25 Februari 2009

Tahrif Al-Quran: Tuduhan Terhadap ASWJ (1)

Tahrif Al-Quran: Tuduhan Terhadap Ahlus Sunnah Wal Jamaah
(Siri 1)


Setelah golongan Syiah diserang dari pelbagai sudut dengan serangan yang membuktikan bahawa mereka percaya bahawa al-Quran yang terdapat di tangan umat Islam kini telahpun ditahrifkan berdasarkan kepada riwayat-riwayat daripada imam-imam maksum di dalam kitab-kitab utama mereka yang melebihi dua ribu riwayat maka mereka cuba berdalih dengan mengatakan kononnya riwayat-riwayat tersebut adalah tidak sahih. Contohnya mereka mengatakan bahawa tidak semua hadith yang terdapat di dalam al-Kafi yang merupakan kitab paling sahih di sisi mereka adalah sahih lantas mereka membahagikan kitab al-Kafi kepada lima bahagian iaitu:

1) Sahih, mengandung 5,072 hadith.
2) Hasan, 144 hadith.
3) Al-Muwaththaq, 1128 hadith (yaitu hadith-hadith yang diriwayatkan oleh orang yang bukan Syi'ah tetapi mereka dipercayai oleh Syi'ah).
4) Al-Qawiyy, 302 hadith.
5) Dhaif, 9,480 hadith.(Lihat Sayyid Ali al-Milani, “al-Riwayat Li Ahadith al-Tahrif ‘di dalam Turuthuna, Bil. 2, Ramadhan 1407 Hijrah, hlm. 257).
(Di petik daripada www.fatimah.org)


Kalau dilihat kepada pembahagian yang dibuat di atas maka terdapat begitu banyak sekali riwayat-riwayat yang dho’if di dalam kitab yang paling sahih di sisi mereka. Persoalannya mereka tidak pula menyatakan sudut kedho’ifan riwayat-riwayat tersebut dan bagaimana kitab yang paling banyak hadithnya adalah dho’if disenaraikan sebagai sihah arba’ah (empat kitab sahih). Kalau begitulah keadaannya bagaimana pula dengan kitab-kitab hadith yang lain di sisi mereka bahkan tidak salah kalau dikatakan kitab-kitab mereka itu patut dilupuskan sahaja daripada terus mengisi rak-rak perpustakaan. Di samping itu bagaimana pula dengan riwayat-riwayat yang terdapat di dalam al-Kafi berkenaan imamah, mut’ah, raj’ah dan sebagainya. Kalaulah riwayat-riwayat berkenaan tahrif yang terdapat di dalam al-Kafi adalah dho’if tanpa sebarang alasan maka tidak salah kalau dikatakan riwayat-riwayat berkenaan akidah-akidah Syi’ah yang lain juga adalah dho’if maka natijahnya akan runtuhlah ajaran Syi’ah. Di samping itu tiada satupun riwayat dari imam-imam maksum di sisi mereka yang menyebutkan bahawa tidak berlaku tahrif di dalam al-Quran berbeza dengan riwayat tahrif.

Alasan Syi’ah seterusnya untuk menutup pekung mereka yang semakin terserlah adalah dengan menuduh kononnya Ahlus Sunnahlah yang sebenarnya melakukan penyelewengan terhadap al-Quran. Mereka mengemukakan beberapa riwayat yang terdapat di dalam kitab-kitab Ahlus Sunnah yang menunjukkan berlakunya tahrif. Sebahagian riwayat tersebut akan dikemukakan di bawah bersama dengan jawapannya.

Pertama:

حَدَّثَنَا عَبْد اللَّهِ حَدَّثَنِي وَهْبُ بْنُ بَقِيَّةَ أَخْبَرَنَا خَالِدُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ الطَّحَّانُ عَنْ يَزِيدَ بْنِ أَبِي زِيَادٍ عَنْ زِرِّ بْنِ حُبَيْشٍ عَنْ أُبَيِّ بْنِ كَعْبٍ قَالَ
كَمْ تَقْرَءُونَ سُورَةَ الْأَحْزَابِ قَالَ بِضْعًا وَسَبْعِينَ آيَةً قَالَ لَقَدْ قَرَأْتُهَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِثْلَ الْبَقَرَةِ أَوْ أَكْثَرَ مِنْهَا وَإِنَّ فِيهَا آيَةَ الرَّجْمِ
تعليق شعيب الأرنؤوط : إسناده ضعيف ,لضعف يزيد بن أبي زياد

Daripada Zirr bin Hubaisy daripada Ubay bin Ka’ab katanya:”Berapakah (ayat) surah al-Ahzab yang kamu baca? Perawi (Zirr bin Hubaisy) menjawab, “Tujuh puluh lebih”. Ubay berkata, “Sesungguhnya kami membacanya bersama Rasulullah s.a.w. seperti surah al-Baqarah atau lebih lagi daripadanya dan sesungguhnya di dalamnya terdapat ayat rejam”.( Musnad Ahmad Hadis Zirr Bin Hubaisy Daripada Ubay Bin Ka’ab, Kanz Al-Ummal Bab Ayat-Ayat Yang Dimansukhkan Daripada Al-Quran Dan Fasal Berkenaan Jenis-Jenis Hukum Hudud.)

Dan:

حَدَّثَنَا عَبْد اللَّهِ حَدَّثَنَا خَلَفُ بْنُ هِشَامٍ حَدَّثَنَا حَمَّادُ بْنُ زَيْدٍ عَنْ عَاصِمِ بْنِ بَهْدَلَةَ عَنْ زِرٍّ قَالَ قَالَ لِي أُبَيُّ بْنُ كَعْبٍ كَأَيِّنْ تَقْرَأُ سُورَةَ الْأَحْزَابِ أَوْ كَأَيِّنْ تَعُدُّهَا قَالَ قُلْتُ لَهُ ثَلَاثًا وَسَبْعِينَ آيَةً فَقَالَ قَطُّ لَقَدْ رَأَيْتُهَا وَإِنَّهَا لَتُعَادِلُ سُورَةَ الْبَقَرَةِ وَلَقَدْ قَرَأْنَا فِيهَا الشَّيْخُ وَالشَّيْخَةُ إِذَا زَنَيَا فَارْجُمُوهُمَا الْبَتَّةَ نَكَالًا مِنْ اللَّهِ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ


Daripada Zirr bin Hubaisy katanya Ubay bin Ka’ab bertanya kepadaku: “Berapa banyakkah (ayat) yang kamu baca Surah al-Ahzab atau berapa banyakkah kamu mengira ia (Surah al-Ahzab)? Dia (Zirr) berkata, aku berkata, “Tujuh puluh tiga ayat”. Lalu Ubay menjawab, “Itu sahaja, sesungguhnya aku melihatnya (surah al-Ahzab) menyamai surah al-Baqarah. Sesungguhnya kami membaca padanya terdapat “ الشَّيْخُ وَالشَّيْخَةُ إِذَا زَنَيَا فَارْجُمُوهُمَا الْبَتَّةَ نَكَالًا مِنْ اللَّهِ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ”.(Musnad Ahmad Hadis Zirr Bin Hubaisy Daripada Ubay Bin Ka’ab, Kanz Al-Ummal Bab Ayat-Ayat Yang Dimansukhkan Daripada Al-Quran Dan Fasal Berkenaan Jenis-Jenis Hukum Hudud)

Jawapan kepada riwayat pertama:

Atsar ini berstatus dho’if. Syeikh Syu’aib al-Arnauth di dalam ta’liqnya kepada hadith ini berkata dho’ifnya terletak pada perawi yang bernama Yazid bin Abi Ziyad.( Musnad Ahmad dengan ta’liq Syu’aib al-Arnaouth)

Kata-kata ulama rijal terhadap beliau:
Yazid bin Abi Ziyad al-Hasyimi al-Kufi, seorang yang dho’if dan merupakan seorang Syiah.(Lihat Taqrib at-Tahzib jil. 2 hal. 324)

Imam Ahmad berkata: Ingatannya tidak kuat. Yahya berkata, “Hadithnya tidak boleh dijadikan hujah”.(Lihat Thabaqaat al-Huffaz jil. 1 hal. 10, Mizan Al-I’tidal jil. 4 hal. 405 dan kitab-kitab rijal yang lain)

Jawapan kepada riwayat kedua:

Atsar ini adalah dho’if. Dho’if kerana terdapat perawi yang bernama ‘Aasim bin Bahdalah. Kedudukan beliau di dalam kitab-kitab rijal:

‘Aashim bin Abi an-Najud. Salah seorang dari tujuh qari dan dia adalah ‘Aashim bin Bahdalah al-Kufi maula Bani Asad. Mantap di dalam qiraat tetapi di dalam hadis tidak mantap dan banyak kekeliruan.

Yahya al-Qatthan berkata: “Aku tidak mendapat seorang yang bernama ‘Aashim kecuali aku dapatinya seorang yang buruk ingatannya”.

Nasaie’ berkata: ”Tidak hafidz”.

Daraquthni berkata: “‘Aashim mempunyai sedikit masalah pada ingatannya”.(Lihat Mizan al-I’tidal jil. 2 hal. 357, Tahzib al-Kamal jil. 13 hal. 473, Tahzib at-Tahzib jil. 5 hal. 575 dan lain-lain)

Di antara ulama kemudian yang mengatakan hadith ini adalah dho’if ialah Syeikh Syu’aib al-Arnauth di dalam ta’liqnya kepada Musnad Ahmad.

Jawapan kedua bagi kedua-dua atsar:

Imam Suyuthi memasukkan kedua-dua riwayat di atas di bawah jenis yang ke empat puluh tujuh iaitu berkenaan ayat-ayat al-Quran yang memansukhkan dan dimansukhkan dan seterusnya beliau meletakkannya pula di bawah bab yang ketiga pada membicarakan ayat yang mansukh tilawah bukan dari segi hukum. Dan di antara atsar yang diletakkan di bawah bab yang sama ialah yang diriwayatkan oleh ‘Aaisyah r.a. iaitu:

قال حدثنا ابن أبي مريم عن ابن لهيعة عن أبي الأسود عن عروة بن الزبير عن عائشة قالت كانت سورة الأحزاب تقرأ في زمن النبي مائتي آية فلما كتب عثمان المصاحف لم يقدر منها إلا على ما هو الآن

Daripada ‘Aaisyah r.a. katanya: “Surah al-Ahzab dibaca pada zaman Nabi s.a.w. sebanyak dua ratus ayat. Bilamana Uthman r.a. menulis mashaf dia tidak memasukkannya kecuali apa yang ada sekarang”.(Al-Itqan Fi Ulum Al-Quran jil. 2 hal. 70)

Di dalam atsar ini juga terdapat masalah dari segi sanadnya kerana di dalamnya terdapat perawi dho’if iaitu ‘Abdullah Ibnu Lahi’ah. Daripada apa yang dibincangkan di atas menunjukkan bahawa riwayat-riwayat tersebut adalah dho’if. Kalaupun ia adalah riwayat yang sahih maka ulama-ulama Ahlus Sunnah meletakkannya di dalam bab ayat-ayat yang telah dimansukhkan bacaannya dan tidak sekali-kali mereka mengatakannya sebagai telah diselewengkan.

Ulama-ulama Syi’ah juga tidak terkecuali di dalam memasukkan ayat di atas sebagai ayat yang telah dimansukhkan bacaannya. Antaranya Syeikh Abu ‘Ali at-Thabarsi telah membincangkan berkenaan naasikh dan mansukh lalu membahagikannya kepada beberapa jenis dan meletakkan ayat di atas di bawah jenis yang ketiga iaitu ayat yang telah dimansukhkan bacaannya tidak hukum.( Lihat Majma’ al-Bayan jil. 1 hal. 349 tafsir ayat 106 Surah al-Baqarah)


Atsar ketiga yang dijadikan dalil oleh Syi’ah bahawa Ahlus Sunnah mentahrif al-Quran ialah:

حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ يَحْيَى قَالَ قَرَأْتُ عَلَى مَالِكٍ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي بَكْرٍ عَنْ عَمْرَةَ عَنْ عَائِشَةَ أَنَّهَا قَالَتْ كَانَ فِيمَا أُنْزِلَ مِنْ الْقُرْآنِ عَشْرُ رَضَعَاتٍ مَعْلُومَاتٍ يُحَرِّمْنَ ثُمَّ نُسِخْنَ بِخَمْسٍ مَعْلُومَاتٍ فَتُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُنَّ فِيمَا يُقْرَأُ مِنْ الْقُرْآنِ


Daripada ‘Amrah daripada ‘Aaisyah r.a. bahawa ia berkata: “Di antara ayat al-Quran yang diturunkan adalah ayat berkenaan sepuluh kali menyusu yang maklum mengharamkan kemudian dimansukhkan dengan lima kali yang maklum. Kemudian Rasulullah s.a.w. wafat dan ayat-ayat tersebut adalah termasuk yang masih dibaca sebagai al-Quran”.( Sahih Muslim Bab Haram Dengan Lima Kali Penyusuan)

Jawapan:

Pertama: Imam Suyuthi mengatakan bahawa ayat ini telah dimansukhkan hukum dan bacaannya. Beliau membincangkannya di dalam bab ke empat puluh tujuh iaitu berkenaan ayat-ayat al-Quran yang memansukhkan dan dimansukhkan dan di bawah bahagian ayat yang dimansukhkan hukum dan bacaan.( Al-Itqan Fi Ulum Al-Quran jil. 2 hal. 58)

Abu Ja’far at-Thusi dari kalangan Syi’ah yang digelarkan dengan Syeikh at-Thoifah juga mengatakan bahawa ayat ini telah dimansukhkan bacaan dan hukumnya.( Lihat Tafsir At-Tibyan Mukaddimah jil. 1 hal. 13)

Kedua: Imam Nawawi berkata: “Makna kata-kata perawi di dalam atsar ini ialah terlalu lewat pembatalan (sepuluh kali menyusu) dengan penyusuan sebanyak lima kali sehingga Nabi s.a.w. wafat dalam keadaan sebahagian sahabat masih membaca “خمس رضعات” dan mereka menjadikannya sebagai al-Quran yang dibaca kerana tidak sampai kepadanya hukum pemansukhan tersebut disebabkan oleh hampirnya dengan kewafatan Baginda s.a.w. Bila sampai kepada mereka bahawa ayat tersebut telah dimansukhkan maka mereka sepakat bahawa ianya sudah dimansukhkan dan tidak dibaca lagi.(Syarh Muslim Imam Nawawi jil. 10 hal. 59)

Ketiga: Tambahan di akhir atsar ‘Aaisyah r.a. ini adalah waham (kekeliruan) perawi yang bernama Abdullah bin Abi Bakr yang meriwayatkan daripada ‘Amrah. Tambahan tersebut ialah (فَتُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُنَّ فِيمَا يُقْرَأُ مِنْ الْقُرْآنِ bermaksud ‘Kemudian Rasulullah s.a.w. wafat dan ayat-ayat tersebut adalah termasuk yang masih dibaca sebagai al-Quran). Riwayat dengan tambahan ini juga dikemukakan oleh Imam Baihaqi di dalam sunannya, Imam Daraquthni, Imam Thahawi di dalam Syarah Ma’ani al-Atsar. Kalau diteliti riwayat melalui perawi selain Abdullah bin Abi Bakr iaitu Qasim bin Muhammad dan Yahya bin Sa’id ternyata tiada tambahan tersebut.

Riwayat tersebut ialah:

أخبرنا أبو عبد الله الحافظ أخبرني أبو الوليد نا إبراهيم بن أبي طالب نا محمد بن المثنى نا عبد الوهاب قال سمعت يحيى بن سعيد عن عمرة عن عائشة رضي الله عنها قالت : أنزل في القرآن عشر رضعات معلومات ثم تركن بعد بخمس أو بخمس معلومات
(Sunan Kubra Imam Baihaqi Bab Orang Yang Berpendapat Haram Kerana Lima Penyusuan)

Di dalam riwayat ini perawi yang meriwayatkan daripada ‘Amrah ialah Yahya bin Sa’id dan tiada tambahan tersebut di dalamnya.

Begitu juga dengan riwayat yang terdapat di dalam Sunan Daraquthni melalui riwayat Yahya bin Sa’id tanpa tambahan:

نا الحسين بن إسماعيل نا محمد بن عبد الملك بن زنجويه نا يزيد بن هارون نا يحيى بن سعيد عن عمرة أنها سمعت عائشة تقول : نزل في القرآن عشر رضعات معلومات وهي تريد ما يحرم من الرضاع ثم نزل بعد أو خمس معلومات
(Sunan Daraquthni Kitab Penyusuan)

Imam Thahawi mengemukakan beberapa riwayat yang juga tidak mengandungi tambahan tersebut. Riwayat pertama melalui jalan Qasim bin Muhammad daripada ‘Amrah daripada ‘Aaisyah:

حدثنا محمد بن خُزَيْمَةَ قال ثنا حَجَّاجُ بن مِنْهَالٍ قال ثنا حَمَّادُ بن سَلَمَةَ عن عبد الرحمن بن الْقَاسِمِ عن الْقَاسِمِ بن مُحَمَّدٍ عن عَمْرَةَ عن عَائِشَةَ رضي الله عنها قالت كان مِمَّا نَزَلَ من الْقُرْآنِ ثُمَّ سَقَطَ أَنْ لاَ يُحَرِّمَ من الرَّضَاعِ إِلاَّ عَشْرُ رَضَعَاتٍ ثُمَّ نَزَلَ بَعْدُ أو خَمْسُ رَضَعَاتٍ

Riwayat kedua melalui Yahya bin Sa’id daripada ‘Amrah daripada ‘Aaisyah r.a.:

حدثنا محمد بن خزيمة قال حدثنا حجاج بن منهال قال حدثنا حماد بن سلمة عن يحيى بن سعيد عن عمرة عن عائشة قالت نزل من القرآن لا يحرم إلا عشر رضعات ثم نزل بعد ذلك أو خمس رضعات


Riwayat ketiga melalui jalan periwayatan yang lain juga daripada Yahya bin Sa’id daripada ‘Amrah daripada ‘Aaisyah r.a.:

وحدثنا روح بن الفرج قال حدثنا يحيى بن عبد الله بن بكير قال حدثني الليث عن يحيى بن سعيد عن عمرة عن عائشة أنها قالت أنزل في القرآن عشر رضعات معلومات ثم أنزل خمس معلومات
(Syarh Musykil Al-Atsar Bab Menerangkan Kemusykilan Riwayat ‘Aaisyah r.a. Bahawa Telah Turun Ayat Di Dalam Al-Quran Berkenaan Sepuluh Kali Susuan Mengharamkan Lalu Dimansukhkan Dengan Lima Susuan Dan Rasulullah S.A.W. Wafat Dalam Keadaan Ayat-Ayat Tersebut Termasuk Yang Masih Dibaca Daripada Al-Quran)


Di dalam Sahih Muslim juga terdapat riwayat melalui Yahya bin Sa’id tanpa tambahan yang terdapat di dalam riwayat Abdullah bin Abi Bakr iaitu:

حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مَسْلَمَةَ الْقَعْنَبِيُّ حَدَّثَنَا سُلَيْمَانُ بْنُ بِلَالٍ عَنْ يَحْيَى وَهُوَ ابْنُ سَعِيدٍ عَنْ عَمْرَةَ أَنَّهَا سَمِعَتْ عَائِشَةَ تَقُولُ وَهِيَ تَذْكُرُ الَّذِي يُحَرِّمُ مِنْ الرَّضَاعَةِ قَالَتْ عَمْرَةُ فَقَالَتْ عَائِشَةُ نَزَلَ فِي الْقُرْآنِ عَشْرُ رَضَعَاتٍ مَعْلُومَاتٍ ثُمَّ نَزَلَ أَيْضًا خَمْسٌ مَعْلُومَاتٌ
(Sahih Muslim Bab Haram Dengan Lima Kali Penyusuan)


Dari sini jelas Abdullah bin Abi Bakr berseorangan di dalam meriwayatkan tambahan tersebut. Dari segi kemantapan perawi sama ada dari sudut ilmu atau kekuatan ingatan pula Qasim yang merupakan salah seorang daripada tujuh orang faqih di Madinah adalah lebih kuat daripada Abdullah bin Abi Bakr.( Syarh Musykil Al-Atsar Bab Menerangkan Kemusykilan Riwayat ‘Aaisyah r.a. Bahawa Telah Turun Ayat Di Dalam Al-Quran Berkenaan Sepuluh Kali Susuan Mengharamkan Lalu Dimansukhkan Dengan Lima Susuan Dan Rasulullah S.A.W. Wafat Dalam Keadaan Ayat-Ayat Tersebut Termasuk Yang Masih Dibaca Daripada Al-Quran)

Kesimpulannya hujah Syi’ah untuk mengatakan bahawa Ahlus Sunnah melakukan tahrif terhadap al-Quran dengan menggunakan hadith ‘Aaisyah r.a. ini adalah tertolak dengan tiga alasan tadi dan alasan ketiga iaitu tambahan yang menjadi hujah kepada Syi’ah adalah datangnya dari kekeliruan perawi yang bernama Abdullah bin Abi Bakr.

3 ulasan:

asyraf mujahid al-zarqawi berkata...

salam..ust..sy baru tergerak ingin bertnya mengenai tahreef Aq di sisi ahlisunnah,tetapi sudah artikelnya disini..alhmadulilah..

sy ada permintaan skit.kalu boleh buat lah artikel membela Abu Hurairah,ia amat penting dlm menghadapi syiah..

jazakallah

Unknown berkata...

Saidina Abu bakar dan Saidina Omar meerintah membakar Hadis hadis apa cerita?Abu Hurairah TIDAK berani menulis Hadis didepan Saidian Omar .kerana takut di pukul oleh Saidian Omar

abunaaielah berkata...

sila bawakan rujukan anda dahulu baru dijawab