28 Julai 2009

Menjawab Syi’ah: Peristiwa Pembunuhan Malik Bin Nuwairah

Menyanggah Syi’ah: Peristiwa Pembunuhan Malik Bin Nuwairah

Di antara peristiwa sejarah yang sering ditimbulkan oleh golongan Syi’ah untuk memburukkan sahabat-sahabat r.a. serta mengelirukan Ahlus Sunnah ialah kisah kononnya Khalid bin al-Walid telah membunuh Malik bin Nuwairah dalam keadaan Islam kemudian berzina dengan isterinya. Kesannya bukan hanya Khalid yang diburuk-burukkan oleh Syi’ah tetapi Sayyidina Abu Bakar r.a. yang memegang jawatan khalifah pada ketika itu turut menerima nasib yang sama.

Namun begitu apakah benar segalanya sebagaimana yang diwar-warkan oleh mereka itu atau setakat manakah yang menepati kebenaran dan manakah yang merupakan tambahan fitnah golongan pembenci sahabat Nabi s.a.w. ini.

Untuk mendapatkan gambaran sebenar peristiwa tersebut maka semestinya kita semua meneliti semula lembaran sejarah yang terpahat di dalam catatan ulama silam. Kalau diteliti kepada riwayat-riwayat berkenaan peristiwa ini di dalam kitab-kitab sejarah maka akan ditemui percanggahan antara satu sama lain. Tetapi bagi golongan Ahl as-Sunnah Wa al-Jamaah yang meletakkan kepercayaan dan sangka baik kepada golongan sahabat r.a. kerana berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah akan menjadikan riwayat-riwayat yang menyebut baik tentang mereka dan mengenepikan yang sebaliknya. Namun begitu bagi golongan yang busuk hatinya kerana berminat terhadap perkara-perkara yang busuk dan sentiasa menjadikan keutamaan mereka adalah bencikan terhadap golongan sahabat r.a. iaitu golongan Syi’ah, riwayat-riwayat yang menampakkan kekurangan dan kerendahan sahabat akan menjadi santapan serta hidangan lazat mereka walaupun riwayat tersebut tersangat lemah dan langsung tidak boleh dijadikan sandaran.

Di antara masalah yang ditimbulkan oleh Syi’ah berkenaan peristiwa ini ialah mengapa Khalid bin al-Walid r.a. membunuh Malik bin Nuwairah sedangkan dia masih memeluk agama Islam. Untuk mengetahui perkara sebenar berkenaannya maka terlebih dahulu mestilah kita mengetahui beberapa fakta sejarah berkenaan latar belakang peristiwa pembunuhan Malik bin Nuwairah. Di antaranya ialah:

Pertama: Pembunuhan Malik bin Nuwairah adalah disebabkan oleh salah faham di antara Khalid dengan penjaga tawanan. Salah faham tersebut berlaku kerana perbezaan makna yang terdapat pada perkataan ‘adfiuu’ (ادفئوا) yang digunakan oleh Khalid di dalam arahannya kepada Dhirar bin al-Azwar di mana Khalid bermaksud supaya Dhirar memberikan sesuatu pakaian atau kain untuk memanaskan tawanan tetapi Dhirar memahaminya berdasarkan bahasa Bani Kinanah yang memberi makna membunuh. Di antara riwayat tersebut ialah:

فجاءت السرية حي مالك، وكان في السرية أبو قتادة الأنصاري، وكان ممن شهد أنهم أذنوا وأقاموا وصلوا، فقبض عليهم خالد وكانت ليلة باردة، فأمر خالد منادياً ينادي " ادفئوا أسراكم " وكان لغة كنانة إذا قالوا " ادفئوا الرجل " يعنون اقتلوه، فقتل ضرار بن الأزور مالكاً، وسمع خالد الواعية فخرج وقد فرغوا منهم، فقال: إذا أراد الله أمراً أصابه

Lalu tentera itu (Khalid) sampai ke perkampungan Malik. Abu Qatadah al-Ansari r.a. turut sama dengan tentera tersebut dan ia di antara orang yang bersaksi bahawa mereka (Malik dan tenteranya) azan, iqamat dan bersembahyang. Lalu Khalid menahan mereka (untuk membuat keputusan keesokannya) dan pada malam itu cuaca bersangatan sejuk. Maka Khalid memerintahkan supaya penyeru berseru ‘ادفئوا أسراكم’ dengan maksud supaya memanaskan mereka (dengan memberikan kain dan sebagainya) sedangkan di dalam bahasa Bani Kinanah bila mereka kata ‘ادفئوا الرجل’ mereka maksudkan supaya membunuhnya. Maka Dhirar pun membunuh Malik dan Khalid mendengar teriakan lalu keluar dan mereka telahpun selesai membunuh mereka (tawanan-tawanan). Kerana itu Khalid hanya mampu berkata: “Apa yang telah ditakdirkan, pasti akan berlaku”.(Fawaat al-Wafayaat jil. 3 hal. 23)

Kisah ini juga dikemukakan oleh pengarang-pengarang kitab sejarah yang lain dengan sedikit perbezaan antara mereka. Umpamanya Imam at-Thabari menukilkan riwayat bahawa setelah angkatan tentera Khalid bin al-Walid berselisih pendapat tentang islamnya Malik bin Nuwairah bersama rakan-rakannya maka Khalid telah menangguhkan untuk membuat keputusan pada keesokan harinya dan beliau memerintahkan supaya Malik bin Nuwairah dan rakan-rakannya ditahan pada malam itu. Kebetulan cuaca pada malam itu terlalu sejuk. Kerana itu Khalid terfikir tentang orang-orang tawanan tersebut dan memerintahkan kepada penjaga- penjaga dengan kata-katanya “adfiuu asraakum”. Menurut bahasa ayat ini bererti perintah supaya penjaga-penjaga tawanan itu memberikan pakaian dan seumpamanya untuk menghilangkan kesejukan orang-orang tawanan itu. Tetapi penjaga-penjaga memahami ayat Khalid itu berlainan daripada yang dikehendaki oleh Khalid, iaitu mereka memahami perkataan “adfiuu” itu menurut bahasa Bani Kinanah yang memberi erti membunuh. Setelah itu kedengaranlah teriakan dan tempikan. Maka Khalid pun bertanya: “Apa yang berlaku?” Setelah beliau mendapat tahu bahawa orang tawanan dibunuh, beliau berasa amat kesal di atas kejadian yang berlaku itu. Walaubagaimanapun beliau hanya berkata: “Apa yang telah ditakdirkan, pasti akan berlaku”.( Ath-Thabari jil. 2 hal. 502, Al-Bidayah wa an-Nihayah jil. 6 hal. 354, Tarikh Ibnu Khaldun jil. 2 hal. 73, Al-Isabah fi Tamyiz as-Sahabah jil. 5 hal. 754)

Di dalam setengah riwayat terdapat perbezaan pada perkataan yang digunakan oleh Khalid ketika menyuruh penjaga-penjaga tawanan supaya menutup atau menyelimuti tawanan supaya mereka tidak kesejukan iaitu perkataan ‘idfinu’ (ادفنوا). Yang dimaksudkan oleh Khalid ialah sebagaimana makna di atas tetapi penjaga-penjaga tawanan tersilap faham dengan menyangka bahawa Khalid memerintahkan mereka supaya menguburkan iaitu membunuh tawanan-tawanan tersebut.( As-Sirah al-Halabiyyah fi Sirah al-Amin Wa al-Ma’mun jil. 3 hal. 212)

Kedua: Pembunuhan Malik bin Nuwairah berlaku setelah Khalid bin al-Walid memastikan bahawa Malik sememangnya telah murtad. Ini dilakukan oleh Khalid dengan cara memanggil Malik bin Nuwairah sendiri dan bercakap dengannya. Di antara dialog mereka berdua ialah:

وقال له كيف ترتد عن الإسلام وتمنع الزكاة ألم تعلم أن الزكاة قرينة الصلاة فقال كان صاحبكم يزعم ذلك فقال له هو صاحبنا وليس هو بصاحبك يا ضرارا اضرب عنقه

Bermaksud: Dan ia (Khalid) berkata kepadanya: “Mengapa engkau (Malik) murtad daripada Islam dan menegah daripada pembayaran zakat? Bukankah engkau mengetahui bahawa zakat mempunyai pertaliannya dengan sembahyang”? Lalu dia (Malik) menjawab: “Sesungguhnya sahabatmu (Rasulullah s.a.w.) yang mendakwa sedemikian”. Maka Khalid berkata kepadanya: “Dia adalah sahabat kami dan bukan sahabatmu”. Wahai Dhirar! Penggallah lehernya”.( As-Sirah al-Halabiyyah fi Sirah al-Amin Wa al-Ma’mun jil. 3 hal. 212, Usd al-Ghabah jil. 2 hal. 469, Al-Bidayah wa an-Nihayah jil. 6 hal. 354)

Di dalam riwayat yang lain terdapat sedikit perbezaan dari segi lafaznya. Imam at-Thabari menukilkan perbincangan antara keduanya dimana Malik berkata: “Pada pendapat saya sahabatmu berkata begini……,begini……..”. “Sahabatmu” yang dimaksudkan di dalam kata-kata Malik bin an-Nuawairah ialah Rasulullah s.a.w. Maka Khalid Bin Walid bertanya Malik: “Adakah kamu tidak menganggap baginda sebagai sahabatmu juga?”. Setelah itu Khalid memutuskan supaya dipancung Malik bin Nuwairah dan rakan-rakannya.( Tarikh Ibnu Khaldun jil. 2 hal. 73, Tarikh at-Thabari jil. 2 hal. 503)

Ketiga: Pembunuhan berlaku setelah Khalid yakin bahawa Malik sudah tidak Islam lagi bila ia enggan mengeluarkan zakat. Ahli-ahli sejarah menukilkan tentang keengganan golongan murtad ini untuk mengeluarkan zakat termasuklah Malik bin Nuwairah. Di antara mereka Ibnu Khallikan yang menukilkan di dalam kitabnya bahawa Khalid bin al-Walid dan Malik bin Nuwairah berbincang dengan panjang lebar. Di dalam perbincangan itu Malik berkata: “Aku bersembahyang tetapi tidak mahu mengeluarkan zakat”. Maka Khalid berkata kepadanya: “Adakah engkau tidak tahu bahawa sembahyang dan zakat kedua-duanya fardhu dan tidak diterima salah satu dari keduanya tanpa yang satu lagi?” Malik bin Nuwairah pun berkata dengan mengisyaratkan kepada Rasulullah s.a.w. dengan katanya: “Sahabatmu berkata begini………begini……….”. Daripada kata-kata Malik itu, Khalid yakin bahawa Malik tidak Islam lagi. Kerana itu Khalid bertanya Malik, “Adakah engkau tidak menganggapnya sahabatmu juga?” Dan Khalid bin Walid berkata: “Aku akan memenggal kepala engkau”. Kemudian pertikaian di antara mereka berdua menjadi semakin hebat. Malik bin Nuwairah berkali-kali menyebutkan “Sahabatmu….sahabatmu….”. Akhir sekali Khalid bin Walid memutuskan Malik bin Nuwairah dibunuh.( Ibnu Khallikaan Wafayat al-A’yaan jil. 5 hal. 66. Lihat juga al-Mukhtasar fi Akhbar Khair al-Basyar jil. 1 hal)

Keempat: Yaaqut al-Hamawi telah mengemukakan kisah yang agak berbeza dari apa yang dikemukakan di atas bila ia menukilkan bahawa angkatan tentera Khalid yang
dipimpin oleh Dhirar bin al-Azwar bertempur dengan angkatan tentera Malik bin Nuwairah. Di dalam pertempuran itu Dhirar telah membunuh Malik”.( Mu’jam al-Buldaan jil. 1 hal. 661)

Kelima: Muhammad bin Syakir mengemukakan pendapatnya dengan berkata:

ومما يؤيد خالد وأن مالكاً مات مرتداً أن متمماً لما أنشد عمر مراثيه في مالك قال له عمر: والله لوددت أني أحسن الشعر فأرثي أخي زيداً بمثل ما رثيت أخاك، فقال متمم: لو أن أخي مات على ما مات عليه أخوك ما رثيته، فقال عمر رضي الله عنه ما عزاني أحد عن أخي بأحسن مما عزاني به متمم.

Bermaksud: Di antara perkara yang menyokong Khalid bahawa Malik bin Nuwairah mati dalam keadaan murtad ialah sesungguhnya Mutammim (saudara Malik bin Nuwairah) telah memperdengarkan syair ratapannya kerana kematian Malik di hadapan Sayyidina Umar r.a. lalu Sayyidina Umar r.a berkata kepadanya: “Demi Allah! Seandainya aku seorang penyair yang baik, aku juga akan mengucapkan syair ratapan di atas kematian saudaraku Zaid”. Lalu Mutammim bin Nuwairah berkata: “Sekiranya saudara saya meninggal dunia sebagaimana saudara tuan (mati dalam keadaan Islam), tentulah saya bersyair meratapinya”. Lalu Sayyidina Umar r.a. berkata: “Tidak ada seorangpun menyampaikan ucapan takziah kepadaku kerana kematian saudaraku lebih baik daripada apa yang diucapkan oleh Mutammim bin Nuwairah”.( Fawaat al-Wafayaat jil. 3 hal. 23. Syair dan kisah dialog antara Sayyidina Umar r.a. dan Mutammim tersebut dinukilkan oleh Abu Bakr Ahmad bin Marwan ad-Dinwari melalui beberapa sanad di dalam kitabnya Al-Mujalasah wa Jawahir al-Ilm jil. 7 hal. 226, jil. 5 hal. 188 dan jil. 3 hal. 72. Riwayat yang sama juga terdapat di dalam kitab Bulugh al-Arab jil. 2 hal. 172)

Jelas daripada apa yang dikemukakan ini menunjukkan bahawa saudara Malik bin Nuwairah iaitu Mutammim meratapi Malik kerana ia mati dalam keadaan murtad.

Masalah kedua yang ditimbulkan Syi’ah berkaitan peristiwa ini ialah mengapa Sayyidina Abu Bakar r.a. tidak mengenakan hukum had ke atas Khalid bin al-Walid yang telah membunuh Malik bin Nuwairah dan kabilahnya. Umar dan Ali r.a. mahu supaya Khalid dihukum rejam. Mereka mengemukakan rujukan antaranya al-Isabah jil. 3 hlm.336.

Kalau diperhatikan kepada kitab-kitab sejarah maka akan jelaslah mengapa Abu Bakar r.a. tidak mahu mengenakan hukuman had terhadap Khalid di atas apa yang telah berlaku. Kalaulah dikatakan bahawa Khalid r.a. memang bersalah di atas apa yang dilakukan olehnya maka Abu Bakar r.a. mempunyai alasan mengapa dia tidak mengenakan hukuman terhadap Khalid r.a. tetapi kalau diperhatikan kepada riwayat-riwayat yang dikemukakan sebelum ini jelas bahawa kesilapan bukan datangnya daripada Khalid r.a. tetapi orang lain seperti di dalam fakta pertama dan berdasarkan fakta-fakta yang lain Khalid r.a. tidak bersalah di dalam tindakannya. Di antara alasan yang dikemukakan oleh Abu Bakar r.a. di dalam dialognya dengan Umar r.a. ialah:


قال عمر لأبي بكر: إِن خالداً قد زنى فارجمه، قال: ما كنت أرجمه؛ فإِنه تأول فأخطأ. قال: فإِنه قد قتل مسلماً فاقتله، قال: ما كنت أقتله فإِنه تأول فأخطأ. قال فاعزله، قال ما كنت أغمد سيفاً سله الله عليهم.

Umar r.a. berkata kepada Abu Bakar r.a.: “Sesungguhnya Khalid telah berzina maka rejamlah dia”. Abu Bakar r.a. menjawab: “Aku tidak akan merejamnya kerana dia telah mentakwilkan tetapi dia tersilap”. Umar berkata lagi: “Sesungguhnya dia telah membunuh seorang muslim maka bunuhlah dia”. Abu Bakar menjawab: “Aku tidak akan membunuhnya kerana dia telah mentakwilkan tetapi dia tersilap”. Umar r.a. berkata lagi: “Pecatlah dia”. Abu Bakar r.a. menjawab: “Aku tidak akan menyarungkan pedang yang telah dihunuskan oleh Allah terhadap mereka (orang-orang kafir)”.( Al-Mukhtasar fi Akhbar Khair al-Basyar jil. 1 hal. 108. Tarikh Abi al-Fida’ jil. 1 hal. 242, Al-Isabah fi Tamyiz as-Sahabah jil. 5 hal. 754, Tarikh Ibnu Khaldun jil. 2 hal. 73)

Begitu juga di dalam riwayat-riwayat yang lain alasan yang diberikan oleh Sayyidina Abu Bakar r.a. hampir sama dengan riwayat di atas. Alasan yang diberikan oleh beliau mempunyai asasnya kerana berlaku peristiwa yang hampir sama kepada Khalid r.a. ketika Rasulullah s.a.w. menghantarkan beliau kepada Bani Jazimah sebagaimana yang direkodkan oleh Imam al-Bukhari di dalam sahihnya:

عَنْ سَالِمٍ عَنْ أَبِيهِ قَالَ بَعَثَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَالِدَ بْنَ الْوَلِيدِ إِلَى بَنِي جَذِيمَةَ فَلَمْ يُحْسِنُوا أَنْ يَقُولُوا أَسْلَمْنَا فَقَالُوا صَبَأْنَا صَبَأْنَا فَجَعَلَ خَالِدٌ يَقْتُلُ وَيَأْسِرُ وَدَفَعَ إِلَى كُلِّ رَجُلٍ مِنَّا أَسِيرَهُ فَأَمَرَ كُلَّ رَجُلٍ مِنَّا أَنْ يَقْتُلَ أَسِيرَهُ فَقُلْتُ وَاللَّهِ لَا أَقْتُلُ أَسِيرِي وَلَا يَقْتُلُ رَجُلٌ مِنْ أَصْحَابِي أَسِيرَهُ فَذَكَرْنَا ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ اللَّهُمَّ إِنِّي أَبْرَأُ إِلَيْكَ مِمَّا صَنَعَ خَالِدُ بْنُ الْوَلِيدِ مَرَّتَيْنِ


Daripada Ibnu Umar r.a. katanya: “Rasulullah s.a.w. menghantar Khalid bin al-Walid kepada Bani Jazimah maka mereka tidak pandai menyebut (أَسْلَمْنَا) iaitu kami telah memeluk Islam tetapi mereka menyebut (صَبَأْنَا صَبَأْنَا) bermaksud kami telah tinggal agama kepada agama yang lain Khalid pun mula membunuh dan menawan lalu memberikan kepada setiap orang daripada kami tawanannya dengan memerintahkan setiap orang daripada kami supaya membunuh tawanannya. Aku berkata: “Demi Allah! Aku tidak akan membunuh tawananku dan tidak boleh seorangpun dari sahabatku membunuh tawanannya”. Maka kami pun menyebutkan perkara ini kepada Nabi s.a.w. maka Baginda pun berkata: “Ya Allah! Sesungguhnya aku berlepas diri kepada-Mu daripada apa yang oleh Khalid bin al-Walid” sebanyak dua kali”.( Sahih al-Bukhari Bab Jika Pemerintah Memutuskan Dengan Zalim Ataupun Dengan Keputusan Yang Berjanggah Dengan Keputusan Ahli Ilmu Maka Keputusan Hakim Itu Ditolak. Kisah ini juga terdapat di dalam kitab-kitab hadith dan sejarah yang lain)

Di dalam peristiwa ini walaupun Rasulullah s.a.w. tidak menyenangi apa yang dilakukan oleh Khalid namun begitu Baginda tidak memecat atau menghukumnya di atas kesilapan yang dilakukan olehnya.

Sebagai tambahan tiada dikemukakan di dalam mana-mana kitab sejarah bahawa Sayyidina Ali r.a. turut sama mendesak supaya Abu Bakar r.a. supaya menghukum Khalid r.a.

Masalah ketiga berkaitan peristiwa ini ialah berkenaan kononnya Khalid telah berzina dengan isteri Malik atau berkahwin sebelum habis eddahnya.

Berlaku percanggahan di dalam riwayat-riwayat sejarah berkenaan perkara ini. Namun begitu kebanyakan kitab sejarah menyebutkan dengan jelas bahawa Khalid telah berkahwin dengan Ummu Tamim (antaranya ialah al-Isabah jil. 5 hal. 754, Fawaat al-Wafayaat jil. 3 hal. 23) dan sebahagiannya dengan jelas mengatakan bahawa ia berlaku setelah selesai eddahnya.(antaranya ialah al-Mukhtasar fi Akhbar Khair al-Basyar jil. 1 hal. 108, Tarikh Abi al-Fida’ jil. 1 hal. 242, Tarikh ath-Thabari jil. 2 hal. 253)

Di antara sejarawan yang mengatakan bahawa beliau berkahwin dengan Ummu Tamim ialah Ibnu Kathir. Selepas mengemukakan kisah yang telah berlaku beliau berkata:

واصطفى خالد امرأة مالك بن نويرة، وهي أم تميم ابنة المنهال، وكانت جميلة، فلما حلت بني بها

Dan Khalid telah memilih isteri Malik bin Nuwairah iaitu Ummu Tamim binti Minhal. Ia adalah seorang yang cantik. Bilamana telah habis eddahnya maka Khalid tinggal bersama dengannnya.(Al-Bidayah wa an-Nihayah jil. 6 hal. 354)

Berdasarkan kepada fakta-fakta tersebut maka boleh dikatakan andaikata terdapat riwayat yang mengatakan Khalid telah berzina dengan Ummu Tamim atau berkahwin dan bersama dengannya sebelum tamat eddahnya maka ianya berlaku disebabkan kekeliruan yang mungkin timbul daripada sebahagian perawi.
baca seterusnya "Menjawab Syi’ah: Peristiwa Pembunuhan Malik Bin Nuwairah"

santai: luahan

Hah..lega sikit baru sdh tulis

Menjawab Syi’ah: Peristiwa Pembunuhan Malik Bin Nuwairah

Naik boring rasanya nak menyudahkan. Jemu jg dok baca cerita pasal ni dlm kitab2 sejarah. Berjela-jela panjangnya. Rasa macam buang masa je.. Tapi kena baca juga. Kalu tak baca lagu mana nak jwb. Pembelaan terhadap sahabat mesti diteruskan. Mudah2an segala usaha akan menjadi bekalan buat bertemu Allah taala nanti.

Kalu la tak dok syiah atas dunia boleh la buat kerja lain. Byk lg kerja nak buat ni.
Tapi kalu tak dilayan puak2 sesat pembenci sahabat ni bahaya. Runtuh agama Islam nanti.

Nak dihias agama Islam di mata masyarakat dunia pun kalu dalaman nak roboh sebab ada musuh dalam selimut tak dok makna juga.

Macam rumah kalu dok hias cantik2 tapi anai2 dok mengerik tak dipedulikan….
Jawapannya rumah secantik manapun tunggu masa nak runtuh saja..


Semoga segala susah payah dan kegeraman di dalam jiwa menghadapi golongan sesat ini mendapat ganjaran dari Allah taala..hanya kepada-Mu jua aku berserah dan mengharapkan ganjaran..
baca seterusnya "santai: luahan"

Sahabat r.a.: Antara Ahlus Sunnah Wal Jamaah Dan Syi’ah

Sahabat r.a.: Antara Ahlus Sunnah Wal Jamaah Dan Syi’ah

Di antara perbezaan asas antara Syi’ah dan Ahlus Sunnah Wal Jamaah adalah kepercayaan berkenaan sahabat-sahabat Nabi s.a.w.. Perbezaan pendapat antara kedua aliran ini sama sekali tidak dapat berhimpun kerana ia adalah punca pertelingkahan dan perbalahan.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan perbezaan tersebut maka kitab rujukan utama kedua pihak menjadi asas kepada perbincangan ini.

Pandangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah Terhadap Sahabat-Sahabat r.a..
Sebelum mengemukakan pandangan Ahlus Sunnah terhadap sahabat-sahabat r.a. berdasarkan hadith-hadith rasul dan al-Quran sangat perlu sekali untuk mengenali siapakah yang dikatakan sebagai sahabat-sahabat Nabi s.a.w. itu.

Ta’rif Sahabat:

Ulama berselisih pendapat berkenaan ta’rif sahabat. Di antara ulama yang membincangkan dengan panjang lebar berkenaan perselisihan tersebut ialah Hafidz Ibnu Hajar di dalam kitabnya al-Isabah. Di antara beberapa pendapat tersebut, pendapat yang disepakati adalah seperti berikut:

أن الصحابي من لقى النبي صلى الله عليه وسلم مؤمنا به ومات على الاسلام ". فيدخل فيه من لقيه من المسلمين ممن طالت مجالسته أو قصرت، روى عنه أو لم يرو، غزا معه إو لم يغز، من رآه رؤية ولو لم يجالسه، ومن لم يره لعارض كالعمى. ويدخل في هذا العموم الاطفال الذين ولدوا في عهد النبي صلى الله عليه وسلم ورأوه في حال الطفولة.

Sesungguhnya sahabat adalah orang yang bertemu dengan Nabi s.a.w. dalam keadaan beriman dan mati di atas Islam. Termasuk di dalamnya ialah yang bertemu Baginda dari kalangan orang-orang Islam sama ada lama tinggal bersamanya atau seketika, meriwayatkan hadith daripadanya atau tidak, berperang bersamanya atau tidak, melihatnya walaupun sekali dan tidak pernah bersamanya dan tidak pernah melihatnya kerana sesuatu sebab seperti buta. Termasuk di dalam ta’rif umum ini ialah kanak-kanak yang dilahirkan di zaman Nabi s.a.w. dan melihatnya ketika masih kecil lagi.
Setengah ulama memasukkan di dalam ta’rif tersebut ‘walaupun diselangi dengan murtad ditengah-tengahnya dan ia kembali semula kepada Islam sama ada bertemu pula dengan Nabi s.a.w. atau tidak’. (Al-Isabah Fi Tamyiz as-Sahabah jil. 1 hal. 7, Ma’rifah ath-Thiqah al-‘Ijli jil. 1 hal. 95, Taisir Mustalah al-Hadith hal. 97)

Keutamaan Sahabat Berdasarkan Al-Quran.

Ayat-ayat al-Quran yang menyebutkan kelebihan sahabat-sahabat r.a. terlalu banyak untuk dikemukakan kesemuanya. Sebahagiannya akan dikemukakan di bawah ini.
Pertama: golongan sahabat yang telah memberikan pengorbanan sebelum pembukaan kota Makkah oleh Nabi s.a.w. dan sahabat-sahabatnya diberikan kedudukan yang sangat tinggi berbanding dengan yang selepasnya. Ini adalah disebabkan pengorbanan pada ketika itu sangat diperlukan dan umat Islam berhadapan dengan cabaran yang sangat besar daripada musuh-musuh. Walaubagaimanapun kedua-dua golongan sahabat tersebut dikurniakan ganjaran besar iaitu al-Husna. Ulama-ulama mentafsirkannya sebagai ganjaran yang besar dan syurga.( Lihat tafsir-tafsir seperti Ruh al-Ma’ani, Tafsir Ibnu Kathir, at-Tahrir wa at-Tanwir dan lain-lain.)

لَا يَسْتَوِي مِنْكُمْ مَنْ أَنْفَقَ مِنْ قَبْلِ الْفَتْحِ وَقَاتَلَ أُولَئِكَ أَعْظَمُ دَرَجَةً مِنَ الَّذِينَ أَنْفَقُوا مِنْ بَعْدُ وَقَاتَلُوا وَكُلًّا وَعَدَ اللَّهُ الْحُسْنَى وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ

Tidaklah sama di antara kamu, orang-orang yang membelanjakan hartanya serta turut berperang sebelum kemenangan (Nabi menguasai Mekah). Mereka itu lebih besar darjatnya daripada orang-orang yang membelanjakan hartanya serta turut berperang sesudah itu dan tiap-tiap satu puak dari keduanya, Allah janjikan (balasan) yang sebaik-baiknya. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu kerjakan. (surah al-Hadid ayat 10)

Kedua: janji Allah taala kepada golongan sahabat dari kalangan Muhajirin dan Ansar bahawa syurga disediakan untuk mereka. Bukan hanya mereka yang akan memperolehi ganjaran besar tersebut bahkan orang-orang yang mengikuti mereka juga. Firman-Nya:

وَالسَّابِقُونَ الْأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنْصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُمْ بِإِحْسَانٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

Dan orang-orang yang terdahulu yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang "Muhajirin" dan "Ansar" dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar. (Surah at-Taubah ayat 100)

Ketiga:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ حَسْبُكَ اللَّهُ وَمَنِ اتَّبَعَكَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ

Wahai Nabi, cukuplah Allah menjadi Penolongmu dan juga pengikut-pengikutmu dari orang-orang yang beriman. (Surah al-Anfal ayat 63)

Keempat: keredhaan Allah terhadap seramai lebih dari seribu empat ratus orang sahabat yang berbai’ah dengan Nabi s.a.w. di bawah pokok yang dipanggil bai’ah ar-redhuan.

لَقَدْ رَضِيَ اللَّهُ عَنِ الْمُؤْمِنِينَ إِذْ يُبَايِعُونَكَ تَحْتَ الشَّجَرَةِ فَعَلِمَ مَا فِي قُلُوبِهِمْ فَأَنْزَلَ السَّكِينَةَ عَلَيْهِمْ وَأَثَابَهُمْ فَتْحًا قَرِيبًا

Demi sesungguhnya! Allah reda akan orang-orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahuiNya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu Dia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya.(Surah al-Fath ayat 18)

Kelima: golongan sahabat adalah merupakan golongan pertama yang ditujukan oleh Allah taala sebagai golongan sebaik-baik umat di dalam firman-Nya yang berbunyi:

كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَوْ آَمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ مِنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ

Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman) dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik.(Surah Aali-Imran ayat 110)

Keenam: di dalam ayat di bawah sahabat juga merupakan golongan pertama yang dimaksudkan oleh Allah taala dan merupakan yang paling layak untuk menjadi saksi keimanan manusia yang lain.

وَكَذَلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا

Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu.(Surah al-Baqarah ayat 143)

Ketujuh: sahabat-sahabat merupakan neraca untuk menilai sejauh mana tahap keimanan umat kemudian sama ada berada di atas landasan kebenaran atau sebaliknya. Ayat ini pada asalnya ditujukan kepada golongan Yahudi sebagai menilai kebenaran iman mereka dengan dibandingkan dengan keimanan sahabat-sahabat r.a. dan ia tetap membuktikan ketinggian serta kebenaran sahabat berdasarkan al-Quran.

فَإِنْ آَمَنُوا بِمِثْلِ مَا آَمَنْتُمْ بِهِ فَقَدِ اهْتَدَوْا وَإِنْ تَوَلَّوْا فَإِنَّمَا هُمْ فِي شِقَاقٍ

Maka jika mereka (umat kemudian) beriman kepada apa yang kamu (sahabat-sahabat) telah beriman kepadanya, sungguh mereka telah mendapat petunjuk; dan jika mereka berpaling, sesungguhnya mereka berada dalam kebengkokan.(Surah al-Baqarah ayat 137)
Banyak lagi ayat al-Quran yang menyebutkan berkenaan kedudukan tinggi sahabat-sahabat r.a..

Kedudukan Sahabat-Sahabat r.a. Berdasarkan Hadith-Hadith Rasulullah s.a.w.
Kedudukan mulia sahabat-sahabat r.a. juga diriwayatkan dengan begitu banyak melalui sabdaan Rasulullah s.a.w.. Sebahagiannya akan dikemukakan di sini:
Pertama: pengorbanan yang telah diberikan oleh sahabat-sahabat r.a. amat besar dan cabaran serta rintangan yang dihadapi mereka juga begitu hebat dalam memperjuangkan agama Nabi s.a.w.. Kerana itu pengorbanan mereka walaupun sedikit tetapi nilainya begitu besar di sisi Allah. Nabi s.a.w. bersabda:

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَسُبُّوا أَصْحَابِي فَلَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ أَنْفَقَ مِثْلَ أُحُدٍ ذَهَبًا مَا بَلَغَ مُدَّ أَحَدِهِمْ وَلَا نَصِيفَهُ

Daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a. katanya, Nabi s.a.w. bersabda: “Janganlah kamu mencaci sahabat-sahabatku, sesungguhnya kalaulah seorang kamu membelanjakan emas sebesar bukit Uhud nescaya tidak akan menyamai perbelanjaan mereka walaupun secupak bahkan setengah cupak”.( Sahih al-Bukhari Bab Sabda Nabi s.a.w. Kalaulah Aku Hendak Menjadikan Seorang Kekasih, Sahih Muslim Bab Haram Mencela Sahabat Nabi s.a.w.)

Kedua: disebabkan sahabat-sahabat r.a. adalah manusia terbaik pernah dilahirkan di kalangan umat ini maka zaman yang dilalui oleh mereka adalah merupakan zaman keemasan dan zaman paling gemilang sebagaimana yang diakui oleh Junjungan s.a.w.:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ

Daripada Abdullah bin Mas’ud r.a. daripada Nabi s.a.w. sabdanya: “Sebaik-baik manusia adalah kurunku kemudian orang-orang yang mengiringi mereka kemudian orang-orang yang mengiringi mereka”.(Sahih al-Bukhari Bab Kelebihan Sahabat r.a., Sahih Muslim Bab Kelebihan Sahabat r.a. Kemudian Orang Yang Mengiringi Mereka.)

Ketiga: sahabat-sahabat r.a. adalah orang yang benar-benar mengikuti ajaran yang dibawa oleh Nabi s.a.w.. Perjalanan hidup mereka tidak melencong daripada apa yang dibawa Baginda walaupun sedikit sehingga Baginda mengatakan bahawa seolah-olah merekalah orang yang diutuskan oleh Allah taala kepada umat kemudian walaupun pada hakikatnya yang diutuskan oleh Allah adalah Nabi s.a.w. sendiri. Di antara pengakuan tersebut ialah:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ لَهُمْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّمَا بُعِثْتُمْ مُيَسِّرِينَ وَلَمْ تُبْعَثُوا مُعَسِّرِينَ

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. berkata kepada mereka (sahabat-sahabat): “Kamu hanya diutuskan untuk mempermudahkan dan kamu bukan diutuskan untuk menyusahkan”.(Sunan Abi Daud, Sunan At-Termizi, Musnad Ahmad)

Keempat: kecintaan kepada sahabat-sahabat r.a. merupakan di antara tuntutan agama Islam kerana kecintaan kepada mereka pada hakikatnya adalah kecintaan kepada Nabi s.a.w. juga dan begitulah sebaliknya. Kerana itu menjadi kewajipan kepada umat kemudian agar mengambil sikap berhati-hati bila berbicara berkenaan sahabat-sahabat r.a. supaya tidak terjerumus di dalam golongan yang akan diazab oleh Allah taala.

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مُغَفَّلٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اللَّهَ اللَّهَ فِي أَصْحَابِي اللَّهَ اللَّهَ فِي أَصْحَابِي لَا تَتَّخِذُوهُمْ غَرَضًا بَعْدِي فَمَنْ أَحَبَّهُمْ فَبِحُبِّي أَحَبَّهُمْ وَمَنْ أَبْغَضَهُمْ فَبِبُغْضِي أَبْغَضَهُمْ وَمَنْ آذَاهُمْ فَقَدْ آذَانِي وَمَنْ آذَانِي فَقَدْ آذَى اللَّهَ وَمَنْ آذَى اللَّهَ يُوشِكُ أَنْ يَأْخُذَهُ

Daripada Abdullah bin Mughoffal katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “(bertakwalah kamu) kepada Allah berkenaan sahabat-sahabatku, (bertakwalah kamu) kepada Allah berkenaan sahabat-sahabatku, janganlah kamu menjadikan mereka sebagai sasaran (kebencian kamu) sepeninggalanku. Sesiapa yang kasih kepada mereka maka kerana kasihkan kepadaku dia mengasihi mereka dan sesiapa yang membenci mereka maka kerana bencikan aku dia membenci mereka. Sesiapa yang menyakiti mereka bermakna dia telah menyakitiku, sesiapa yang menyakitiku bermakna dia telah menyakiti Allah dan sesiapa yang menyakiti Allah pasti Allah akan mengazabnya”.(Sunan at-Termizi Bab Berkenaan Orang Yang Mencaci Sahabat-Sahabat Nabi s.a.w.)

Mempertikaikan mana-mana sahabat walaupun sekecil-kecil sahabat yang tidak dikenali namanya pun bermakna mengingkari al-Quran dan hadith Nabi s.a.w.

Pandangan Ulama Ahlus Sunnah Terhadap Kedudukan Sahabat.

Terdapat begitu banyak pandangan ulama-ulama Ahlus Sunnah berkenaan dengan sahabat-sahabat r.a. dan semuanya menjurus kepada perkara yang sama iaitu menjaga kedudukan mereka yang sangat tinggi dan menolak serta mengeluarkan orang yang mengingkari sahabat-sahabat r.a. daripada daerah Islam. Sebahagian daripada pandangan tersebut adalah:

Pertama: Khatib al-Baghdadi mengemukakan dengan sanadnya kata-kata Imam Abu Zur’ah sebagaimana berikut:

إذا رأيت الرجل ينتقص أحدا من أصحاب رسول الله صلى الله عليه و سلم فاعلم انه زنديق وذلك أن الرسول صلى الله عليه و سلم عندنا حق والقرآن حق وانما أدى إلينا هذا القرآن والسنن أصحاب رسول الله صلى الله عليه و سلم وانما يريدون ان يجرحوا شهودنا ليبطلوا الكتاب والسنة والجرح بهم أولى وهم زنادقة


“Bila engkau melihat seseorang menghina salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w. maka ketahuilah bahawa dia adalah seorang zindiq(Orang yang zohirnya adalah Islam dan ia merasakan bahawa ia adalah golongan yang benar serta orang-orang Islam yang sebenar adalah golongan sesat tetapi hakikatnya merekalah yang sebenarnya terkeluar dari agama dan kafir). Ini kerana rasul adalah benar, al-Quran adalah benar dan apa yang dibawa olehnya adalah benar. Hanya sahabat-sahabat r.a. sahaja yang menyampaikan semua itu kepada kita dan mereka ini mahu mencacatkan saksi-saksi kita untuk membatalkan al-Kitab dan as-sunnah dan kerana itu mencacatkan mereka adalah lebih baik kerana mereka adalah golongan zindiq”.( Al-Kifayah fi Ilm ar-Riwayah jil. 1 hal. 49)

Kedua: Imam Abu al-Qasim al-Asbahani mengemukakan dengan sanadnya daripada al-Maimuni bahawa dia mendengar Imam Ahmad berkata:

إذا رأيت أحداً يذكر أصحاب رسول الله بسوء فاتهمه على الإسلام .

"Apabila kamu melihat seseorang menyebut buruk sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w., maka raguilah keislaman dan keimanannya.”( Al-Hujjah fi Bayan al-Mahajjah jil. 2 hal. 397, As-Sharimu Al-Maslul, hal. 568)

Ketiga: Imam at-Thahawi berkata:

نُحِبُّ أَصْحَابَ رسُولِ الله وَلاَ نُفْرِطُ في حُبِّ أَحَدٍ مِنْهُم؛ وَلاَ نَتَبَرَّأُ مِنْ أَحَدٍ مِنْهُم، وَنُبْغِضُ مَنْ يُبْغِضُهُم، وَبِغَيْرِ الخَيْرِ يَذْكُرُهُم، ولا نُذْكُرُهُم إِلاَّ بِخَيْرٍ, وَحُبُّهُم دِينٌ وإيمَانٌ وإحْسَانٌ، وَبُغْضُهُم كُفْرٌ ونِفَاقٌ وطُغْيَانٌ.

"Kita (Ahlu as-Sunnah wa al-Jama`ah) mengasihi para sahabat Rasulullah s.a.w. Kita tidak melampau dalam mengasihi sesiapa pun dari mereka. Kita tidak berlepas diri dari mana-mana sahabat (tidak menyatakan kebencian terhadap mereka). Kita membenci sesiapa yang membenci para sahabat dan tidak menyebut para sahabat dengan baik. Kita tidak menyebut sahabat melainkan dengan kebaikan. Kasih kepada mereka merupakan agama, iman dan ihsan, dan benci kepada mereka adalah kekufuran, nifaq dan kederhakaan."( Ithaf as-Sail Bima fi Thahawiah Min Masaail jil. 43 hal. 20, Syarhu Al-'Aqidati At-Thahawiyyah, hal. 545)

Banyak lagi riwayat-riwayat dari ulama Ahlus Sunnah yang menyebutkan tentang kedudukan sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. yang sangat tinggi. Mencela sahabat akan membawa kepada kekufuran sehingga ulama mengatakan sesiapa yang ragu-ragu terhadap kesucian ‘Aisyah isteri Nabi s.a.w. maka sesungguhnya dia mengingkari al-Quran iaitu ayat 17 surah an-Nur. Dan mengingkari al-Quran akan membawa seseorang ke lembah kekufuran.

Pandangan Syi’ah Terhadap Sahabat-Sahabat r.a..

Sahabat-sahabat Nabi s.a.w. di sisi Syi’ah adalah manusia yang paling buruk akhlaknya, paling hina keturunannya, perampas kuasa, gilakan dunia dan sebagainya. Pegangan sebegini pasti terdapat di dalam mana-mana kitab Syi’ah dan setiap pengikutnya pasti berpegang kepada akidah ini. Setiap tulisan ulama mereka pasti akan memuatkan riwayat yang menyebutkan bahawa para sahabat telahpun murtad sepeninggalan Nabi s.a.w., kafir, memaki hamun mereka, dan melakukan tabarri (tabarra – yakni menyatakan sikap berlepas diri dan tidak mempunyai hubungan kasih sayang) terhadap mereka. Tidak terlepas daripada tuduhan-tuduhan mereka sahabat-sahabat besar Rasullullah s.a.w sekalipun seperti Sayyidina Abu Bakar, Umar, Uthman, Abdul Rahman bin ‘Auf, isteri-isteri Rasullullah s.a.w dan lain-lain.

Al-Kulaini meriwayatkan dari Abu Jaafar a.s. kata beliau: “Para sahabat telah menjadi murtad sepeninggalan Rasullullah s.a.w kecuali tiga orang dari mereka.” Aku bertanya (kata perawi): “Siapakah yang tiga itu?” Abu Jaafar menjawab: “Miqdad bin al-Aswad, Abu Zar al-Ghifari dan Salman al- Farisi.”(ar-Raudhah Min al-Kafi – jilid 8 hal 245)

Bahkan mereka mengatakan bahawa Imam Ja'far As-Sadiq menjadikan laknat beberapa orang sahabat sebagai wirid selepas sembahyangnya sebagaimana yang dinukilkan oleh Al-Kulaini:

عَنِ الْحُسَيْنِ بْنِ ثُوَيْرٍ وَ أَبِي سَلَمَةَ السَّرَّاجِ قَالَا سَمِعْنَا أَبَا عَبْدِ اللَّهِ (ع) وَ هُوَ يَلْعَنُ فِي دُبُرِ كُلِّ مَكْتُوبَةٍ أَرْبَعَةً مِنَ الرِّجَالِ وَ أَرْبَعاً مِنَ النِّسَاءِ فُلَانٌ وَ فُلَانٌ وَ فُلَانٌ وَ مُعَاوِيَةُ وَ يُسَمِّيهِمْ وَ فُلَانَةُ وَ فُلَانَةُ وَ هِنْدٌ وَ أُمُّ الْحَكَمِ أُخْتُ مُعَاوِيَةَ

Daripada Husain dan Abi Salamah katanya, "Kami mendengar Abu Abdillah a.s. melaknat selepas setiap sembahyang fardhu empat orang lelaki dan empat orang perempuan iaitu si-fulan,si-fulan,si-fulan dan Mu'awiyah serta ia menyebut nama mereka dan si-fulanah,si-fulanah, Hindun dan Ummul Hakam saudara perempuan Mu'awiyah. (Al-Kafi jilid 3 hal. 343)

Yang dimaksudkan dengan "si-fulan" di dalam kitab-kitab Syi'ah adalah yang pertama Abu Bakar r.a., kedua Umar r.a. dan ketiga Uthman r.a. sementara "si-fulanah" adalah yang pertama Aisyah r.a. dan kedua Hafsah r.a.

Syi’ah mengatakan sepuluh orang sahabat yang dijanjikan syurga oleh Nabi s.a.w. di dalam satu hadith di sisi Ahlus Sunnah akan diseksa oleh Allah ta’ala di dasar api neraka. Di antara ulama mereka yang menyebutkan perkara tersebut adalah Ahmad bin Ali at-Thabarsi di dalam kitabnya al-Ihtijaj:

وعن سليم بن قيس الهلالي قال: لما التقى أمير المؤمنين عليه السلام أهل البصرة يوم الجمل. نادى الزبير ياأبا عبدالله أخرج الي: فخرج الزبير ومعه طلحة. فقال لهما والله إنكما لتعلمان وأولوا العلم من آل محمد وعائشة بنت أبى بكر: أن كل أصحاب الجمل ملعونون على لسان محمد صلى الله عليه واله، وقد خاب من افترى. قالا كيف نكون ملعونين ونحن أصحاب بدر وأهل الجنة؟ ! فقال عليه السلام: لو علمت أنكم من أهل الجنة لما استحللت قتالكم، فقال له الزبير: أما سمعت حديث سعيد بن عمرو بن نفيل وهو يروي: انه سمع من رسول الله صلى الله عليه واله يقول: " عشرة من قريش في الجنة "؟ قال علي عليه السلام: سمعته يحدث بذلك عثمان في خلافته، فقال الزبير أفترا كذب على رسول الله صلى الله عليه واله؟ فقال له علي عليه السلام: " لست أخبرك بشئ حتى تسميهم " قال الزبير: ابوبكر، وعمر، وعثمان، وطلحة، والزبير، وعبد الرحمن بن عوف، وسعد بن أبى وقاص، وابو عبيدة بن الجراح، وسعيد بن عمرو بن نفيل. فقال له علي عليه السلام: " عددت تسعة فمن العاشر؟ " قال له: أنت قال علي عليه السلام: قد اقررت اني من أهل الجنة، واما ما ادعيت لنفسك وأصحابك فانا به من الجاحدين الكافرين، قال له، أفتراه كذب على رسول الله صلى الله عليه واله؟ قال عليه السلام: ما أراه كذب، ولكنه والله اليقين. فقال علي عليه السلام: والله ان بعض من سميته لفي تابوت في شعب في جب في أسفل درك من جهنم، على ذلك الجب صخرة إذا أراد الله أن يسعر جهنم رفع تلك الصخرة، سمعت ذلك من رسول الله صلى الله عليه واله والا اظفرك الله بي وسفك دمى على يديك، والا أظفرني الله عليك وعلى أصحابك وسفك دمائكم على يدي وعجل ارواحكم إلى النار، فرجع الزبير إلى أصحابه وهو يبكي.

Daripada Sulaim bin Qais al-Hilali katanya, bilamana Amir al-Mukminin a.s. (Ali) bertemu penduduk Basrah pada hari peperangan Jamal, dia pun menyeru Zubair: “Wahai Aba Abdillah! Keluarlah kepadaku”. Maka Zubair pun keluar dan bersamanya adalah Talhah lalu Ali berkata kepada keduanya: “Demi Allah, bukankah engkau berdua serta orang-orang yang berilmu dari kalangan keluarga Muhammad dan ‘Aaisyah binti Abi Bakr mengetahui bahawa setiap orang yang menyertai medan Jamal dilaknat melalui lidah Muhammad s.a.w. dan sesungguhnya telah rugi orang yang mengada-adakan dusta”. Mereka berdua menjawab: “Bagaimana kami akan dilaknat sedangkan kami adalah orang yang menyertai perang Badar dan penghuni Syurga”? Maka Ali a.s. berkata: “Kalaulah aku mengetahui bahawa sesungguhnya kamu adalah ahli syurga tentu sekali aku tidak menganggap halal untuk memerangi kamu”. Zubair pun berkata kepadanya: “Bukankah engkau telah mendengar hadith Sa’id bin ‘Amr bin Nufail dan ia telah meriwayatkan bahawa dia mendengar daripada Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sepuluh orang daripada Quraisy berada di dalam syurga”? Ali a.s. berkata: “Aku mendengar Uthman meriwayatkan demikian pada masa pemerintahannya”. Zubair pun bertanya: “Apakah dia telah mengadakan dusta atas nama Rasulullah s.a.w.”? Ali a.s. pun berkata: “Aku tidak akan menceritakan kepadamu sesuatupun sehinggalah engkau menamakan mereka”. Zubair pun berkata: “Abu Bakr, Umar, Uthman, Talhah, Zubair, Abd ar-Rahman bin ‘Auf, Sa’ad bin Abi Waqqas, Abu ‘Ubaidah bin al-Jarrah dan Sa’id bin Amr bin Nufail”. Ali a.s. pun berkata kepadanya: “Engkau membilang Sembilan sahaja. Siapakah yang kesepuluh”? Zubair pun menjawab: “Engkaulah”. Ali a.s. berkata: “Sesungguhnya aku memang mengetahui bahawa aku adalah ahli syurga, adapun dakwaanmu kepada dirimu dan sahabat-sahabatmu maka aku termasuk dari kalangan orang yang mengingkarinya”. Zubair berkata kepadanya: “Apakah dia mengadakan dusta ke atas Rasulullah s.a.w.? Ali a.s. berkata: “Aku tidak fikir ia adalah dusta. Tetapi demi Allah dengan keyakinan”. Ali a.s. berkata lagi: “Demi Allah! Sesungguhnya sebahagian daripada orang yang engkau sebutkan namanya tadi pasti berada di dalam peti yang terdapat di satu lembah di dalam penjara bawah tanah (Al-Jabb juga bermakna telaga buruk) yang terdapat di dasar neraka yang paling bawah. Di atas penjara itu terdapat batu besar yang mana bila Allah mahu memanaskan neraka Dia akan mengangkat batu besar itu”. Aku mendengar perkara demikian daripada Rasulullah s.a.w.. Jika tidak (jika aku tidak benar) Allah akan memenangkan engkau ke atasku dan akan menumpahkan darahku dengan dua tanganmu. Dan jika tidak (jika aku benar) Allah akan memenangkan aku ke atasmu dan pengikut-pengikutmu, menumpahkan darah-darah kamu melalui tanganku dan menyegerakan ruh-ruh kamu ke neraka. Zubair pun kembali kepada pengikut-pengikutnya dalam keadaan menangis”.( Al-Ihtijaj Bab Ihtijaj Amir Al-Mukminin Ke Atas Zubair Bin Al-Awwam Dan Talhah Bin Ubaidillah jil. 1 hal. 162)

Di dalam riwayat yang lain pula disebutkan bahawa orang yang paling teruk disiksa di dalam neraka adalah Abu Bakar dan Umar.( Hayat al-Qulub jil. 3 hal. 156)

Ini adalah sebahagian kecil sahaja riwayat syiah yang menunjukkan betapa bencinya mereka kepada sahabat-sahabat r.a.. Di antara pandangan mereka terhadap sahabat r.a. ialah sahabat adalah golongan yang bertanggungjawab memesongkan al-Quran, sahabat memeluk Islam dengan maksud kepentingan peribada dan mendapatkan kuasa, orang pertama yang berbai’ah dengan Abu Bakar r.a. adalah syaitan dan pelbagai lagi bentuk penghinaan terhadap sahabat-sahabat r.a..( Lihat ar-Raudhah min al-Kafi jil. 8 hal. 125,343-345, Tafsir Mir’at al-Anwar hal. 39, Al-Usul Min al-Kafi jil. 1 hal. 421, Kasyf al-Asrar hal. 130,138, Tafsir al-Qummi jil. 2 hal. 265 dan lain-lain)
baca seterusnya "Sahabat r.a.: Antara Ahlus Sunnah Wal Jamaah Dan Syi’ah"