atau perempuan yang membawa kepada hubungan silaturrahim (Ayat 1), anak-anak yatim (Ayat 2,4, 5 dan 10), bilangan wanita yang harus dikahwini dalam satu-satu masa, berlaku adil terhadap isteri (Ayat 3), hukum pusaka (Ayat 7 hingga 14) dan sebagainya yang kesemuanya langsung tidak bersesuaian dengan perkahwinan mut’ah kerana mut’ah bukan dengan maksud untuk memperolehi anak-anak serta mengembang biakkan sistem kekeluargaan yang menghidupkan silaturrahim, mut’ah tidak mewujudkan anak-anak yatim, tidak terikat dengan bilangan yang harus, tidak perlu berlaku adil dan tidak melibatkan harta pusaka kerana mut’ah hanyalah semata-mata untuk memenuhi kehendak syahwat sahaja. Begitu juga dengan ayat selepasnya membicarakan berkenaan hukum perkahwinan yang berkekalan seperti hak pencarian harta (Ayat 32), peraturan hidup suami dan isteri (Ayat 34) dan sebagainya.

Kedua: Ayat sebelum ayat 24 menafikan ayat 24 menunjukkan perkahwinan mut’ah. Ayat tersebut ialah:

وَلَا تَنْكِحُوا مَا نَكَحَ آَبَاؤُكُمْ مِنَ النِّسَاءِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَمَقْتًا وَسَاءَ سَبِيلًا (22) حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالَاتُكُمْ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْتِ وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ مِنَ الرَّضَاعَةِ وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ وَرَبَائِبُكُمُ اللَّاتِي فِي حُجُورِكُمْ مِنْ نِسَائِكُمُ اللَّاتِي دَخَلْتُمْ بِهِنَّ فَإِنْ لَمْ تَكُونُوا دَخَلْتُمْ بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ وَحَلَائِلُ أَبْنَائِكُمُ الَّذِينَ مِنْ أَصْلَابِكُمْ وَأَنْ تَجْمَعُوا بَيْنَ الْأُخْتَيْنِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَحِيمًا (23) وَالْمُحْصَنَاتُ مِنَ النِّسَاءِ إِلَّا مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ كِتَابَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ وَأُحِلَّ لَكُمْ مَا وَرَاءَ ذَلِكُمْ أَنْ تَبْتَغُوا بِأَمْوَالِكُمْ مُحْصِنِينَ غَيْرَ مُسَافِحِينَ

Dan janganlah kamu berkahwin (dengan perempuan-perempuan) yang telah diperisterikan oleh bapa kamu kecuali apa yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya perbuatan itu adalah satu perkara yang keji dan dibenci (oleh Allah), serta menjadi seburuk-buruk jalan (yang dilalui dalam perkahwinan). Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan saudara-saudara bapa kamu dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu dan saudara-saudara susuan kamu dan ibu-ibu isteri kamu dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya) dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Dan (diharamkan juga kamu berkahwin dengan) perempuan-perempuan isteri orang, kecuali hamba sahaya yang kamu miliki. (Haramnya segala yang tersebut itu) ialah suatu ketetapan hukum Allah (yang diwajibkan) atas kamu dan (sebaliknya) dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan yang lain daripada yang tersebut itu, untuk kamu mencari (isteri) dengan harta kamu secara bernikah, bukan secara berzina.(Al-Quran Surah an-Nisaa’ ayat 22, 23 dan 24)

Ayat 22 melarang seseorang daripada berkahwin dengan perempuan yang telah dikahwini oleh ayahnya kerana ia perbuatan yang dicela. Kemudian ayat 23 pula menerangkan tentang perempuan-perempuan dari kalangan keluarga yang haram dikahwini. Seterusnya ayat ke 24 menerangkan pula tentang haram berkahwin dengan isteri orang. Hukum-hukum tersebut adalah berkaitan dengan perkahwinan yang berkekalan dan bukannya kahwin mut’ah kerana mut’ah tidak mengambil kira persoalan tersebut. Bahkan diharuskan pula berkahwin mut’ah dengan isteri orang.

عن فضل مولى محمد بن راشد عن ابى عبدالله عليه السلام قال: قلت اني تزوجت امرأة متعة فوقع في نفسي أن لها زوجا ففتشت عن ذلك فوجدت لها زوجا قال: ولم فتشت؟

Daripada Fadhal Maula Muhammad bin Rasyad daripada Abi ‘Abdillah (Imam Ja’afar as-Sadiq) a.s.. Dia (Fadhal) berkata: Saya berkata: “Saya telah berkahwin dengan seorang perempuan secara mut’ah. Setelah itu timbul dalam hati saya bahawa perempuan mempunyai suami. Lalu saya menyelidikinya maka saya mendapati memang benar perempuan itu mempunyai suami. Maka Imam Ja’far a.s. berkata: “Untuk apa kamu selidiki?”

عن مهران بن محمد عن بعض اصحابنا عن ابى عبدالله عليه السلام قال: قيل له ان فلانا تزوج امرأة متعة فقيل له ان لها زوجا فسألها فقال ابوعبدالله عليه السلام: ولم سألها؟.

Daripada Mihran bin Muhammad daripada salah seorang sahabat kami daripada Abi ‘Abdullah a.s. bahawa dikatakan kepadanya (Abi ‘Abdillah) sesungguhnya sifulan telah mengahwini seorang perempuan secara mut’ah. Lalu dia diberitahu bahawa perempuan itu mempunyai suami. Maka dia bertanya perempuan itu. Abu ‘Abdillah a.s. berkata: “Mengapakan dia bertanyanya?” (Tahzib al-Ahkam Abu Ja’far Muhammad bin Hasan at-Thusi jil. 7 hal: 253)

عَنْ أَبَانِ بْنِ تَغْلِبَ قَالَ قُلْتُ لِأَبِي عَبْدِ اللَّهِ عليه السلام إِنِّي أَكُونُ فِي بَعْضِ الطُّرُقَاتِ فَأَرَى الْمَرْأَةَ الْحَسْنَاءَ وَ لَا آمَنُ أَنْ تَكُونَ ذَاتَ بَعْلٍ أَوْ مِنَ الْعَوَاهِرِ قَالَ لَيْسَ هَذَا عَلَيْكَ إِنَّمَا عَلَيْكَ أَنْ تُصَدِّقَهَا فِي نَفْسِهَا .

Daripada Aban bin Taghlib katanya, aku berkata kepada Abu Abdullah a.s.: “Ketika aku sedang berada di jalanan tiba-tiba aku melihat seorang wanita yang cantik dan aku bimbang kalaulah dia sudah mempunyai suami atau seorang pelacur”. Imam Ja’afar as-Sadiq a.s. menjawab: “(Menyeledikinya) bukanlah satu kewajipan kepadamu. Yang menjadi kewajipan ialah engkau membenarkan pengakuannya terhadap dirinya”.(Al-Furu’ min al-Kafi jil. 5 hal. 462)

Ketiga: Ayat selepasnya juga tidak mempunyai sebarang hubungan dengan nikah mut’ah iaitu:

وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ مِنْكُمْ طَوْلًا أَنْ يَنْكِحَ الْمُحْصَنَاتِ الْمُؤْمِنَاتِ فَمِنْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ مِنْ فَتَيَاتِكُمُ الْمُؤْمِنَاتِ وَاللَّهُ أَعْلَمُ بِإِيمَانِكُمْ بَعْضُكُمْ مِنْ بَعْضٍ فَانْكِحُوهُنَّ بِإِذْنِ أَهْلِهِنَّ وَآَتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ مُحْصَنَاتٍ غَيْرَ مُسَافِحَاتٍ وَلَا مُتَّخِذَاتِ أَخْدَانٍ فَإِذَا أُحْصِنَّ فَإِنْ أَتَيْنَ بِفَاحِشَةٍ فَعَلَيْهِنَّ نِصْفُ مَا عَلَى الْمُحْصَنَاتِ مِنَ الْعَذَابِ ذَلِكَ لِمَنْ خَشِيَ الْعَنَتَ مِنْكُمْ وَأَنْ تَصْبِرُوا خَيْرٌ لَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Dan sesiapa di antara kamu yang tidak mempunyai kemampuan yang cukup untuk berkahwin dengan perempuan-perempuan yang baik-baik (yang merdeka, yang terpelihara kehormatannya) lagi beriman, maka bolehlah kamu berkahwin dengan hamba-hamba perempuan yang beriman yang kamu miliki dan Allah lebih mengetahui akan iman kamu; kamu masing-masing (suami yang merdeka dan isteri dari hamba abdi itu) adalah berasal sama (dari Adam dan seagama pula). Oleh itu berkahwinlah dengan mereka dengan izin walinya serta berikanlah mas kahwinnya menurut yang patut. Mereka (hamba-hamba perempuan yang akan dijadikan isteri, hendaklah) yang sopan bukan perempuan-perempuan lacur dan bukan pula yang mengambil lelaki sebagai teman simpanan. Kemudian setelah mereka (hamba-hamba perempuan itu) berkahwin, lalu mereka melakukan perbuatan keji (zina), maka mereka dikenakan separuh dari (hukuman) seksa yang ditetapkan ke atas perempuan-perempuan yang merdeka. (Hukum perkahwinan) yang demikian (yang membolehkan seseorang berkahwin dengan hamba-hamba perempuan) itu ialah bagi orang-orang yang bimbang melakukan zina di antara kamu dan sabarnya kamu (tidak berkahwin dengan hamba-hamba perempuan) itu adalah lebih baik bagi kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.(Al-Quran Surah an-Nisaa’ ayat 25)

Di dalam ayat ini Allah ta’ala menjelaskan bahawa orang yang tidak mempunyai kemampuan untuk mengahwini perempuan merdeka bolehlah mengahwini hamba. Ini menunjukkan bahawa ayat 25 ini adalah sebagai keringanan dan alternatif kepada orang yang tidak mampu untuk berkahwin dengan perempuan merdeka yang disebutkan di dalam ayat 24 dan membuktikan bahawa ayat 24 bukan berkenaan kahwin mut’ah. Ini kerana kalaulah ia berkenaan dengan mut’ah maka kedudukan ayat itu akan menjadi terbalik iaitu dengan menyebut yang mudah dahulu iaitu kahwin mut’ah kemudian orang yang tidak mampu untuk kahwin mut’ah maka boleh ia melakukan perkahwinan yang lebih berat tanggungannya iaitu berkahwin secara berkekalan dengan hamba. Ini adalah disebabkan tiada perkahwinan yang lebih mudah daripada mut’ah.

(bersambung)

0 ulasan: