21 April 2009

Tohmahan Terhadap Abu Hurairah r.a. Dan Jawapan (Siri 1)

Tohmahan Terhadap Abu Hurairah r.a. Dan Jawapan (Siri 1)


Di antara persoalan yang sering ditimbulkan oleh golongan Syi’ah terhadap Ahlus Sunnah Wa al-Jamaah ialah berkenaan beberapa hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a.. Di antara hadith tersebut ialah:


حَدَّثَنَا إِسْحَاقُ قَالَ حَدَّثَنَا النَّضْرُ بْنُ شُمَيْلٍ أَخْبَرَنَا ابْنُ عَوْنٍ عَنْ ابْنِ سِيرِينَ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ صَلَّى بِنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِحْدَى صَلَاتَيْ الْعَشِيِّ قَالَ ابْنُ سِيرِينَ سَمَّاهَا أَبُو هُرَيْرَةَ وَلَكِنْ نَسِيتُ أَنَا قَالَ فَصَلَّى بِنَا رَكْعَتَيْنِ ثُمَّ سَلَّمَ فَقَامَ إِلَى خَشَبَةٍ مَعْرُوضَةٍ فِي الْمَسْجِدِ فَاتَّكَأَ عَلَيْهَا كَأَنَّه غَضْبَانُ وَوَضَعَ يَدَهُ الْيُمْنَى عَلَى الْيُسْرَى وَشَبَّكَ بَيْنَ أَصَابِعِهِ وَوَضَعَ خَدَّهُ الْأَيْمَنَ عَلَى ظَهْرِ كَفِّهِ الْيُسْرَى وَخَرَجَتْ السَّرَعَانُ مِنْ أَبْوَابِ الْمَسْجِدِ فَقَالُوا قَصُرَتْ الصَّلَاةُ وَفِي الْقَوْمِ أَبُو بَكْرٍ وَعُمَرُ فَهَابَا أَنْ يُكَلِّمَاهُ وَفِي الْقَوْمِ رَجُلٌ فِي يَدَيْهِ طُولٌ يُقَالُ لَهُ ذُو الْيَدَيْنِ قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَنَسِيتَ أَمْ قَصُرَتْ الصَّلَاةُ قَالَ لَمْ أَنْسَ وَلَمْ تُقْصَرْ فَقَالَ أَكَمَا يَقُولُ ذُو الْيَدَيْنِ فَقَالُوا نَعَمْ فَتَقَدَّمَ فَصَلَّى مَا تَرَكَ ثُمَّ سَلَّمَ ثُمَّ كَبَّرَ وَسَجَدَ مِثْلَ سُجُودِهِ أَوْ أَطْوَلَ ثُمَّ رَفَعَ رَأْسَهُ وَكَبَّرَ ثُمَّ كَبَّرَ وَسَجَدَ مِثْلَ سُجُودِهِ أَوْ أَطْوَلَ ثُمَّ رَفَعَ رَأْسَهُ وَكَبَّرَ فَرُبَّمَا سَأَلُوهُ ثُمَّ سَلَّمَ فَيَقُولُ نُبِّئْتُ أَنَّ عِمْرَانَ بْنَ حُصَيْنٍ قَالَ ثُمَّ سَلَّمَ


Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. mengimamkan kami salah satu sembahyang petang. Ibnu Sirin berkata: “Abu Hurairah menamakannya tetapi saya terlupa”. Abu Hurairah r.a. berkata lagi: “Lalu baginda mengimamkan kami dua raka’at kemudian memberikan salam. Kemudian baginda bangun kepada satu kayu yang dilintangkan di dalam masjid lalu bersandar padanya seolah-olah dalam keadaan marah sambil meletakkan tangan kanan di atas tangan kirinya dan menyilangkan di antara jari-jarinya. Dia meletakkan pipi kanannya di atas tapak tangannya yang kiri. Orang-orang yang mahu bersegera terus keluar dari masjid sambil berkata: “Sembahyang telah diringkaskan”. Abu Bakar dan Umar r.a. ada di kalangan orang ramai tapi kedua-duanya gerun untuk bercakap dengan Nabi s.a.w.. Di kalangan mereka juga ada seorang yang duanya tangannya panjang yang dipanggil Dzu al-Yadain. Dia berkata: “Ya Rasulullah! Apakah engkau lupa atau sembahyang telah diqasarkan? Nabi s.a.w. menjawab: “Saya tidak lupa dan sembahyang tidak diqasarkan”. Baginda bertanya (untuk menambah keyakinan): “Apakah sebagaimana yang dikatakan Zu al-Yadain”? Mereka menjawab: “Ya”. Nabi s.a.w. pun tampil mengimamkan apa yang tertinggal kemudian memberi salam kemudian bertakbir dan sujud seperti sujudnya (yang biasa) atau lebih panjang kemudian mengangkat kepalanya dan bertakbir kemudian bertakbir dan sujud seperti sujudnya (yang biasa) atau lebih panjang kemudian mengangkat kepalanya dan bertakbir”. Boleh jadi mereka (perawi-perawi) bertanyanya (Ibnu Sirin) “kemudian dia memberi salam” lalu dia menjawab: “Telah diceritakan kepada saya bahawa ‘Imran bin Husain berkata: “Kemudian dia memberi salam”.(Sahih al-Bukhari Bab Menyilangkan Jari-Jari Di Dalam Masjid Dan Selainnya)


حَدَّثَنِي عَمْرٌو النَّاقِدُ وَزُهَيْرُ بْنُ حَرْبٍ جَمِيعًا عَنْ ابْنِ عُيَيْنَةَ قَالَ عَمْرٌو حَدَّثَنَا سُفْيَانُ بْنُ عُيَيْنَةَ حَدَّثَنَا أَيُّوبُ قَالَ سَمِعْتُ مُحَمَّدَ بْنَ سِيرِينَ يَقُولُ سَمِعْتُ أَبَا هُرَيْرَةَ يَقُول صَلَّى بِنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِحْدَى صَلَاتَيْ الْعَشِيِّ إِمَّا الظُّهْرَ وَإِمَّا الْعَصْرَ فَسَلَّمَ فِي رَكْعَتَيْنِ ثُمَّ أَتَى جِذْعًا فِي قِبْلَةِ الْمَسْجِدِ فَاسْتَنَدَ إِلَيْهَا مُغْضَبًا وَفِي الْقَوْمِ أَبُو بَكْرٍ وَعُمَرَ فَهَابَا أَنْ يَتَكَلَّمَا وَخَرَجَ سَرَعَانُ النَّاسِ قُصِرَتْ الصَّلَاةُ فَقَامَ ذُو الْيَدَيْنِ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَقُصِرَتْ الصَّلَاةُ أَمْ نَسِيتَ فَنَظَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَمِينًا وَشِمَالًا فَقَالَ مَا يَقُولُ ذُو الْيَدَيْنِ قَالُوا صَدَقَ لَمْ تُصَلِّ إِلَّا رَكْعَتَيْنِ فَصَلَّى رَكْعَتَيْنِ وَسَلَّمَ ثُمَّ كَبَّرَ ثُمَّ سَجَدَ ثُمَّ كَبَّرَ فَرَفَعَ ثُمَّ كَبَّرَ وَسَجَدَ ثُمَّ كَبَّرَ


Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. mengimamkan kami salah satu sembahyang petang sama ada Zohor atau Asar lalu baginda memberi salam pada raka’at kedua kemudian pergi ke arah sebatang kayu yang berada di sebelah kiblat masjid lalu bersandar padanya (seolah-olah) dalam keadaan marah. Di kalangan orang ramai ada Abu Bakar dan Umar r.a. tapi kedua-duanya gerun untuk bercakap (dengan Nabi s.a.w.). Orang-orang yang bersegera terus keluar dari masjid sambil berkata: “Sembahyang telah diqasarkan”. Lalu Dzu al-Yadain bangun sambil berkata: “Ya Rasulullah! Apakah sembahyang telah diqasarkan atau tuan lupa? Maka Nabi s.a.w. melihat ke kanan dan kiri sambil berkata: “Benarkah apa yang dikatakan oleh Dzu al-Yadain? Mereka menjawab: “Ya! Engkau hanya sembahyang dua raka’at”. Maka Baginda pun sembahyang dua raka’at dan memberi salam kemudian bertakbir kemudian sujud kemudian bertakbir lalu mengangkat (kepalanya) kemudian bertakbir dan sujud kemudian bertakbir lalu mengangkat (kepalanya).(Sahih Muslim Bab Lupa Di Dalam Sembahyang Dan Sujud Kerananya)


Persoalan Yang Ditimbulkan Oleh Syi’ah:

Hadith tersebut menunjukkan Abu Hurairah telah berbohong kerana beliau tidak bersama di dalam peristiwa tersebut tetapi telah menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. sembahyang bersamanya. Sudah diketahui umum bahawa Abu Hurairah masuk Islam selepas peperangan Khaibar dalam tahun 7 Hijrah. Dan kewafatan Dzul Yadain di dalam peperangan Badr di dalam tahun kedua Hijrah. Mereka (penyokong Abu Hurairah) cuba mencari titik persamaan di dalam hadith tersebut, tetapi mereka tidak dapat jawapan yang memuaskan.


Jawapan Kepada Persoalan:


Jawapan Pertama: Dalam bahasa manapun biasa digunakan perkataan kami dengan makna negeri kami atau kaum kami atau kalangan kami dan sebagainya dan tidak semestinya orang yang menceritakan peristiwa tersebut ada pada ketika itu. Begitu juga di kalangan orang Arab biasa menggunakan penggunaan seperti ini. Di antara makna yang digunakan oleh sahabat-sahabat r.a. bagi perkataan kami ialah orang-orang Islam.


Contoh pertama:


عَنْ النِّزَالِ بْنِ سَبْرَةَ قَالَ : قَالَ لَنَا رَسُولُ اللَّهِ أَنَا وَإِيَّاكُمْ كُنَّا نُدْعَى بَنِي عَبْدِ مَنَافٍ , فَأَنْتُمْ الْيَوْمَ , بَنُو عَبْدِ اللَّهِ , وَنَحْنُ بَنُو عَبْدِ اللَّهِ


Daripada Nizal bin Saburah katanya: Rasulullah s.a.w. berkata kepada kami: “Saya dan kamu dulu dipanggil Bani Abd Manaf. Maka kamu hari ini adalah Banu Abd Allah dan kami juga adalah Banu Abd Allah.


Nizal tidak melihat Rasulullah s.a.w. mengikut pendapat kebanyakan ulama rijal dan riwayatnya daripada Baginda adalah riwayat mursal (Lihat Usd al-Ghabah jil. 1 hal. 1061, al-Isabah fi Tamyiz as-Sahabah jil. 6 hal. 425, at-Thiqat lil- ‘Ijli jil. 2 hal. 312, Tahzib at-Tahzih jil. 10 hal. 378 dan lain-lain). Kerana itu kata-katanya di sini “Rasulullah s.a.w. berkata kepada kami” bermaksud “kepada kaum kami”.(Syarh Ma’ani al-Atsar jil. 1 hal. 450)

Riwayat ini juga terdapat di dalam Musannaf Ibn Abi Syaibah dengan sedikit perbezaan lafaz iaitu Nabi s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya kami dan kamu di zaman jahiliyyah adalah Banu Abd Manaf. Maka kami hari ini adalah Banu Abd Allah dan kamu juga adalah Banu Abd Allah.(Musannaf Ibnu Abi Syaibah Bab Atsar Yang Datang Berkenaan Bani ‘Amir, at-Tarikh as-Saghir jil. 1 hal. 38)


Contoh yang kedua: Diriwayatkan daripada Thawus bahawa dia berkata: “Mu’az bin Jabal datang kepada kami dan dia tidak mengambil sedikitpun daripada sayur-sayuran (sebagai zakat). Thawus belum dilahirkan ketika kedatangan Mu’az ke Yaman kerana beliau pergi ke Yaman di zaman Rasulullah s.a.w.. Oleh itu makna kata-katanya “datang kepada kami” adalah “negeri kami”. (Syarh Ma’ani al-Atsar jil. 1 hal. 450)


Jawapan Kedua: Sahabat-sahabat yang lewat memeluk Islam atau kecil pada ketika Nabi s.a.w. wafat banyak mengambil riwayat daripada sahabat yang lain. Tetapi mereka tidak menceritakan daripada siapa mereka mengambil riwayat tersebut kerana riwayat daripada mana-mana sahabat sama ada disebutkan nama atau tidak tetap diterima oleh ulama kerana sahabat semuanya adalah perawi yang tidak dipertikaikan. Seperti Abu Hurairah r.a. di dalam riwayat ini mengambil daripada sahabat yang lain tetapi tidak menyebutkan nama sahabat tersebut.


Jawapan Ketiga: Setengah ulama mengatakan bahawa Dzu al-Yadain yang dipanggil al-Khirbaq bukanlah sahabat yang syahid di dalam perang Badar tetapi beliau hidup sehingga zaman Mu’awiyah r.a. tetapi yang syahid di medan Badar adalah Dzu as-Syimalain dan namanya ialah ‘Umair bin ‘Amr (Sila lihat perbahasan hadith berkenaan di dalam syarah hadith seperti at Tamhid li Ibn Abd al-Barr jil. 1 hal. 363). Ketika peristiwa Nabi s.a.w. lupa sebagaimana hadith di atas Dzu al-Yadain r.a. bersama dengan Abu Hurairah r.a. hadir bersembahyang di belakang Baginda. Golongan ulama ini menjadikan riwayat ini sebagai dalil tentang Dzu as-Syimalain dan Dzu al-Yadain r.a. adalah dua orang yang berbeza dan sebagai dalil di dalam perselisihan pendapat tentang masalah bercakap di dalam sembahyang.(Lihat syarah-syarah hadith tentang perselisihan pendapat tersebut)

Walaubagaimanapun ulama yang lain terutamanya mazhab Imam Abi Hanifah tidak bersetuju dengan pendapat tersebut dan mengatakan bahawa ianya adalah orang yang sama (Lihat seperti Syarh Ma’ani al-Atsar Imam Thahawi jil. 2 hal. 394). Bagi yang berpendapat dengan pendapat kedua ini jawapannya sebagaimana di atas.


Persoalan Kedua Yang Ditimbulkan Oleh Syi’ah Terhadap Hadith Ini:


Di antara pegangan Syi’ah di dalam akidah imamah ialah imam-imam mereka maksum daripada lupa dan lalai (Lihat kitab-kitab utama Syi’ah seperti Usul al-Kafi jil. 1 hal. 200,203, al-Hukumah al-Islamiyyah hal. 91 dan lain-lain). Kerana itu mereka mesti menolak hadith ini kerana dengan menerima hadith ini mereka akan diserang oleh Ahlus Sunnah dengan hujah mereka melebihkan imam-imam mereka daripada nabi-nabi(walaupun sememangnya akidah mereka sedemikian). Lalu mereka berpegang bahawa nabi-nabi juga mustahil bersifat dengan lupa.


Jawapan Kepada Persoalan Kedua:


Jawapan pertama: Al-Quran sendiri menolak pegangan mereka tersebut kerana di dalam al-Quran terdapat beberapa ayat yang menunjukkan berlaku kepada nabi-nabi sifat lupa. Ayat-ayat tersebut ialah:


Pertama, berkenaan Nabi Adam a.s. iaitu:


وَلَقَدْ عَهِدْنَا إِلَى آدَمَ مِن قَبْلُ فَنَسِيَ وَلَمْ نَجِدْ لَهُ عَزْمًا

Dan demi sesungguhnya, Kami telah berpesan kepada Adam pada masa yang lalu, tetapi dia lupa dan kami tidak mendapatinya mempunyai kemahuan yang kuat.(Al-Quran Surah Taha ayat 115)


Kedua, peringatan daripada Allah ta’ala kepada Nabi s.a.w. yang menunjukkan bahawa boleh berlaku lupa kepada Nabi s.a.w.:


وَاذْكُر رَّبَّكَ إِذَا نَسِيتَ وَقُلْ عَسَى أَن يَهْدِيَنِ رَبِّي لأَقْرَبَ مِنْ هَذَا رَشَدًا


Ingatlah Tuhanmu jika engkau lupa dan katakanlah: Mudah-mudahan Tuhanku memimpinku ke jalan petunjuk yang lebih dekat dan lebih terang dari ini.(Al-Quran Surah al-Kahfi ayat 24)


Ketiga, pembacaan al-Quran kepada Nabi s.a.w. supaya baginda tidak lupa:


سَنُقْرِئُكَ فَلَا تَنْسَى

Kami akan membacakan al-Quran kepadamu (Muhammad) maka kamu tidak akan lupa.(Al-Quran Surah al-A’la ayat 6)


Keempat, Nabi Musa a.s. bersama dengan Yusya’ bin Nun lupa kepada ikan yang dibawa mereka:


وَإِذْ قَالَ مُوسَى لِفَتَاهُ لَا أَبْرَحُ حَتَّى أَبْلُغَ مَجْمَعَ الْبَحْرَيْنِ أَوْ أَمْضِيَ حُقُبًا (60) فَلَمَّا بَلَغَا مَجْمَعَ بَيْنِهِمَا نَسِيَا حُوتَهُمَا فَاتَّخَذَ سَبِيلَهُ فِي الْبَحْرِ سَرَبًا (61)فَلَمَّا جَاوَزَا قَالَ لِفَتَاهُ آَتِنَا غَدَاءَنَا لَقَدْ لَقِينَا مِنْ سَفَرِنَا هَذَا نَصَبًا (62) قَالَ أَرَأَيْتَ إِذْ أَوَيْنَا إِلَى الصَّخْرَةِ فَإِنِّي نَسِيتُ الْحُوتَ وَمَا أَنْسَانِيهُ إِلَّا الشَّيْطَانُ أَنْ أَذْكُرَهُ وَاتَّخَذَ سَبِيلَهُ فِي الْبَحْرِ عَجَبًا


Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada temannya: Aku tidak akan berhenti berjalan sehingga aku sampai di tempat pertemuan dua laut itu atau aku berjalan terus bertahun-tahun. [61] Maka apabila mereka berdua sampai ke tempat pertemuan dua laut itu, lupalah mereka akan hal ikan mereka, lalu ikan itu menggelungsur menempuh jalannya di laut, yang merupakan lorong di bawah tanah. [62] Setelah mereka melampaui (tempat itu), berkatalah Nabi Musa kepada temannya: Bawalah makan tengah hari kita sebenarnya kita telah mengalami penat lelah dalam perjalanan kita ini. [63] Temannya berkata: Tahukah apa yang telah terjadi ketika kita berehat di batu besar itu? Sebenarnya aku lupakan hal ikan itu dan tiadalah yang menyebabkan aku lupa daripada menyebutkan halnya kepadamu melainkan Syaitan dan ikan itu telah menggelungsur menempuh jalannya di laut, dengan cara yang menakjubkan.(Al-Quran Surah al-Kahfi ayat 60-63)


Jawapan kedua: kalaulah riwayat di atas digunakan untuk menyerang Abu Hurairah r.a. dengan mengatakan beliau mereka-reka hadith maka riwayat yang menunjukkan berlaku lupa kepada Nabi s.a.w. juga diriwayatkan oleh sahabat-sahabat yang lain.


عَنْ عَبْدِ اللَّهِ ابْنِ بُحَيْنَةَ قَالَ صَلَّى لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَكْعَتَيْنِ مِنْ بَعْضِ الصَّلَوَاتِ ثُمَّ قَامَ فَلَمْ يَجْلِسْ فَقَامَ النَّاسُ مَعَهُ فَلَمَّا قَضَى صَلَاتَهُ وَنَظَرْنَا تَسْلِيمَهُ كَبَّرَ فَسَجَدَ سَجْدَتَيْنِ وَهُوَ جَالِسٌ قَبْلَ التَّسْلِيمِ ثُمَّ سَلَّمَ


Daripada Abdullah bin Buhainah katanya: “Rasulullah s.a.w. mengimamkan kami dua rakaat di dalam salah satu sembahyangnya kemudian baginda bangun dengan tidak duduk (untuk tasyahhud awal) lalu orang ramai pun bangun bersamanya. Bilamana hampir selesai sembahyangnya dan kami menantinya memberikan salam baginda bertakbir lalu sujud dua sujud dalam keadaan duduk sebelum memberikan salam kemudian memberikan salam”.(Sahih Muslim Bab Lupa Di Dalam Sembahyang Dan Sujud Kerananya)


عَنْ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ صَلَّى بِنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَمْسًا فَقُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَزِيدَ فِي الصَّلَاةِ قَالَ وَمَا ذَاكَ قَالُوا صَلَّيْتَ خَمْسًا قَالَ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ مِثْلُكُمْ أَذْكُرُ كَمَا تَذْكُرُونَ وَأَنْسَى كَمَا تَنْسَوْنَ ثُمَّ سَجَدَ سَجْدَتَيْ السَّهْوِ


Daripada Abdullah bin Mas’ud r.a. katanya: “Rasulullah s.a.w. mengimamkan kami dengan bersembahyang sebanyak lima rakaat lalu kami berkata: “Wahai Rasulullah! Adakah ditambah sembahyang? Baginda menjawab: “Apakah benar yang demikian? Sahabat-sahabat r.a. berkata: “Engkau telah sembahyang sebanyak lima rakaat”. Baginda bersabda: “Aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, aku ingat sebagaimana kamu ingat dan aku lupa sebagaimana kamu lupa. Kemudian Baginda sujud dua sujud sahwi”.(Sahih Muslim Bab Lupa Di Dalam Sembahyang Dan Sujud Kerananya)



Hadith berkenaan dengan Nabi s.a.w. lupa juga diriwayatkan oleh Imran bin Husain di dalam Sahih al-Bukhari kitab al-Aiman wa an-Nuzur.


Jawapan ketiga: riwayat berkenaan Nabi s.a.w. dan nabi-nabi lain lupa bukan hanya terdapat di dalam kitab-kitab Ahlus Sunnah Wal Jamaah tetapi ianya turut dimuatkan oleh ulama-ulama Syiah di dalam kitab-kitab utama mereka. Umpamanya di dalam salah satu daripada Sihah Arba’ah (empat kitab paling sahih) mereka dikemukakan riwayat berbunyi:

وروى الحسن بن محبوب عن الرباطي، عن سعيد الاعرج قال: " سمعت أبا عبدالله عليه السلام يقول: إن الله تبارك وتعالى أنام رسوله صلى الله عليه وآله عن صلاة الفجر حتى طلعت الشمس، ثم قام فبدأ فصلى الركعتين اللتين قبل الفجر، ثم صلى الفجر، وأسهاه في صلاته فسلم في ركعتين ثم وصف ما قاله ذو الشمالين. وإنما فعل ذلك به رحمة لهذه الامة لئلا يعير الرجل المسلم إذا هو نام عن صلاته أو سها فيها فيقال: قد أصاب ذلك رسول الله صلى الله عليه وآله "
قال مصنف هذا الكتاب رحمه الله: إن الغلاة والمفوضة لعنهم الله ينكرون سهو النبي صلى الله عليه وآله ويقولون: لو جاز أن يسهو عليه السلام في الصلاة لجاز أن يسهو في التبليغ لان الصلاة عليه فريضة كما أن التبليغ عليه فريضة.
وهذا لا يلزمنا، وذلك لان جميع الاحوال المشتركة يقع على النبي صلى الله عليه وآله فيها ما يقع على غيره، وهو متعبد بالصلاة كغيره ممن ليس بنبي، وليس كل من سواه بنبي كهو، فالحالة التي اختص بها هي النبوة والتبليغ من شرائطها، ولا يجوز أن يقع عليه في التبليغ ما يقع عليه في الصلاة لانها عبادة مخصوصة والصلاة عبادة مشتركة، وبها تثبت له العبودية وبإثبات النوم له عن خدمة ربه عزوجل من غير إرادة له وقصد منه إليه نفي الربوبية عنه، لان الذي لا تأخذه سنة ولا نوم هو الله الحي القيوم، وليس سهو النبي صلى الله عليه وآله كسهونا لان سهوه من الله عز وجل وإنما أسهاه ليعلم أنه بشر مخلوق فلا يتخذ ربا معبودا دونه، وليعلم الناس بسهوه حكم السهو متى سهوا، وسهونا من الشيطان وليس للشيطان على النبي صلى الله عليه وآله والائمة صلوات الله عليهم سلطان "

Daripada Sa’id al-A’raj katanya, saya mendengar Aba ‘Abdillah a.s. (Ja’far as-Sadiq) berkata: “Sesungguhnya Allah tabaraka wa ta’ala telah menidurkan Rasul-Nya s.a.w. sehingga menyebabkan tertinggal sembahyang subuh sehingga terbit matahari, kemudian dia bangun lalu mula bersembahyang dua rakaat sebelum subuh kemudian bersembahyang subuh. Allah taala juga telah membuatnya lupa di dalam sembahyangnya lalu dia memberikan salam di dalam dua rakaat kemudian ia menggambarkan sebagaimana yang di katakan oleh Dzu al-Syimalain. Berlaku sedemikian kepada Baginda sebagai rahmat kepada umat ini supaya seseorang muslim itu tidak merasakan ia telah binasa bila ia tertidur atau lupa lalu tertinggal sembahyangnya dengan dikatakan kepadanya: “Sesungguhnya perkara ini telah berlaku kepada Rasulllah s.a.w.”.
Pengarang kitab ini (Iaitu as-Syeikh Abu Ja’far Muhammad bin Ali bin Husain Ibnu Babwaih al-Qummi yang diberikan gelaran Syeikh Saduq bermaksud Syeikh yang sangat benar) telah berkata: “Sesungguhnya golongan pelampau dan mufawwidhah (Mufawwidhah mempunyai beberapa maksud. Antaranya perempuan yang mengahwinkan dirinya tanpa mahar, golongan yang menyerahkan ayat-ayat mutasyabihat kepada Allah dan golongan yang menyerahkan segala yang berlaku kepada Muhammad. Yang paling tepat dengan riwayat ini adalah makna yang ketiga-semoga Allah melaknat mereka) telah mengingkari berlaku lupa kepada Nabi s.a.w. dan mereka berkata: “Kalaulah boleh berlaku lupa kepada baginda di dalam sembahyang tentu lupa juga boleh berlaku di dalam menyampaikan risalah kerana sembahyang adalah satu kefardhuan sebagaimana menyampaikan risalah adalah satu kefardhuan”. (berkata pengarang kitab ini) dan ini tidak mewajibkan sesuatu kepada kita kerana semua keadaan yang sama-sama wajib ke atas Nabi s.a.w. dan ke atas orang lain dan ia adalah berbentuk pernyataan sebagai seorang hamba seperti sembahyang maka berlaku kepada nabi seperti berlaku kepada orang lain. Maka keadaan yang khusus kepada kenabian yang mana tabligh (menyampaikan) adalah termasuk di dalam syarat-syaratnya (kenabian) maka tidak harus berlaku ke atas Nabi di dalam tabligh apa yang berlaku di dalam sembahyang kerana tabligh adalah ibadat khusus (kepada Nabi) dan sembahyang adalah ibadat yang dikongsi (antara nabi dan selainnya). Dan dengannya (ibadat yang dikongsi) terbuktilah ia sebagai seorang hamba dan berlaku tidur kepadanya sehingga meninggalkan khidmat (ibadat) kepada tuhannya tanpa kehendak dan maksud daripadanya bermakna menafikan ketuhanan daripadanya. Kerana yang tidak mengantuk dan tidur hanyalah Allah al-Hayyu al-Qayyum sahaja. Lupa Nabi s.a.w. bukan sebagaimana lupa kita kerana lupa Nabi s.a.w. adalah daripada Allah ‘azza wa jalla dan Allah menyebabkannya lupa adalah untuk memberitahu bahawa dia adalah seorang manusia serta makhluk supaya tidak dijadikan sebagai tuhan yang disembah dan supaya manusia mengetahui dengan berlaku lupa kepada nabi hukum lupa bila mereka lupa sementara lupa kita pula adalah daripada syaitan dan syaitan tidak boleh menguasai Nabi s.a.w. dan imam-imam salawat daripada ke atas mereka.”.(Man La Yahduruhu al-Faqih jil. 1 hal. 359)


Begitu juga terdapat di dalam kitab-kitab utama syiah yang lain seperti Bihar al-Anwar, al-Furu’ min al-Kafi yang menunjukkan berlaku lupa kepada Nabi s.a.w.. Kerana itu berlaku perselisihan pendapat pula di kalangan ulama syiah berkenaan akidah ini di mana sebahagian besar daripada ulama mereka berpegang bahawa di antara suatu kemestian di dalam akidah mereka ialah mengatakan bahawa nabi-nabi tidak bersifat dengan lupa sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini.(Lihat ‘Aqaaid al-Imamiyyah hal. 91)

0 ulasan: